Tuesday, October 16, 2012

Myanmar halang pejabat OIC dibuka di Ranggon



(OIC tidak diberi kebenaran untuk menubuhkan pejabat perhubungan bagi membantu pelarian umat Islam Rohingya selepas bantahan oleh sami-sami Buddha.)

RANGGON: Kerajaan Myanmar berkata mereka tidak akan membenarkan Organisation of Islamic Co-operation (OIC) untuk membuka sebuah pejabat perhubungan selepas ribuan orang awam dan sami Buddha berarak membantah rancangan tersebut.

Myanmar dan OIC bersetuju bulan lepas untuk membuka pejabat untuk memberi bantuan kepada umat Islam yang dipindahkan  akibat pertempuran.

Kementerian Maklumat Isnin lalu memaparkan kenyataan di laman webnya bahawa pembukaan pejabat tersebut tidak akan dibenarkan kerana rakyat Myanmar tidak mahukannya.

"Kita tidak boleh menerima mana-mana pejabat OIC di sini," Oattamathara, seorang sami yang mengetuai protes di Mandalay, hab ekonomi dan kebudayaan Myanmar, memberitahu agensi berita AFP.

Satu kenyataan yang disiarkan di laman web presiden pula memaparkan,"Kerajaan tidak akan membenarkan pembukaan pejabat OIC kerana ia tidak selaras dengan keinginan orang ramai."

Ketegangan agama antara Buddha-Rohingya semakin teruk selepas pertempuran Jun lalu di barat Rakhine yang menyebabkan puluhan orang mati dan puluhan ribu pula terpaksa berlindung di pusat perlindungan sementara.

Golongan sami adalah golongan yang berada di barisan hadapan kebangkitan pro-demokrasi 2007 yang dihancurkan secara kejam oleh bekas junta.

Mereka juga terlibat dalam siri protes terhadap OIC dan 800 ribu warga Rohingya yang tidak mempunyai negara, dan digambarkan oleh PBB sebagai salah satu minoriti di dunia yang paling dianiayai.

Anggota OIC yang mempunyai keahliam seramai 57 orang itu melawat Rakhine bulan lepas selepas dakwaan dari kumpulan hak asasi bahawa pasukan keselamatan melepaskan tembakan kepada Rohingya semasa pergolakan, isu yang menyebabkan kebimbangan di seluruh dunia Islam.

Rohingya, yang bercakap dialek yang sama dengan bahasa negara jiran, Bangladesh iaitu bahasa Bengali, dilihat oleh kerajaan dan warga Myanmar sebagai pendatang haram.

Ketegangan di Rakhine turut merebak ke Bangladesh, di mana polis baru-baru ini melaporkan mereka telah menahan hampir 300 orang yang dikaitkan dengan keganasan yang mensasarkan  rumah dan kuil Buddha.

Sejauh mana PM setuju PRU selepas penggal 5 tahun


Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah beliau bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa ke arah mengadakan Pilihan Raya Umum hanya selepas berakhirnya penggal lima tahun.

Naib Presiden PAS itu mengemukakan soalan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Turut mengemukakan soalan ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Md Ramli sebagaimana di bawah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan sehingga bila jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus disandang oleh beliau, sedangkan Kementerian berkenaan memikul peranan yang sangat besar dalam menerajui pencapaian NKRA sektor "Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Berpendapatan Rendah (LIH)".

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah kejadian jenayah curi/rompak antara 2007-2012 dan sama ada perbezaan antara tahun itu berpunca daripada perubahan pengkategorian jenayah tersebut.

Duta PBB gesa gencatan di Syria sempena Aidil Adha


Duta keamanan PBB ke Syria menyeru Iran membantu gencatan senjata di Syria tercapai sempena Aidil Adha minggu hadapan.

(Brahimi bertemu dengan pemimpin Iran bagi selesaikan konflik di Syria)

Lakhdar Brahimi mengatakan perang saudara di Syria semakin buruk. Beliau menekankan tentang keperluan yang mendesak untuk menghentikan pertumpahan darah.

