Saturday, September 8, 2012

Sang Saka: Tidak wajar dakwa pengibarnya


Kerajaan digesa supaya tidak mendakwa kedua-dua yang ditahan kerana mengibarkan bendera Sang Saka Malaya kerana dakwaan akan memberi imej buruk kepada negara.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin berkata, kedua-duanya masih muda dan kesalahan mereka tidaklah begitu serius untuk dibuat pendakwaan.


(Gambar pengibaran bendera Sang Saka Malaya yang disiar dalam blog Singa Selatan.)

"Memang kita tidak bersetuju dengan tindakan mereka tetapi mendakwa mereka bukan satu tindakan yang baik.

"Biarlah anak muda berekspresi, tidak perlulah kita keras sangat," kata Hanipa (gambar kanan), AJK PAS Pusat, kepada Harakahdaily.

Dua suspek yang mengibar bendera Sang Saka Malaya dalam perhimpunan Janji Bersih pada malam ambang merdeka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi tujuan memberi keterangan semalam.

Kedua-dua mereka iaitu Muhammad Nasir Abu Bakar dan Mohd Zairi Shafa'ai hadir ke IPD Dang Wangi sekitar jam 2.30 petang dengan diringi dua orang peguam.

Peguam Muhammad Afiq mohd Nasir ketika dihubungi menjelaskan kedua-dua mereka telah disiasat di bawah Seksyen 4(a) Akta Hasutan.

"Kedua-dua mereka telah hadir ke IPD hari ini bagi tujuan membantu siasatan serta memberi keterangan berhubung mengibar bendera Sang Saka.

"Mereka telah disiasat dibawah Seksyen 4(a) Akta Hasutan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, sehingga sekarang keterangan masih lagi diambil dan beliau berharap kedua-dua mereka akan dibebaskan pada malam ini.

"Kita berharap kedua-dua mereka akan dibebaskan pada malam ini dan tidak akan berlaku apa-apa penahanan.

"Namun saya tak berani nak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga segala urusan selesai," sambungnya lagi.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Assistan Komisioner Aziz Zakaria turut mengesahkan kedua-dua suspek berumur 20-an itu ditahan petang ini di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Namun, salah seorang daripada mereka bagaimanapun sebelum ini menulis di blog bahawa mereka tidak berniat menggantikan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah kemerdekaan tanah air, mereka merasakan Sang Saka Malaya layar dikibarkan bersama pada sambutan itu.

No comments:

Post a Comment