Saturday, February 1, 2014

Dua kanak-kanak cedera dikelar bapa makin pulih

KUALA LUMPUR: Keadaan dua kanak-kanak perempuan yang cedera parah dikelar bapa mereka di rumah mereka di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Kajang dekat sini Khamis lepas, dilaporkan semakin pulih.

Jurucakap Unit Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata keadaan seorang daripada kanak-kanak itu yang dirawat di hospital itu semakin pulih dan mampu untuk makan selepas dibedah semalam.

Katanya kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu yang cedera di belakang tengkuk dan putus ibu jarinya dalam kejadian itu menjalani pembedahan di hospital itu kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

"Setakat pagi tadi, jururawat yang bertugas memberitahu dia kelihatan sangat tenang malahan memberi kerjasama apabila disuruh makan.

"Bagaimanapun, kami tidak pasti bila dia dibenarkan keluar daripada wad," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
  
Di Hospital Kajang, adik kepada kanak-kanak itu yang berusia 10 tahun yang cedera di bahagian belakang kepala dan tangan dalam kejadian itu juga dilaporkan stabil.

Ini dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abd Rahim Jaafar yang ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang hari ini.

Dalam kejadian 4.15 petang Khamis itu, bapa kepada kanak-kanak terbabit berusia 44 tahun yang mengganggur sejak dua tahun lepas, mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka. –

No comments:

Post a Comment