Beliau mengulas kenyataan SPR hari ini yang memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu supaya tidak melaksanakan sebarang bentuk kempen menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Tenang, kerana tempoh kempen PRK berkenaan hanya akan bermula pada 22 Januari depan.
“BN terus berkempen sepanjang masa menggunakan media-media milik Umno seperti TV3, Utusan Malaysia dan media yang diletakkan di bawah Kementerian Penerangan. Slogan 1Malaysia juga sebenarnya adalah merupakan kempen BN. Jadi apa masalahnya untuk berkempen sebelum tempoh pilihan raya?,” soal Azmizam.
Menurutnya, Umno-BN memiliki pengaruh media yang begitu besar seperti televisyen, radio dan media bercetak lain bagi menjayakan kempen mereka, berbanding Pakatan yang memiliki sumber yang terhad.
“Kalau SPR benar-benar tidak mahu perkara ini berlaku, kenapa mereka benarkan kempen dijalankan melalui media-media massa. Kita dalam Pakatan Rakyat tidak ada ruang, organ parti seperti Suara Keadilan tidak mendapat permit dari Kementerian Dalam Negeri, dan Harakah pula edarannya terhad kepada ahli.
“Apa yang kita boleh lakukan hanyalah melalui ceramah-ceramah bagi memberi penerangan dan memastikan maklumat sampai kepada rakyat,” ujarnya lagi.
Jesteru, beliau mencabar SPR supaya memberi justifikasi yang jelas tentang kempen yang dimaksudkan dan mengambil tindakan terhadap media-media kawalan Umno/BN yang cuba mempengaruhi pengundi menjelang PRK di Dun Tenang.
“Kita cabar SPR, jika tidak boleh benarkan berkempen, haramkan juga kempen melalui media-media massa,” tegas beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memberi amaran kepada parti-parti politik supaya tidak menjalankan sebarang bentuk kempen di DUN Tenang sebelum 22 Januari ini.
Pengarah SPR Johor, Othman Noh berkata mereka yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
No comments:
Post a Comment