Naib presiden PBB, Haji Abdul Wahab Aziz berkata dakwaan pembangkang konon mampu merampas 40 kerusi milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya ini diibarat hanya fantasi semata-mata.
Beliau berkata, pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini berkat usaha gigih kerajaan tidak mungkin dapat dinafikan oleh mana-mana pihak pembangkang.
“PBB mempunyai keyakinan teguh mampu mempertahankan semua kerusi kita dalam pilihan raya akan datang kerana PBB adalah penyumbang utama kepada kekuatan BN.
“Keyakinan rakyat terhadap BN juga sukar untuk diganggu-gugat walaupun pembangkang berusaha menghasut pengundi agar membenci kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka itu menambah, kekerapan wakil rakyat turun padang menyelesaikan masalah rakyat kawasan juga menyebabkan keakraban antara BN dengan rakyat sukar dipisahkan.
Tanggungjawab dan amanah
“Kita melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk rakyat secara berterusan manakala pembangkang hanya muncul berlagak sebagai hero apabila tiba musim pilihan raya,” katanya.
Beliau menambah, BN merupakan kerajaan yang adil dan tidak pernah memaksa rakyat menyokong kita, namun rakyat juga mesti berlaku adil menyokong BN yang sudah banyak membantu.
Terdahulu, Wahab menegaskan isu benteng penghalang ombak yang mendap di Pantai Alit, Kabong yang disiarkan dalam akhbar bahasa Inggeris tempatan baru-baru ini, dilihat sengaja diperbesarkan oleh pihak pembangkang sebagai modal kempen pilihan raya.
Beliau menyifatkan kenyataan pihak pembangkang itu agak melampau apabila menjangkakan kawasan berdekatan termasuk dua buah rumah panjang akan terjejas lebih teruk dari Tsunami jika berlaku ombak besar.
Sedangkan kata Wahab, pembinaan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) itu bertujuan untuk melindungi Sekolah Kebangsaan (SK) Alit dari hakisan ombak dan tiada kaitan dengan dua buah rumah panjang tersebut.
Dakwaan pembangkang konon tiada pembelaan untuk penghuni Rumah Panjang Ek dan Rumah Beti, Wahab menafikan keras tuduhan tidak bertanggungjawab tersebut.
“Kerajaan telah menawarkan pinjaman kepada penghuni Rumah Ek apabila rumah mereka rosak teruk dipukul ombak pada 2008 dan mereka kini bakal mendiami rumah baru yang lebih selesa dan lengkap dengan kemudahan asas pada pertengahan tahun ini,” jelasnya.
Rumah Beti pula yang hanya mengalami kerosakan kecil dalam kejadian sama telah segera dibaik pulih apabila penghuninya enggan memohon pinjaman dari kementerian, tambahnya. Hadir sama, Pengarah DID Sarawak Ir. Wong Siu Hieng.
No comments:
Post a Comment