Saturday, September 8, 2012

Najib harus maafkan Sing Yee, Muhammad Ammar


Saya memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memaafkan kedua-dua anak muda yang berumur 19 tahun, Muhammad Ammar A Rahman dan Ong Sing Yee serta kedua-dua ibu bapa mereka dengan semangat berhemah dan supaya Peguam Negara menerima juga mohon maaf mereka.


Dari awal lagi, saya telah menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak memihak atau menyokong tindakan Muhammad Ammar dan Ong Sing Yee. Apa yang telah mereka lakukan adalah suatu tindakan yang dikesali dan merupakan satu kesalahan. Rakyat Malaysia berhak untuk menikmati kelakuan yang sivil dan tertib di khalayak ramai.

Walaubagaimanapun, rakyat Malaysia kini rimas dengan tindakan kuku besi Barisan Nasional ‘double-standard’ dalam pengendalian isu ini.

Sebagai contoh, perlukah Ong digari seakan seorang yang merbahaya apabila beliau telah menyerah diri kepada pihak polis, yang jelas menunjukkan pengakuannya bahawa apa yang telah beliau lakukan adalah salah dan beliau bersedia menghadapi akibat tindakan beliau. Akan tetapi, adakah wajar tindakan pihak polis untuk menyifatkan beliau sebagai penjenayah yang perlu digari dan pada masa yang sama VIP BN termasuklah menteri dan bekas menteri diberi layanan ‘istimewa’ walaupun dituduh dengan dakwaan jenayah terhadap rakyat dan negera?

Tambah lagi, senarai kes di mana pemimpin Pakatan Rakyat serta pemimpin rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenivasan yang telah dimalukan dan dihina secara terbuka, akan tetapi kerajaan seakan-akan tidak berminat mengambil apa-apa tindakan terhadap penganiyaan ini – termasuklah tindakan yang menyokong lemparan fitnah ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menyeru agar tindakan keras diambil ke atas penjenayah. Beliau sudah pasti akan mendapat penghormatan masyarakat sekiranya beliau konsisten dan menerajui pendirian beliau bahawa tindakan yang sama akan diambil terhadap mana-mana pihak yang telah melanggar dasar moral dengan menghina dan memalukan Anwar, Lim Guan Eng, Nik Aziz atau Ambiga.

Pemberhentian Muhammad Ammar daripada pengajian kolejnya merupakan satu tindakan yang amat keras dan beliau mesti dibenarkan menyambung semula pengajiannya.

Saya juga terperanjat membaca laporan bahawa pihak polis telah menahan dua pemuda yang telah membentangkan bendera Sang Saka Malaya pada hari sebelum Merdeka walaupun telah menafikan apa-apa tuduhan untuk menggantikan bendera kebangsaan Jalur Gemilang tetapi sedang turut serta dalam satu memori sejarah.

Barisan Nasional kian bertindak dengan tidak bertanggungjawab dalam mengeksploitasikan kedua-dua insiden ini dan melemparkan tuduhan palsu terhadap Pakatan Rakyat bahawa PR berhasrat untuk menukar bendera kebangsaan dan untuk meminda Perlembagaan untuk memansuhkan sistem raja berperlembagaan dan menubuhkan satu negara republik.

Fitnah, tohmahan dan pembohongan seperti ini kian merebak dan menjadi penyumbang utama kepada ‘usaha’ untuk memecahbelahkan perpaduan serta pembangunan negara. Malah, puak-puak yang bertanggungjawab dan bersedia untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan yang mampu menggugat keharmonian negara, solidariti, dan perpaduan sememangnya tidak patrioritik dan bersalah di mata negara Malaysia dan rakyatnya. Persoalannya adalah, siapakah dalang di antara pemimpin Barisan Nasional yang tidak patrioritik terhadap tanahairnya?

No comments:

Post a Comment