Aku masih ingat kejadian yang melanda bayi sebuah keluarga di Kampung Abdullah bandar Segamat semasa banjir besar melanda Daerah Segamat dan daerah-daerah lain pada 18 hingga 21 Disember 2006. Bayi yang terlepas dari tangan ibu dihanyut air banjir yang deras tanpa sempat diselamatkan ibunya kerana sampan yang datang menghulurkan bantuan terbalik semasa dinaiki ibu. Pada ketika bayi itu dipercayai telah menemui maut, ibu menjumpai bayi kesayangannya di sebuah pusat pemindahan sementara.
Rupa-rupanya seorang pakcik sempat menyelamatkan bayi tersebut pada satu jarak yang agak jauh dari tempat sampan terbalik tanpa disedari ibu. Sementara itu, datuk kepada bayi tersebut yang bermalaman dalam kesejukan dan tanpa makan minum dan berak di atas bumbung rumah, sebahagian besar rambutnya bertukar kepada warna putih pada keesokan hari seolah-olah diselubungi salji.
Bantuan lambat datang. Anggota penyelamat dan sampan penyelamat tidak mencukupi sementara pemimpin negara memerhatikan perkembangan dengan hati yang tenang, memberi komen kepada pihak media tanpa mengarahkan dan memastikan tindakan segera dan "full force" semua pihak yang terlibat dari seluruh pelosok negara. Dari "Segamat 2006" ke "Segamat 2011", peristiwa yang lebih kurang sama berlaku. Seakan-akan dengan hati yang tenang, aman dan sejahtera, lambat bertindak untuk beberapa jam bukan isu besar, yang penting pengundi tidak terlewat memberikan sokongan undi di Tenang!
Banjir bukan masalah penting?
Seolah-olah keadaan banjir masih bukan masalah yang paling serius. Tidak apa-apa kalau keluarga-keluarga yang terperangkap di tingkat dua sesebuah rumah - mereka masih boleh buang berak ke dalam air yang deras, bau busuk hilang dengan cepat! Tidak apa kalau kesejukan kerana berada dalam keadaan basah tanpa bekalan air dan elektrik, satu malam sahaja!
Yang penting pemimpin politik mendapat liputan media. Kononnya nak segerakan kajian dan penggunaan sistem amaran awal, cukup hebat idea itu untuk dimuatkan dalam liputan media. Kononnya nak hantar pegawai kesihatan bagi memastikan keluarga yang masih terperangkap di tingkat dua atau bumbung rumah masih sihat, cukup bernas idea itu untuk menempah ruang dalam dada akhbar.
Bukan isu mangsa banjir terperangkap di atas bumbung atau di dalam ladang tanpa bekalan makanan. Hari pengundian telah selamat dijalankan. Untuk yang tidak mengundi Kerajaan Barang Naik, barangkali ini satu pengajaran.
Sesungguhnya, bukan dua kali tetapi sudah tiga kali penduduk Segamat mengalami banjir besar semenjak tahun 2006! Kali pertama banjir besar melanda Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada 18 hingga 21 Disember 2006, Daerah Segamat merupakan antara daerah yang paling teruk dilanda banjir.
Banjir ketiga sejak tahun 2006
Apabila banjir besar kembali melanda pada 11 hingga 17 Januari 2007, Segamat sekali lagi tidak dikecualikan dan ini merupakan kali kedua Segamat dilanda banjir dalam masa yang singkat. Jumlah hujan bulanan pada ketika itu setinggi 400mm, dianggap sebagai punca banjir kilat berlaku. Selepas banjir mulai reda, yang dititikberatkan ialah peruntukan demi peruntukan. Masalah pembangunan tidak mapan tidak perlu diberi perhatian. Projek peruntukan tidak perlu dipantau bagi memastikan penyempurnaannya. Perbelanjaan berhemah atau tidak juga bukan persoalannya.
Pada tahun 2006, Segamat mempunyai penduduk seramai 178,620 orang iaitu 8.6% daripada jumlah penduduk Johor. Semasa banjir Disember 2006 dan Januari 2007, sebanyak 104,023 penduduk terpaksa dipindahkan. Dengan kata lain, 58% daripada penduduk Segamat telah mengalami banjir yang teruk semenjak empat tahun yang lepas sementara disuapkan dengan laporan media - memetik komen-komen pemimpin negara seakan-akan dengan peruntukan kerajaan, secara otomatik banjir tidak akan berlaku lagi! Kononnya dengan komen dan peruntukan kerajaan, bantuan dalam segala aspek yang perlu, wajar dan wajib akan dihulurkan dengan segera!
