Wednesday, December 29, 2010

SPRM ‘siasat’ dakwaan Alcatel sogok dapatkan kontrak 3G

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan “menyiasat” dakwaan kes sogokan membabitkan Alcatel Lucent SA – laporan yang turut mendakwa pegawai kerajaan Malaysia terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan pemerolehan kontrak telekomunikasi.
SPRM berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu, yang terbongkar semalam walaupun pihak-pihak terbabit menyedari isu itu tiga tahun lalu.
“SPRM memandang serius dakwaan ini dan akan membuat semakan dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk mendapatkan butir-butir sebenar tohmahan sebelum tindakan sewajarnya diambil,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, suruhanjaya tersebut memohon kerjasama pihak media agar tidak membuat sebarang spekulasi sebelum butir-butir lanjut mengenai dakwaan ini dapat disahkan.
Pagi tadi, The Malaysian Insider melaporkan bahawa  Telekom Malaysia Bhd (TM) menjanjikan siasatan berhubung dakwaan skandal rasuah antarabangsa yang membawa kepada pemerolehan kontrak AS$85 juta oleh syarikat telekomunikasi ternama Alcatel, yang menurut sumber ia terdedah tiga tahun lalu tetapi tidak pernah disiasat.
Maklumat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat menunjukkan dua perunding dari Malaysia telah dibayar sebanyak AS$700,000 bagi mendapatkan “maklumat bukan awam” berhubung aspek harga dan bidaan pesaing-pesaing, dipercayai untuk anak syarikatnya Celcom Malaysia memperoleh perkhidmatan mudah alih 3G, yang dilancarkan pada 2005.
“Perkara itu dibangkitkan memandangkan urusan itu tidak mematuhi prosedur-prosedur (yang ditetapkan). Tetapi tiada tindakan diambil,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Telekom Malaysia berkata, pihaknya mengambil berat dakwaan yang mengaitkan syarikat nasional itu dengan skandal tersebut.
“Kami memandang serius dakwaan-dakwaan ini dan akan meneruskan siasatan menyeluruh demi mempertahankan integriti proses pemerolehan dan memastikan pematuhan Kod Etika Perniagaan (CBE).”
Katanya, sebaik sahaja ada penemuan kukuh, pihaknya akan memaklumkan pihak berkuasa.
“Kami akan memberi kerjasama sewajarnya, yang diperlukan.
“TM ada dasar tidak akan bertolak ansur dalam soal amalan tidak sihat dan yang tidak wajar, dan akan mengambil tindakan sekiranya ada pekerja kami terlibat,” kata syarikat itu lagi.
Sumber syarikat memberitahu, Alcatel memperoleh kontrak untuk membekalkan kelengkapan perkhidmatan 3G meskipun ia tiada pengalaman dalam sektor tersebut.
Kelengkapan itu kemudian dibatalkan, kata sumber itu lagi.
Difahamkan, ada banyak lagi kes pelanggaran peraturan dalam TM membabitkan pemerolehan daripada Alcatel yang tidak disiasat oleh SEC.
Semalam, Alcatel bersetuju untuk membayar lebih AS$137 juta (RM430.4 juta) untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan AS bahawa ia membayar berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah kepada pegawai-pegawai asing untuk memperoleh bisnes di Amerika Selatan dan Asia.
Pengeluar kelengkapan telekomunikasi ini dituduh membuat bayaran kepada pegawai-pegawai kerajaan termasuk di Costa Rica, Honduras, Taiwan dan Malaysia untuk memperoleh kontrak atau mengekalkan kontrak-kontrak yang diperoleh, melibatkan nilai berjuta dolar, kata SEC dan Jabatan Kehakiman AS.
Antara Disember 2001 dan Jun 2006, syarikat itu menggunakan khidmat perunding yang menyalurkan lebih AS$8 juta untuk membayar rasuah kepada pegawai-pegawai terbabit.
Malah, Alcatel didapat melantik ejen-ejen di negara-negara seperti Nigeria untuk mendapatkan kontrak, kata pihak berkuasa.
Pada keseluruhannya syarikat itu mengaku memperoleh keuntungan bernilai AS$48.1 juta ekoran pembayaran-pembayaran tidak sewajarnya, kata Jabatan Kehakiman.
Syarikat itu bersetuju untuk membayar AS$92 juta untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan jenayah yang dibawa oleh Jabatan Kehakiman dan juga AS$45 juta untuk menyelesaikan tuduhan-tuduhan sivil dibawa SEC.

No comments:

Post a Comment