AJK PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor berkata, rakyat tidak mahu dikorbankan dengan politik polemik buat kesekian kalinya, dan rakyat bosan mengadap isu yang direka dan dibentangkan setiap hari bagi meraih keuntungan pihak terbabit, sedangkan negara terus dihimpit dengan hutang yang tinggi, kos sara hidup yang melampau disamping bebanan cukai yang keterlaluan ditanggung.
“Selesaikan masalah rakyat adalah agenda besar permuafakatan nasional dan libatkan semua pihak termasuk rakyat di peringkat bawahan agar merkea juga mampu menyumbang dalam memastikan rekonsiliasi nasional menjadi agenda besar negara,” ujarnya menerusi facebook, sebagaimana di bawah
Ketika idea rekonsiliasi atau permuafakatan nasional dicanang di seluruh negara, pilihanraya kecil Dun Kajang terpaksa diadakan berikutan Adun tersebut, Lin Chin Cheh meletak jawatan.
Tanpa angin tanpa ribut, tanpa kematian tiba-tiba pilihanraya kecil terpaksa diadakan di Dun berkenaan.
Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan isu PRK Kajang, kerana terlalu ramai ahli politik dan pemimpin yang meluahkan kemarahan, kekecewaan tidak kurang juga yang memuji tindakan pemimpin PKR itu.
Permuafakatan nasional adalah agenda perpaduan dengan tujuan membina sebuah negara yang harmaoni, bersatu, aman, makmur.
Ia adalah idea baik dan bernas kerana semua pihak boleh duduk semeja berbincang meskipun berlainan agenda politik malah ideologi pegangan politik mereka.
Demi negara, kesemua pihak harus akur dengan kepentingan bersama dan mencapai kata sepakat bagi memastikan negara dapat di terajui dengan baik.
Soalnya, mampukah kesemua pihak terbabit bermuafakat dengan jujur dan ikhlas tanpa ada kepentingan peribadi mahupun politik tertentu di sebaliknya?
Adakah tidak ada suatu perbincangan belakang tabir yang merencanakan sesuatu termasuk mengatur skrip politik negara dengan perjalanan yang sedemikian rupa, bagi melestarikan cita-cita dan kehendak mereka?
Apakah PRK Dun Kajang juga adalah hasil perbincangan tahap tertinggi pihak berkaitan dan adakah ia terjemahan daripada rekonsiliasi nasional yang dislogankan itu?
Apa yang pasti, Perdana Menteri gemar bermain dengan istilah yang begitu hebat pada pandangan rakyat namun kosong pada pengisian dan kaku pada penghayatannya.
Slogan 1Malaysia’, ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, endless possibilities’ adalah mainan beliau sejak dahulu dan terkini menggunakan istilah rekonsiliasi nasional bagi menjustifikasikan tindakan politik beliau.
Yang penting di sisi rakyat, bukannya slogan yang dilaungkan itu tetapi apakah hasil dari kesemua slogan yang diungkapkan malah dijenamakan sehingga menggunakan jutaan duit negara itu.
Mengikut rekod, slogan-slogan tersebut terus berlalu mengikut rentak politik selera semasa dan menjadi sejarah tatapan generasi akan datang.
Kesannya tiada yang membanggakan rakyat melainkan hanya kepada kepentingan golongan tertentu.
Jika permuafakatan nasional menjadi agenda teras pemimpin negara, PM perlu berani berterus terang apakah agenda utamanya, natijah yang diharap akhir daripada agenda ini serta kepentingan utamanya kepada rakyat.
Rakyat tidak mahu dikorbankan dengan politik polemik buat kesekian kalinya, dan rakyat bosan mengadap isu yang direka dan dibentangkan setiap hari bagi meraih keuntungan pihak terbabit, sedangkan negara terus dihimpit dengan hutang yang tinggi, kos sara hidup yang melampau disamping bebanan cukai yang keterlaluan ditanggung.
Selesaikan masalah rakyat adalah agenda besar permuafakatan nasional dan libatkan semua pihak termasuk rakyat di peringkat bawahan agar merkea juga mampu menyumbang dalam memastikan rekonsiliasi nasional menjadi agenda besar negara.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment