Saturday, January 22, 2011

BN-Pakatan ulangi saingan 2008, kempen Tenang bermula


LABIS, 22 Jan — Gelanggang kempen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dibuka secara rasmi dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat — mengulangi pertarungan tiga tahun lalu.
BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim, 38, iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis dan bekas guru, Normala Sudirman, 38.
Pegawai pengurus pilihan raya Md Asri Amir mengesahkan hanya dua orang mengemukakan borang penamaan calon dan kedua-dua mereka disahkan sebagai calon pilihan raya kecil yang ke-14 ini pada pukul 11.20 pagi tadi.
Pengundian akan berlangsung pada 30 Januari ini. Keputusan pilihan raya kecil ini meskipun tidak akan memberi kesan ke atas kedudukan di DUN tetapi dilihat bakal menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 kelak, yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.
Mohd Azahar memasuki dewan penamaan calon untuk menyerahkan borang pada pukul 9.02 pagi manakala Normala yang mesra dikenali sebagai “Cikgu Mala” menghantar borangnya pada pukul 9.10 pagi.
Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.
Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008. Proses penamaan calon selama sejam bagi pilihan raya kecil DUN Tenang bermula pada pukul 9 pagi di Pejabat Majlis Daerah Labis.
Ia disusuli dengan tempoh bantahan selama satu jam dan diikuti dengan pengumuman senarai calon yang sah bertanding.
Sekitar 10,000 orang dengan kekuatan yang seimbang di pihak BN dan Pakatan membanjiri pekarangan pusat penamaan calon tetapi maklumat diterima menunjukkan penyokong iringan dilarang menggunakan pembesar suara.
Polis dikatakan merampas beberapa pembesar suara dibawa penyokong iringan. Terdahulu Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai penyokong BN untuk mengiringi calon mereka Mohd Azahar di pusat penamaan tersebut.
Turut mengiringi Muhyiddin termasuk Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Presiden MIC Datuk G. Palanivel. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharudin Md Isa, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berada di pusat penamaan calon bagi mengiringi calon PAS.
Keadaan cuaca di pusat pencalonan itu baik dengan penyokong calon masing-masing mula berkumpul seawal 6.30 pagi dan berada di pusat itu sebelum 8.30 pagi.
Penyokong calon BN ditempatkan di sebelah kiri dewan manakala penyokong calon Pakatan di sebelah kanan dewan.

No comments:

Post a Comment