Apabila ditinjau Belanjawan Negara 2008 yang dikemukakan pada tahun 2007, anggaran perbelanjaan persekutuan telah membelanjakan RM11 juta pada tahun 2007 untuk maksud "Rancangan Kawalan dan Isyarat Bahaya Banjir". Tetapi kali ini apabila berlaku banjir besar, penduduk Segamat sekali lagi disuapkan dengan laporan media yang memetik komen pemimpin negara, bahawa isyarat amaran bahaya banjir yang lebih sempurna akan disediakan.
Ke mana perginya peruntukan?
Persoalannya, ke mana perginya peruntukan yang sebegitu besar? Adakah jenis pembiayaannya serupa dengan jumlah perbelanjaan Perdana Menteri dan Menteri Melancong melibatkan wang rakyat sebanyak RM12 juta untuk terbang ke luar negara? Yang lebih penting, sejauh manakah keupayaan, keberkesanan dan kapasiti Kerajaan Barang Naik dalam menyelesaikan masalah banjir tanpa memboroskan wang rakyat?
Menurut Belanjawan Negara 2008, anggaran harga projek berjumlah RM105 juta untuk maksud "Membaiki dan Memulih Semula Projek-projek Yang Rosak Oleh Banjir" telah diperuntukkan. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setiap tahun dianggarkan 29,800 kilometer persegi kawasan di Malaysia mengalami kejadian banjir dan semasa kejadian banjir pada tahun 2006 dan 2007, negara telah mengalami kejadian banjir yang teruk yang menyebabkan kerugian masing-masing mencecah RM1.1bilion dan RM776 juta hanya bagi aset-aset kerajaan di negeri-negeri yang terlibat.
Kerugian aset kerajaan tidak termasuk kerugian yang ditanggung oleh rakyat dan kerugian tidak langsung terhadap ekonomi di kawasan yang dilanda banjir. Secara perbandingan, kerugian aset kerajaan juga tidak dimasukkan dalam maksud "Membaiki dan Memulih Semula Projek-projek Yang Rosak Oleh Banjir" kerana nilainya tidak setimpal.
Maka persoalan di sini adalah, ke mana perginya peruntukan RM105 juta sedangkan selepas kejadian banjir pada tahun 2006 dan 2007, Bank Negara telah memperuntukkan RM500 juta dalam bentuk kemudahan bantuan khas kepada industri kecil dan sederhana yang dilanda banjir melalui Bank komersil, Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Bank Pertanian.
Selain itu, pelbagai lagi kemudahan kewangan dalam bentuk pinjaman mikro juga diperuntukkan oleh Kerajaan kepada masyarakat bagi maksud Program Pembasmian Kemiskinan bagi memastikan masyarakat terkeluar dari tampuk kemiskinan dan seterusnya membina ketahanan mereka terhadap bencana.
Secara am, salah satu punca utama kepada banjir kilat ialah kerana sistem saliran air yang gagal berfungsi apabila berhadapan dengan jumlah hujan yang terlalu tinggi. Namun masalah pengaliran air tidak wajar dilihat sebagai isu teknikal sahaja sebaliknya kerangka analisa yang lebih luas yang melibatkan paradigma pembangunan tidak mapan serta kegagalan atau ketidakupayaan kerajaan hari ini menangani masalah banjir wajar diberi perhatian serius.
Aku senantiasa pergi ke Segamat. Aku suka ambil Jalan Tangkak, menghala ke arah selatan, masuk pekan Segamat dan menghala terus ke arah kedai wantan mee. Kalau untuk sarapan pagi aku sukakan "Roti Canai Jackie Chan" dan Kopi Hailam. Kini aku lebih risaukan keadaan rakan-rakan di Segamat yang masih terperangkap dalam tingkat dua rumah masing-masing atau rumah orang lain.
Kalau empat tahun yang lepas aku hanya bawa banyak air mineral semulajadi semasa melawat rakan-rakan di Segamat, kali ini aku akan bawa sayur-sayuran, Oren Mandarin dan kuih tahun baru Cina ke sana. Jumpa nanti Segamat. Jangan kita lupakan ketidakupayaan kedua-dua Ahli Parlimen Labis (anak) dan bekasnya (bapa) yang hanya tahu menyerang isu bersalaman membuta tuli!
No comments:
Post a Comment