Saturday, February 1, 2014

Mohamad turun padang fokus masalah Melayu P Pinang


Mohamad mengadakan pertemuan dengan Exco Agama dan Yang Dipertua MAIPP.
PULAU PINANG: Bagi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turun padang meninjau permasalahan rakyat atau ziarah ke pejabat kerajaan bukan perkara asing bahkan menjadi rutin tugas hariannya sekiranya ada masa lapang.

Makan di kedai mamak, minum petang di warung kopi di tepi jalan tidak menjadi masalah untuknya kerana di situlah banyak saluran maklumat diperolehi.

Sikap berlapang dada menyenangkan orang ramai bertemu dan bersapa tanpa rasa segan untuk bersembang apa saja topik walaupun dirinya merupakan pemimpin Gerakan Islam terbesar di Malaysia.

Apabila beliau dilantik mengepalai PAS Pulau Pinang, Umno, Berjasa dan sekutunya terkedu kerana bimbang pengaruhnya boleh menyebabkan beberapa buah kerusi 'berhantu' Umno bakal hilang lagi.

Pemilihanya sebagai Pesuruhjaya PAS negeri merupakan satu hirisan berbisa pisau beracun kepada pengacau yang selalu mengadu domba mengecam kerajaan yang mengamalkan prinsip 'Cekap, Akauntabili dan Telus' pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Semasa mengemudi mesyuarat pertama PAS negeri, beliau bertekad memfokuskan kepada beberapa perkara yang menjadi isu penting seperti perumahan, tanah dan ekonomi khusususnya melibatkan orang Melayu.

Sekaligus apa yang dikehendaki beliau memang menjadi motif Kerajaan Pakatan Rakyat untuk bertindak berlainan daripada BN yamg lebih mementingkan keuntungan peribadi daripada membantu rakyat.

Maka, sebab itu langkahnya turun meninjau sendiri keadaan rakyat disambut baik oleh jentera PAS di kawasan-kawasan khasnya di sebelah pulau kerana banyak isu negeri ini dialami oleh penduduk pulau berbanding tanah besar di Seberang Perai.

Gandingan bersama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pastinya memantapkan lagi perjalanan PAS Pulau Pinang kerana Mujahid memang hadam isu Pulau Pinang sebelum beliau memenangi Pilihanraya Umum di Parlimen Parit Buntar sejak 2008.

Baru-baru ini, Mohamad bersama anggota Dewan Harian Perhubungan PAS negeri mengadakan tinjauan ke beberapa lokasi seperti di Batu Feringgi, Kampung Pokok Asam di Jelutong dan Kampung Batu Uban di Bayan Baru.

Ketika ditanya apakah matlamat tinjauan tersebut, beliau berkata, ia adalah untuk melihat sendiri keperitan hidup rakyat bawahan selain mencari formula bagaimana untuk membantu Kerajaan Pakatan Rakyat menyelesaikan kemelut yang ditinggalkan oleh BN.

Beliau berkata, lazimnya isu tanah menjadi masalah besar di lokasi berkenaan, maka sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat seharusnya diselesaikan dengan baik bagaikan 'menarik rambut dalam tepung'.

Jika dilakukan secara kasar, ujarnya, Umno, Perkasa serta badan bukan kerajaan (NGO) yang pro BN akan mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat negeri melalui siri demonstrasi tidak bermoral, membelakangkan adab dan tatasusila anak Melayu.

Pihak tersebut hanya tahu membelasah Pakatan Rakyat walhal bila tahu perkara sebenar mereka tidak pula kedengaran memohon maaf.

Menurutnya lagi, jika ada rakyat bertindak silap menduduki tanah TOL, tanah wakaf dan sebagainya tanpa kebenaran, kerajaan negeri jangan beremosi tetapi melaksanakan tanggung jawab dengan baik.

Ini, katanya kerana jika tersalah percaturan sesebuah kerajaan boleh 'bungkus' kerana rakyat adalah penentu kerajaan pada masa depan.

Mohamad dan anggota Dewan Harian PAS Pulau Pinang meninjau rumah mangsa pembangunan di Batu Feringgi.

No comments:

Post a Comment