Kenyataan Isnin lalu itu dibuat di akhir lawatan beliau ke Iran di mana beliau telah bertemu dengan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, penyokong utama Presiden Syria, Bashar Assad.

Brahimi melawat rantau ini untuk mengadakan perbincangan mengenai cara-cara untuk menyelesaikan krisis Syria.

Gesaan beliau untuk gencatan senjata berkemungkinan mendapat sambutan dingin di Syria di mana aktivis mengatakan lebih daripada 32,000 orang telah terbunuh dalam krisis berusia 19 bulan itu.

Sebahagian besar panggilan genjatan senjata sebelum ini telah diabaikan.

Kempen media baru: SPR jangan jadi Pak Pandir


 Semua sedia maklum BN telah tewas di media sosial, walaupun terpaksa menggunakan askar upahan untuk menyerang, namun ditangkis oleh tentera siber Pakatan Rakyat yang bertugas secara sukarela.



“Akhirnya BN terpaksa menggunakan kuasa yang ada untuk membendung maklumat kelemahan BN daripada di ketahui oleh rakyat melalui media sosial,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu kenyataan.
Justeru, katanya cadangan SPR supaya parti politik jangan menggunakan media sosial seperti  facebook, twitter, blog selepas tengah malam hari mengundi adalah satu cadangan Pak Pandir.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha (Pilihan Raya) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Noordin Che Ngah di Kuantan, semalam.

Bagi Idris, maksud tersirat tidak lain dan tidak bukan untuk menyekat pengaruh kempen Pakatan Rakyat sampai ke pengetahuan rakyat.

“Kenapa SPR tidak berani  menghalang kempen BN melalui televisyen sehingga tamat hari mengundi?” tanya beliau.

Bahkan, ujarnya  sewaktu pembuangan undi berjalan radio dan televisyen terus rancak memburuk-burukkan parti lawan.

Tambah beliau, tiga himpunan Bersih yang diadakan di ibu negara, antara tuntutannya ialah supaya parti yang bertanding dapat akses media dengan adil tetpi sampai hari ini tuntutan itu ibarat meminta sisik daripada ikan keli.

Tiba-tiba, ujar beliau SPR pula mencadangkan supaya media sosial tidak lagi boleh digunakan selepas waktu kempen tamat.

SPR akan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memastikan tiada pihak yang ingkar dengan undang-undang itu.

“Kita mengharapkan jangan pula ada gangguan talian untuk akses media sosial sewaktu kempen pilihan raya berjalan.

“Kenapa BN terlalu takut dengan media sosial? Bukankah BN sudah memiliki dan menguasa televisyen dan radio untuk membantu kempen mereka?” katanya.

Menurutnya, BN sekarang terlalu takut dengan bayang-bayang, sehingga tunggul kayu disangka hantu.

Umno sudah lama tumbang, PAS mengukuh laluan


 Walaupun 'dilihat' mantap dalam puluhan tahun bersama, Umno dan MCA kekal prejudis sesama mereka, saling mengangkat nama bangsa dan gagal meyakinkan sesama mereka mengenai keupayaan Islam.

Demikian ulasan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Muhammad Abdul Nik Abdul Aziz (gambar) dalam facebooknya.

Secara sinis, katanya hubungan Umno dan MCA 'dilihat' mantap kerana Umno sudah menerima dan redha kehendak MCA agar Islam ditolak daripada menjadi sumber hukum.

Tambah beliau, manakala hubungan PAS dan DAP 'dilihat' kurang mantap sebab PAS kekal bertahan dengan kepastian Islam sebagai sumber hukum negara.


“Umno dah lama tumbang dalam lembah... PAS sedang mengukuh laluan,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, nanakala PAS dan DAP, walaupun masih 'dilihat' tidak mantap kerana masih baru dalam PR, keduanya saling berbicara secara terbuka dan berani mengenai ugama Islam dan keupayaannya mengurus negara.

“Antara politik tertutup dan terbuka, siapa akan lebih maju untuk mentadbir negara?” tanya beliau.

