Saturday, January 22, 2011

Cikgu Mala - Generasi Baru dalam PAS

Pemilihan Normala Sudirman atau lebih mesra dipanggil Cikgu Mala untuk diangkat menjadi calon dalam PRK N05, Tenang bukan sahaja berbakat dan berpotensi bahkan sebagai simbol generasi baru dalam PAS yang memahami tanggungjawab berpolitik.
Menjadi calon bukanlah semata-mata mengejar glamor atau pangkat dan harta kekayaan tetapi ia satu keperluan, amanah dan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan lebih besar adalah kepada agamanya.


Menurut Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pemilihan calon muslimat bukan secara membuta tuli tetapi disandarkan kepada tuntutan secara keperluan untuk menjaga maslah ummah dalam dunia yang mencabar.

"Pemilihan adalah berdasarkan merit. Kejayaan kita menempatkan beliau dan tentunya kerana keupayaan dan pakej kepimpinan yang dimiliki Cikgu Mala sendiri. Ini juga sebagai kejayaan PAS melahirkan figura-figura baru dalam lanskap politik negara yang kini menuntut kepada suatu perubahan yang jauh lebih bermakna," katanya.

Katanya, tindakan Cikgu Mala melepaskan profesion guru dalam usia yang begitu muda bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja jemaah membuktikan hala tuju dan peranan beliau lebih besar dalam masyarakat. Athirah juga percaya sistem kongkongan yang dikenakan oleh kerajaan BN ke atas kakitangan kerajaan untuk terlibat dalam parti-parti politik Pakatan Rakyat merupakan antara faktor utama perletakan jawatan Cikgu Mala.

"Hasratnya berkhidmat kepada rakyat tanpa sempadan waktu tanpa terikat oleh suatu peraturan yang tidak adil dengan tuntutan masyarakat semasa menjadikan Cikgu Mala menzahirkan keseriusannya untuk membantu dan membela rakyat tanpa tekanan,sekatan mahupun ugutan pihak majikan," katanya.

Beliau yakin pakej yang lengkap untuk rakyat memberi mandat kepada Cikgu Mala cukup terserlah apabila setiap kali kemunculan beliau di khalayak jelas diterima baik oleh ibu bapa dan tidak asing lagi di kalangan belia dan komunitinya.

Aiman yang turut mengiringi beliau semasa berkempen mengakui Cikgu Mala menjiwai perit jerih masyarakat dan memahami komunitinya memandangkan beliau merupakan juga di kalangan peneroka. Justeru, jelas Aiman Athirah calon PAS di N05 Tenang ini adalah sebahagian daripada generasi transformasi dan mengharapkan beliau diberi peluang oleh rakyat dan dibantu oleh generasi muda di semua peringkat.

"Tidak kiralah mereka itu generasi muda dalam Pakatan Rakyat atau di luar Pakatan Rakyat. Justeru kerana kita mahu dan sedang berusaha bersungguh-sungguh membawa budaya politik baru yang lebih bersih, beramanah dan bertanggungjawab ke dalam masayarakat dan negara kita," tegas Athirah.

No comments:

Post a Comment