Saturday, November 12, 2011

Konglomerat jual aset bernilai RM695 juta kepada PETRONAS, MHB

Konglomerat jual aset bernilai RM695 juta kepada PETRONAS, MHB
 
SIME Darby Bhd akan menamatkan pembabitannya dalam aktiviti perniagaan minyak dan gas (O&G) selepas penjualan asetnya dalam sektor itu yang bernilai RM695 juta kepada PETRONAS dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB), dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Urus niaga yang dibuat secara tunai itu membabitkan penjualan limbungan fabrikasi Teluk Ramunia kepada PETRONAS bernilai RM296 juta dan limbungan fabrikasi di Pasir Gudang kepada MHB bernilai RM399 juta.

Selain itu, ia juga membabitkan penjualan semua aset bergerak dan tidak bergerak yang berada di dua limbungan berkenaan.

Mengulas mengenainya, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Bakke Salleh, berkata ia diputuskan hasil kajian semula portfolio perniagaan kumpulan baru-baru ini.
“Sebagai langkah menggerakkan nilai rantaian dan menikmati pulangan yang lebih baik di masa depan, Sime Darby perlu bertanggungjawab untuk meningkatkan lagi sumber kewangannya kepada satu perniagaan yang berdaya maju dan melepaskan aset dan perniagaan yang tidak lagi selari dengan arah tuju strategik kumpulan.

“Justeru, Lembaga Pengarah dan pengurusan Sime Darby memutuskan kumpulan harus memberi fokus sumbernya dalam bidang yang sedang dan mampu diterajui.
“Hasil pendapatan daripada penjualan unit O&G itu pula akan diperuntukkan ke dalam modal perbelanjaan kumpulan,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan suku ketiga kumpulan, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Operasi Kumpulan, Datuk Abd Wahab Maskan dan Ketua Kewangan Kumpulannya, Tong Poh Keow.

Kini, unit O&G berada di bawah bahagian tenaga dan utiliti (T&U), namun begitu, dengan penjualan itu, bahagian yang memiliki kakitangan melebihi 1,000 orang itu, akan memberi tumpuan terhadap perniagaan kejuruteraan, pelabuhan & logistik, dan penjanaan tenaga & pengurusan air.

Mengenai prestasi kumpulan berkenaan, syarikat perladangan senaraian awam terbesar dunia itu mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.45 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir berakhir 31 Mac lalu, meningkat lebih 100 peratus berbanding RM1.716 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia didorong pemerolehan pendapatan sebanyak RM29.66 bilion, meningkat 25 peratus berbanding RM23.73 bilion sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Bakke berkata, kumpulan yakin dapat mencatatkan prestasi kewangan lebih tinggi daripada sasaran petunjuk prestasi utamanya (KPI) bagi tahun kewangannya yang berakhir 30 Jun ini, selaras pengukuhan paras harga minyak sawit mentah (MSM) selain prestasi kukuh bahagian perniagaan perladangan dan automotif, selain bahagian perindustrian dan T&U.

“Sime Darby harus berupaya mencatatkan prestasi yang lebih tinggi daripada KPI yang ditetapkan dalam tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun ini, memandangkan pengukuhan harga MSM dan peningkatan prestasi, khususnya segmen automotif dan perladangan,” katanya.

Mengenai hasrat penyenaraian semula anak syarikatnya di Bursa Malaysia, Mohd Bakke berkata, pihak masih mengkaji secara terperinci berhubung tempoh masa dan unit syarikat yang memiliki prospek tinggi untuk disenaraikan kelak.

Katanya, kajian perlu yang teliti perlu dilaksanakan bagi mengelak berlakunya sebarang kesan negatif kepada unit syarikat itu dan kumpulan selepas penyenaraiannya kelak.
“Kami masih mengkaji penyenaraian berkenaan. Bagaimanapun, kita tidak akan tergesa-gesa melaksanakannya.
“Ia akan tetap akan dilaksanakan, cuma masih terlalu awal kerana kumpulan ingin menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan portfolio perniagaannya terlebih dahulu,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan suku ketiga kumpulan, di Kuala Lumpur semalam.

Pada Ogos lalu, Mohd Bakke berkata, Lembaga Pengarah Sime Darby memutuskan menyusun semula anak syarikatnya dengan memecahkannya kepada enam anak syarikat utama yang masing-masing akan mengkhusus dalam segmen perniagaan tertentu.

Penyusunan itu juga turut akan membabitkan penjualan beberapa perniagaan, termasuk aset teras, jika terus tidak menguntungkan.

Langkah itu bertujuan meningkat dan mengukuhkan semula tahap tanggungjawab dan tadbir urus korporatnya.

Apabila lengkapnya penyusunan semula itu, ia akan menyaksikan keenam-enam anak syarikat Sime Darby itu muncul sebagai pentadbir utama perniagaan teras masing-masing dengan sebahagiannya akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sebagai langkah pertama, kumpulan itu akan dipisahkan kepada anak syarikat yang diberi nama Sime Plantations, Sime Property, Sime Industrial Equipment, Sime Energy & Utilies dan Sime Health Care dan setiap anak syarikat akan mempunyai ahli Lembaga Pengarah berbeza disertai pengarah bebas, pakar industri dan eksekutif kumpulan.

No comments:

Post a Comment