Saturday, November 12, 2011

Maxis untung RM540j

MAXIS Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah berjumlah RM540 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2011, penyusutan 2.2 peratus berbanding RM552 juta yang dicatatkannya pada suku sama tahun lalu.

Ia diraihnya daripada pendapatan RM2.133 bilion, susut 0.9 peratus daripada RM2.152 bilion.

Ketua Eksekutifnya, Sandip Dass, berkata penyusutan itu akibat daripada penurunan pendapatan daripada perkhidmatan suara, kadar penyambungan dan perkhidmatan Gerbang Antarabangsa.


“Penurunan pendapatan kadar penyambungan disebabkan penurunan kadar terminasi talian tetap dan mudah alih sejak Julai tahun lalu, manakala penurunan pendapatan daripada Gerbang Antarabangsa sejajar rancangan syarikat dalam mengecilkan skala perniagaan berkenaan.

“Bagaimanapun, bagi suku dikaji Maxis mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) lebih baik berjumlah RM1.090 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 0.7 peratus daripada RM1.082 bilion pada suku sama tahun sebelumnya, sekali gus mengukuhkan marjin Ebitda sebanyak 51.1 peratus berbanding 50.3 peratus sebelumnya,” katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi kewangan sukuan syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Sandip berkata, dalam tempoh dikaji Maxis mencatat jumlah langganan menjangkau 14.1 juta, sekali gus menerajui pasaran bagi kedua-dua perkhidmatan pasca-bayar dan prabayar dengan masing-masing sebanyak 3.3 juta dan 10.8 juta.

Beliau berkata, momentum pertumbuhan pendapatan perkhidmatan bukan suara terus kukuh pada suku dikaji menyaksikan sumbangannya kepada jumlah pendapatan mudah alih melonjak kepada 42.1 peratus daripada 34.8 peratus pada suku sama tahun sebelumnya.

“Pendapatan perkhidmatan bukan suara meningkat 22 peratus kepada RM857 juta daripada RM704 juta suku sama tahun sebelumnya disebabkan peningkatan dalam perkhidmatan data terkini dan jalur lebar tanpa wayar,” katanya.

Sandip berkata, Maxis juga meneruskan momentum jalur lebar pada suku dikaji menyaksikan langganan jalur lebar tanpa wayarnya mencecah 602,000 berbanding 313,000 setahun lalu.

 

No comments:

Post a Comment