Saturday, February 1, 2014

Gerakan Sokong Syariah tuntut Langkawi bebas arak

KUALA LUMPUR: Gerakan Sokong Syariah (Gesa), anjuran gabungan beberapa NGO iaitu Mapim, Salimah, Teras dan Landas menuntut agar pihak kerajaan membatalkan bebas cukai ke atas arak di Langkawi dan dalam rangka kempen Gesa di pulau itu atas tema "Langkawi Bersyariat".

“Kami mendesak agar pulau ini bebas daripada arak. Kami dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak berdolak dalik lagi untuk membasmi gejala arak di pulau Langkawi jika masa depan rakyat serta keutuhan sosial masyarakat mahu dijamin,” tegas Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, Gesa amat yakin Langkawi tanpa arak tidak akan menjejaskan pelancongan di pulau itu kerana pelancong bukan datang ke Langkawi semata-mata untuk minum arak.

Kenyataan penuh sebagaimana di bawah.

Gerakan Sokong Syariah (Gesa), anjuran gabungan beberapa NGO iaitu Mapim, Salimah, Teras dan Landas menuntut agar pihak kerajaan membatalkan bebas cukai ke atas arak di Langkawi dan dalam rangka kempen Gesa di pulau itu atas tema "Langkawi Bersyariat", kami mendesak agar pulau ini bebas daripada arak.

Kami mendapati undang-undang mengenai arak yang ada di negara ini terlalu longgar. Akta Kastam 1967, Seksyen 2(1) mentakrifkan in toxicating liquor atau alkohol yang memabukkan ialah cecair yang mengandungi 2% sahaja ‘alcohol proved’ atau pun alkohol mutlak. Bir dan todi atau mana-mana arak native semuanya mengandungi melebihi 2%. Jadi ia adalah cecair yang memabukkan.

Walau pun peruncit memerlukan lesen untuk menjual minuman keras, lesen tidak diperlukan untuk menjual bir di dalam botol atau di dalam tin. Ini kerana dalam Akta Eksais 176, Seksyen 20(1) sudah menetapkan semua rak yang disuling atau yang ditapai memerlukan lesen.

Seksyen 32(1) yang mensyaratkan penjualan liquor yang memabukkan memerlukan lesen. Namun Seksyen 32(1)(a) dan (b) pula mengecualikan jualan runcit bir atau todi dalam botol atau dalam tin dan ini tidak memerlukan lesen.

Ha ini menyebabkan bir boleh dijual di 7 Eleven yang mana pekerjanya adalah juga di kalangan anak Melayu sendiri.

Seksyen 32(1) (c) pula membenarkan jualan runcit liquor yang memabukkan di kedai-kedai bebas duti yang dilesenkan di bawah Seksyen 65 (d) Akta Kastam 1967. Jadi ini menunjukkan bahawa penjualan arak ini boleh dijual di mana-mana sahaja.

Memetik kenyataan daripada dokumen yang pernah dikeluarkan oleh Teras Pengupayaan Melayu (Teras) bertajuk 50 Cara Selamatkan Malaysia. Pada perkata ke-23: “Kita tidak boleh bertolak ansur dengan industri arak. Bukan sahaja masalah sosial merebak akibat arak malah negara akan berhadapan dengan risiko yang besar dari segi kesihatan awam dan keselamatan awam jika dibiarkan berterusan. Pemerintah tidak lagi boleh melihat industri arak sebagai penyumbang ekonomi negara sedangkan ia bukan sahaja dosa besar dalam menghalalkannya malah ia adalah musibah yang sangat berat untuk diatasi jika industri ini dibiarkan terintegrasi dalam ekonomi negara. Haramkan segala pengiklanan dan promosi arak. Banteras arak yang dijual secara pek yang murah yang mensasarkan anak muda untuk mudah membelinya. Semak semua premis penjualan arak dan jangan disambung jualan arak bila tamat tempohnya”.

Menurut Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya 45 peratus penduduk dunia tidak mengambil minuman beralkohol.

Kami ingin menjelaskan fakta status konsumsi arak di Malaysia amat memprihatinkan.

 Malaysia pengguna arak no.10 dunia!

 45% remaja bawah 18 tahun pengguna arak.

 Setiap tahun rakyat Malaysia belanja RM1.9 bilion untuk arak.

 200 000 orang adalah penagih arak.

 Carlsberg pernah untung RM110 juta tahun 1999 di Malaysia

 Jualan samsu bernilai RM180 juta setahun.

 Prof Dr  M Parameshvara, kematian akibat arak lebih banyak berbanding akibat heroin.

Pada 10 November 2013 lalu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan Pusat akan terus membangunkan industri pelancongan di pulau Langkawi "ke tahap lebih tinggi" dengan menjadikannya sebagai destinasi percutian dunia berkonsepkan nautika mewah.

Beliau menambah bahawa industri pelancongan di Langkawi perlu dibawa ke fasa seterusnya, dan ini memerlukan "beberapa pelabur besar dan jenama terkemuka" untuk menarik minat lebih ramai pelancong luar, termasuk yang berpendapatan tinggi.

Kami khuatir jika matlamat menarik pelancong berpendapatan tinggi dijadikan agenda utama, penghakisan moral dan akhlak serta kondisi sosial penduduk pulau ini dikompromi.

Malah kesan berantai akibat projek perlancongan tanpa batasan ini amat membimbangkan terutama terhadap budaya hidup masyarakat.

Tidak keterlaluan untuk kami menyatakan pembangunan sektor pelancongan yang dibangunkan tanpa kawalan dan tanpa kesedaran sosial yang tinggi bukan sahaja berpotensi menggugat moral masyarakat terutama golongan generasi muda malah seluruh tamadun Islam.

Kami dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak berdolak dalih lagi untuk membasmi gejala arak di pulau Langkawi  jika masa depan rakyat serta keutuhan sosial masyarakat mahu dijamin.

Kami amat yakin Langkawi tanpa arak tidak akan menjejaskan pelancongan di pulau ini kerana pelancong bukan datang ke Langkawi semata-mata untuk minum arak.

No comments:

Post a Comment