Sunday, September 29, 2013

Felda ingkari teras Plan Transformasi Ekonomi

Felda secara terang-terangan mengingkari salah satu teras utama Plan Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan Persekutuan untuk melepaskan aset bukan teras apabila melabur hampir RM700 juta dalam bidang hartanah.



Pelaburan Felda itu membabitkan pembelian hartanah bagi tujuan perhotelan di dalam negara dan di London.


Setiausaha Agung DAP yang juga  Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini mempersoalkan sama ada pelaburan korporat dan hartanah anak syarikat Felda itu mempunyai kaitan dengan pemilihan Umno, Oktober ini.


Felda Global Venture Holdings (FGV) baru-baru ini telah mengambil alih hotel empat bintang, Grand Borneo di Kota Kinabalu dengan harga RM86 juta dan membeli Grand Plaza Service Apartments di London dengan kos £98 juta (RM497 juta).


Anak syarikat Felda itu juga membeli 25 peratus saham syarikat Iris Corp yang tersenarai di Bursa Malaysia dengan kos RM110 juta.


Iris Corp adalah syarikat pembuat kad pintar dan perkampungan agrikultur.


“Apa kaitan antara operasi dan pemilikan lapan buah hotel di serata Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan London dengan (aktiviti teras Felda iaitu) penanaman kelapa sawit?


“Bagaimana dengan melabur RM700 juta menjalankan perniagaan perhotelan di dalam negara dan di London dapat memberi faedah kepada kehidupan lebih satu juta orang yang tinggal di tanah rancangan Felda di seluruh negara?” soal Guan Eng.


Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, walaupun Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd  Isa Abdul Samad mencadangkan kepentingan Felda untuk mempelbagaikan portfolio perladangan yang kini tertakluk kepada ragam pasaran minyak kelapa sawit mentah, namun usaha kepelbagaian itu perlu berkait dengan bisnes teras Felda atau berkait rapat dengan pengalaman pengurusan pakar badan berkanun itu.


“Dunia korporat bersepah dengan sampah sarap pelaburan yang tidak rasional dan cuai; dalam bisnes yang syarikat induk tidak mempunyai banyak kepakaran atau ilmu.


“Felda tidak ada ilmu mengurus hotel. Apa yang membuatkan Felda merasakan ia boleh melakukan tugas yang lebih baik berbanding pengusaha hotel berpengalaman serta mendapatkan kadar pulangan yang lebih baik untuk pelaburan RM700 jutanya?” soal beliau lagi.


Menurut Guan Eng, berdasarkan pengalaman menguruskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, beliau terkejut dengan tindakan bekas kerajaan BN negeri dan anak-anak syarikatnya dengan aktiviti bukan-teras seperti operasi ladang kelapa sawit, getah, kolam ikan, hotel, kolej malah padang golf.


“Kesemua usaha yang tidak difikirkan dengan baik ini menjana kerugian ketika itu.


“Melalui polisi melepaskan pegangan, dan penyumberan luar (outsourcing) melalui pelaksanaan tender terbuka, kesemua kerugian operasi ini ditukar menjadi keuntungan secara tahunan.


“Namun kerugian operasi  ini semua dapat ditukar menjadi keuntungan dengan cepat disebabkan hartanah yang terlibat sudah pun dimiliki oleh kerajaan negeri. Dengan kata lain tidak wujud sebarang perbelanjaan modal,” jelasnya.


Sehubungan itu, beliau sangsi perbelanjaan modal sebanyak RM700 juta oleh Felda, walaupun mampu menjana keuntungan akan menjustifikasi kos pelaburan.


“Atas sebab ini, pemimpin BN tidak sepatutnya menguruskan dana awam seperti milik peribadi tetapi ia perlu memberi justifikasi demi kepentingan akauntabiliti dan ketelusan, apa sebenarnya faedah kewangan daripada melabur dalam bisnes bukan teras kepada orang ramai,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment