Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan rasa bimbang terhadap cadangan pindaan Akta Pencegahan Penjenayah (PAC) 1959 seperti mana yang dicerminkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 25 September lalu.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmi Agam (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, walaupun menyokong usaha berterusan kerajaan dalam menangani jenayah serius, hasil kajian Suhakam mendapati beberapa peruntukan dalam RUU tersebut terutamanya penahanan tanpa bicara dan perwakilan undang-undang, tidak selari dengan prinsip asas hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
“Walaupun adalah diperhatikan bahawa RUU tersebut mencadangkan satu pindaan ke atas Sesyen 9(1) menjadikannya satu keperluan untuk laporan-laporan siasatan dikemukakan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah (Lembaga) dan bukannya Menteri, Suruhanjaya memandang serius terhadap cadangan Seksyen 9(5) dan Seksyen 9A(2) yang menafikan hak seseorang untuk perwakilan undang-undang seperti yang terjamin di bawah Perkara 5(3) dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 7 dalam UDHR,” jelas Hasmy.
Suhakam juga, tambah beliau bimbang dengan cadangan Seksyen 7C yang memberi kuasa kepada Lembaga untuk mengeluarkan perintah tahanan terhadap seseorang yang telah melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada dia telah disabitkan atau tidak, dan semata-mata berdasarkan kecukupan bukti.
Tambah beliau, Suhakam berpendapat peruntukan tersebut mencabuli hak seseorang kepada perbicaraan yang adil, perlindungan terhadap perbicaraan berulang serta hak untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan hak untuk dipertimbangkan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Suruhanjaya juga melahirkan rasa kecewa ke atas cadangan Seksyen 15A yang menghalang semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga melainkan perkara-perkara yang berkenaan prosedur seterusnya menafikan hak seseorang individu untuk mendapatkan akses kepada mahkamah dengan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.
“Dalam usaha kerajaan memerangi jenayah, adalah penting untuknya memastikan bahawa undang-undang yang digubal adalah progresif dan tidak mundur, menyedari akan kedudukan Malaysia sebagai ahli kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) yang mengkehendakinya menegakkan piawaian tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini,” tegas beliau.
Sehubungan itu, Suhakam jelasnya menyarankan kerajaan menangguhkan pembentangan kali kedua rang undang-undang tersebut dan menjalankan kajian semula ke atas cadangan-cadangan pindaan dengan mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia iaitu penahanan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya; penahanan mestilah berdasarkan sebab dan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang; maklumat tentang sebab-sebab penahanan mesti diperuntukkan; dan hak untuk perbicaraan yang adil dan akses kepada perwakilan undang-undang mesti diperuntukkan.
“Suruhanjaya berpendapat bahawa selaras dengan matlamat ternyata kerajaan untuk menggerakkan negara ke arah mencapai status negara maju pada masa akan datang, adalah penting untuk Malaysia menunjukkan pematuhan sepenuhnya dengan norma-norma hak asasi manusia di samping memastikan penglibatan yang bermakna bersama pelbagai pihak berkepentingan di dalam proses kajian semula undang-undang dan perancangan dasar yang mana kerajaan komited untuk menjalankan,” tegas beliau lagi.
No comments:
Post a Comment