Saturday, September 8, 2012

Rungutan Kakitangan Kerajaan Terhadap Najib


Berita mengenai dua ekor panda yang dipinjamkan oleh Kerajaan China kepada Malaysia dua tiga minggu lalu sebenarnya masih lagi menjadi percakapan umum terutamanya di kalangan pegawai tinggi kerajaan.
Kesediaan Najib menerima hadiah yang dipinjamkan sempena meraikan empat dekad hubungan mesra Malaysia - China itu menimbulkan beberapa persoalan tentang kebijaksanaan Najib dalam membuat keputusan.

Dengan bersedia menerima panda itu yang dijangka akan ditempatkan di Taman Wetland, Putrajaya, ia bukan saja menyebabkan kita terpaksa menyediakan prasarana khusus yang menyerupai habitat asal panda yang hidup dalam iklim sejuk tetapi juga terpaksa mengimport buluh khas daripada China sebagai makanannya.

Kita juga dikatakan terpaksa menghantar beberapa kakitangan menjalani latihan ke China untuk menjalani latihan berkaitan panda serta memahami secara menyeluruh mengenai kehidupan panda itu. Dalam masa yang sama, beberapa kakitangan daripada China's Wulong Panda Research Institute, badan yang bertanggungjawab menyewakan panda itu, akan turut ditempatkan di negara ini bagi mengawasi kehidupannya sepanjang panda tersebut berada di negara ini.

Secara keseluruhannya, sebagaimana yang pernah dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kos RM20 juta sepanjang 10 tahun dua ekor panda itu ditempatkan di negara ini.

Perkara yang menimbulkan persoalan di kalangan pegawai tinggi kerajaan ialah tentang kebijaksanaan Najib menerima permintaan China untuk memelihara panda itu. Mereka berpandangan sebaiknya Najib menolak permintaan China itu dengan baik sambil mengambil kira faktor cuaca, makanan dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung itu.

Bagi pegawai tinggi kerajaan, masih banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk meraikan hubungan  mesra yang telah terjalin selama 40 tahun antara Malaysia dengan China, selain daripada memelihara panda. Jika pun ingin  sangat meraikan hubungan diplomatik yang mesra itu, ia juga boleh dilakukan dengan mengadakan pertukaran rombongan kebudayaan, pertukaran pelajar, lawatan belia sambil belajar secara tetap dan sebagainya.

Dalam kedudukan Najib sendiri dipertikaikan oleh rakyat, memelihara dua ekor panda dengan kos RM20 juta melalui  wang pembayar cukai selama 10 tahun tentulah memburukkan lagi persepsi beliau di mata rakyat.

Rasa tidak setuju rakyat terhadap panda itu terserlah bilamana Najib dalam laman facebook bahasa Cinanya meminta rakyat turut memberi nama kepada dua ekor panda itu, ia  akhirnya menjadi persendaan maya di mana antara nama yang dicadangkan ialah cin cin & beg beg, Altantuya & Scorpene dan sebagainya.

Para pegawai tinggi kerajaan juga bimbang hubungan Malaysia dan China akan terjejas serta menjadi isu besar di antara kedua negara sekiranya panda itu mati dan sebagainya berikutan persekitaran habitatnya yang dibina  nanti tidak bersesuaian.

Selain isu panda, pegawai tinggi kerajaan juga menyifatkan tindakan pentadbiran Najib mengadakan pelbagai program melibatkan rakyat hampir setiap minggu dan sepanjang masa sejak beberapa bulan lalu sebagai meletihkan kakitangan kerajaan.

Secara umumnya, pegawai kerajaan memang sedia berkhidmat dan menurut arahan daripada pemerintah tetapi yang menjadi persoalan ialah program-program itu sudah berjalan secara marathon sejak beberapa lama dan masih tidak ternampak tanda-tanda Najib akan mengadakan pilihanraya dalam waktu yang terdekat ini.

Mereka juga dapat merasakan pastinya dalam bulan Ramadan dan Syawal nanti, program-program yang melibatkan rakyat akan berlipat kali ganda lagi dari segi bilangan dan saiznya kerana Najib nampaknya masih berusaha meraih sokongan sebanyak-sebanyaknya sebelum mengadakan pilihanraya.

Para pegawai kerajaan kini mengadu  sudah beberapa bulan keletihan dan tidak tahu sampai bila lagi mereka akan terus keletihan di bawah pentadbiran Najib ini.

No comments:

Post a Comment