PAS mengucapkan tahniah kepada DAP kerana mengambil langkah tidak membelakangi gesaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula bagi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) hari ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, DAP akur dengan apa yang dikehendaki oleh ROS dan hari ini terbukti mereka berkumpul beramai-ramai semula.
Hatta yang hadir sebagai tetamu Khas ke Kongres Khas Kebangsaan DAP itu percaya parti itu teraniaya hanya kerana mereka bercakap benar.
"Apa yang dibuat oleh ROS, itu satu usaha berdendam, saya pun tidak pasti apa puncanya," katanya ketika ditemui Harakahdaily sebaik sahaja selesai ucaptama pimpinan DAP.
Beliau juga berharap pemilihan khas ini berjalan dengan baik dan diterima oleh ROS supaya ianya berjaya menyelesaikan episod yang tidak senang di kalangan ahli DAP.
Sementara itu, Hatta memuji ucapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sentiasa menegaskan sikap parti itu terhadap Perlembagaan Negara dan mengangkat sistem demokrasi berparlimen dan Raja-Raja Melayu.
"Saya rasa perkara ini perlu diperingatkan dan diulang berkali-kali kerana masih ada rakyat yang sangsi dan menganggap DAP parti cauvinis tidak boleh disokong.
"Keadaan begitu baik sekarang mereka berada di pentas politik Malaysia bersama-sama Pakatan Rakyat untuk mengajak ke arah perubahan," katanya.
No comments:
Post a Comment