GOMBAK, 12 Nov: Seluruh rakyat negara ini diyakini akan terus dibebani dengan pelbagai cukai baru jika Umno BN terus diberikan mandat memegang tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Keyakinan itu boleh disandarkan kepada pelbagai tindakan semasa yang dilakukan oleh Kerajaan BN, di samping amalan tradisi parti itu setelah berjaya mencapai kemenangan pada PRU-PRU lalu.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu boleh direnungi dan dihayati sendiri oleh setiap rakyat negara ini berdasarkan pengalaman masing-masing setelah lebih 50 tahun berada di bawah pemerintahan BN.
Menurutnya, sejajar dengan itu, cukai baru yang dioleh dalam bentuk cukai perkhidmatan atau GST itu bolehlah disifatkan sebagai "Gasak Sampai Teruk" yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan BN terhadap rakyat selepas PRU Ke-13 nanti.
Katanya, tindakan Kerajaan BN itu pasti amat berbeza berbanding sikap PAS terhadap rakyat, apatah lagi dengan keinginan parti itu untuk melaksanakan "Negara BerKebajikan" sekiranya berjaya memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.
"Perlaksanaan "Negara Berkebajikan" PAS itu pula turut dipersetujui parti-parti lain termasuk PKR dan DAP yang bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, malah sebahagian daripadanya sudah pun dilaksanakan di negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat sekarang," katanya.
Ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk 'Strategi Teras Penerangan' Menggarap Isu-isu Besar Dalam PRU Ke-13 pada Multaqa Pendakwah PAS di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini, beliau berkata, tindakan BN itu ternyata amat membebankan rakyat dan bercanggah dengan perlaksanaan sebenar.
Menurutnya, cukai baru sebenarnya tidak boleh dikenakan oleh kerajaan jika perkapita rakyat tidak berada dalam keadaan yang baik dan memberangsangkan.
Katanya, bagaimanapun perkapita rakyat di Malaysia kini berada dalam keadaan yang amat tiidak memuaskan, malah semakin teruk dari jangkaan sehingga sebaris dengan Vietnam dan Indonesia.
"Kedudukan perkapita yang sebegitu teruk di kalangan rakyat negara ini tidak akan berlaku sekiranya BN memerintah dengan baik.
"Namun setelah negara mencapai kemerdekaan lebih 53 tahun, cengkaman BN terhadap rakyat semakin teruk sehingga desakan supaya gaji minima RM1,100 turut ditolak oleh kerajaan BN," katanya yang juga Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan PAS.
Dalam masa yang, tegasnya, negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat khususnya Selangor mengambil langlah sebaliknya dengan meluluskan had gaji minima agak tinggi sehingga RM1,500.
"Tindakan buruk BN terhadap rakyat turut terbukti dari sudut lain apabila tender-tender terbuka yang dikeluarkan tidak diagihkan secara adil kepada rakyat, tetapi kesemuanya hanyalah diberikan kepada kroni-kroni pemimpin BN sahaja," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak dan turut diakui oleh pegawai-pegawai kerajaan, tambahnya, jelas menunjukkan setiap peruntukan kerajaan pasti akan tiris paling kurang sebanyak 20 peratus. |
No comments:
Post a Comment