Meskipun mengakui usaha mahu mengambil alih Putrajaya sukar tanpa sokongan pengundi luar bandar, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sudah mula memikirkan untuk “memilih pertempuran mereka” dan menyasarkan kerusi-kerusi yang mudah berubah demi mengatasi Umno.
Umno memperoleh 83 peratus undi pada pilihan raya kecil ke-14 itu, empat peratus lebih tinggi berbanding pilihan raya umum 2008, sekali gus membolehkan calonnya Mohd Azahar Ibrahim memperoleh majoriti 3,707 undi berbanding calon PAS Normala Sudirman.
“Hubungan DAP-PAS adalah baik di kebanyakan kawasan, tetapi satu liabiliti di sini. Felda menyifatkan kami sebagai Barua DAP,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Dzulkefly Ahmad mengenai layanan yang pihaknya terima daripada kalangan peneroka-peneroka Felda.
Barisan Nasional (BN) menggunakan pendekatannya untuk melaga-lagakan kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat ini dan media dimiliki Umno pula terus mendakwa DAP sebagai parti anti-Melayu.
“Pemimpin-pemimpin kami perlu memilih pertempuran mereka. (Saya melihat) tanggapan bahawa (kesan) politik baru akan meningkat secara berterusan adalah satu tindakan yang tidak bijak.
“Kita tidak boleh bertarung setiap kali ada kekosongan sebab kita kekurangan sumber dan kekalahan pula akan menjejaskan soal moral dan imej,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.
Susulan kerusi DUN Tenang, parti-parti politik sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil ke-15 iaitu di Merlimau, Melaka.
Malah kata beliau, mustahil untuk meminta pengundi berubah hanya dalam satu tempoh kempen yang singkat, yang lazimnya 10 hari.
Pemimpin DAP dari Bukit Bendera Liew Chin Tong juga mengakui pengundi-pengundi Melayu di luar kawasan utara Semenanjung masih kelihatan sebagai “deposit tetap” Umno.
Oleh itu menurut Ahli Parlimen ini, Pakatan Rakyat perlu menyusun strategi dan memberi tumpuan ke atas kerusi-kerusi yang boleh “berubah mudah” berbanding “kawasan-kawasan hitam.”
“Kami harus berusaha untuk mewujudkan sokongan baru atau pengundi-pengundi tidak berdaftar, bukannya di kawasan-kawasan yang memerangkap (kami),” kata beliau dengan merujuk kepada kawasan-kawasan Felda yang menjadi kubu kuat BN selama ini.
Sementara kedua-dua Dzulkefly dan Liew menekankan kemungkinan mengambil alih kerajaan persekutuan adalah mustahil tanpa undi orang Melayu dari kawasan luar bandar, pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, Pakatan Rakyat tidak boleh lari daripada mencabar Umno di kawasan kubu kuatnya.
“Jika kita mahu pergi ke Putrajaya, maka kita mesti menang kawasan-kawasan ini,” kata Adun Seri Setia ini.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Pakatan Rakyat tidak boleh melakukannya dengan hanya bergantung pada kempen-kempen pilihan raya, tetapi perlu menghimpunkan sumber-sumber untuk menarik sokongan dan undi kalangan peneroka Felda.
Dengan keputusan pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang kelmarin, DAP mendakwa mereka mampu mengekalkan bahagian pengundi Cina mereka berbanding MCA, tetapi ia dinafikan oleh parti komponen BN itu.
No comments:
Post a Comment