Sunday, December 15, 2013

Naik harga: Apa lagi kerajaan mahu?

Belum reda lagi kemarahan rakyat tentang tindakan kerajaan menaikkan tarif elektrik, kini telah terdengar desas-desus bahawa tambang pengangkutan awam jenis LRT dan monorel pula akan dinaikkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan sedang mengkaji semula struktur tambang pengangkutan awam itu.

Syed Hamid berkata, ini disebabkan faktor peningkatan tarif elektrik di samping bagi memastikan jangka panjang industri rel mapan serta mengurangkan kebergantungan sokongan kewangan kerajaan.

Tindakan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga tambang pengangkutan awam adalah rentetan 'penderaan' ke atas rakyat setelah pengumuman kenaikan tarif elektrik baru-baru ini.

Harga tambang pengangkutan awam jenis LRT dan monorel ketika ini sudah cukup membebankan rakyat di ibu kota dan dengan harga baru yang bakal diumumkan nanti akan menambahkan lagi beban yang ditanggung.

Pemuda PAS menolak sekeras-kerasnya hasrat kerajaan melalui SPAD untuk menaikkan harga pengangkutan awam itu kerana ianya akan menambahkan lagi beban rakyat khususnya di yang tinggal di ibu kota.

Kenaikan ini akan meneruskan episod kesengsaraan rakyat apabila sebelum ini dibebani dengan kenaikan harga minyak petrol, gula serta harga barangan keperluan dan yang terbaru, kenaikan tarif elektrik.

Pengumuman pelbagai kenaikan ini menzahirkan betapa tidak bertanggungjawabnya kerajaan kepada rakyat. Kerajaan seolah-olah hilang pertimbangan apabila sewenang-wenangnya menaikkan pelbagai harga tanpa rasa belas kasihan kepada rakyat.

Kerajaan perlu mendengar serta merasai denyutan nadi rakyat marhaen yang sedang dibebani oleh kos kehidupan semakin meningkat.

Saya kecewa dengan sikap kerajaan yang hanya tahu 'merompak' wang rakyat tetapi tidak langsung berusaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan perkapita rakyat.

Kerajaan tidak sepatutnya meletakkan tugas mereka untuk menyelesaikan masalah di bahu rakyat. Kerajaan tiada nilai kemanusiaan apabila tidak prihatin dengan bebanan yang rakyat tanggung ketika ini.

Timbul persoalan, berbagai harga telah dinaikkan, tidak cukupkah? Apa lagi kerajaan mahu?

Penulis ialah Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

No comments:

Post a Comment