Beras subsidi dijual di pasaran terbuka - Audit


Program Subsidi Beras di  bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (KPDIAT) untuk memastikan penyaluran beras Beras Super Tempatan kepada golongan yang berpendapatan rendah dikritik hebat oleh Ketua Audit Negara (KAN) kerana gagal mencapai matlamat dan tiada pemantauan sehingga beras yang disubsidikan didapati dijual di pasaran terbuka.


Beras subsidi dijual di luar pasaran

Lawatan Audit telah dibuat ke 4 negeri iaitu Kedah, Perak, Sarawak dan Selangor untuk melihat pelaksanaan program subsidi beras telah mendapati 4 pemborong tidak mengemukakan akaun harian stok dan seorang pemborong tidak mengemaskinikannya.

Sebuah premis pemborong di Kamunting, Taiping, Perak mendapati lesen yang tidak dipamerkan, akaunnya diselenggara di tempat lain, tanpa papan tanda syarikat dan tiada punca kuasa elektrik.

“Pihak Audit tidak dapat memastikan kesahihan operasi pengampitan dijalankan di bangunan tersebut kerana semasa lawatan didapati tiada punca kuasa elektrik di dalam bangunan tersebut dan mesin untuk mengampit diikat dengan tali,” kata Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Ambrin Buang dalam laporan audit 2011 yang dikeluarkan semalam.

Lebih buruk lagi, KAN juga mendapati beras subsidi dijual di pasaran terbuka di pasaraya Sri Aman, Sarawak dan Semenyih di Selangor.

“Ini membolehkan semua golongan pengguna termasuk warga asing dan pengusaha makanan memperoleh beras tersebut tanpa kawalan dan seterusnya menikmati subsidi yang diberikan oleh Kerajaan,” tambahnya.

KAN juga kesal tiada pemantauan yang dilakukan oleh KPDIAT ke atas Program Subsidi Beras. Semakan Audit mendapati hanya satu mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pemborong tetapi tidak terjumpa minit mesyuarata, manakal tahun 2011 satu mesyuarat Jawatankuasa Kuota Beras Subsidi telah diadakan pada 3 Oktober 2011.

Tiada garis panduan untuk memilih pemborong

KPDIAT juga dikritik KAN kerana tidak menyediakan garis panduan yang jelas dan komprehensif untuk mencapai objektif Program Subsidi Beras.

KAN juga membidas KPDIAT gagal untuk memperincikan proses pemilihan pemborong untuk memastikan proses pemilihan dibuat dengan telus dan mengambil kira keupayaan pemborong.

Selain itu, semakan audit juga mendapati tiada perjanjian ditandatangani antara KPDIAT dengan pemborong bagi Fasa I dan II. Hanya Surat Setuju Terima pelantikan sebagai pengedar beras subsidi dikeluarkan kepada pemborong bagi Fasa I.

Surat Setuju Terima, kata KAN juga mengandungi kelemahan kerana didapati tidak menyatakan dengan jelas klausa tindakan yang boleh dikenakan sekiranya pemborong melakukan kesalahan.

“Pada pendapat Audit, Kementerian hendaklah memastikan perjanjian disediakan dan ditandatangani dalam tempoh yang ditetapkan bagi menjamin kepentingan kerajaan,” kata KAN.

Tidak mencapai matlamat

Program Subsidi Beras yang diluluskan kabinet pada 2008 telah diberikan kepada Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) Dan Pengilang Padi Swasta bagi pengeluaran Beras Super Tempatan ST15% untuk Semenanjung Malaysia dan Beras Import S15% untuk Sabah dan Sarawak dengan kandungan beras hancur 15%.

Ia bertujuan untuk memenuhi permintaan dan keperluan pengguna yang semakin meningkat serta mengekalkan harga kawalan beras subsidi dari RM1.65 per kg hingga RM1.80 per kg mengikut zon di peringkat pengguna; dan juga menampung kerugian pengilang untuk mengeluarkan beras subsidi.

BERNAS bertanggungjawab untuk mengeluarkan beras, menentukan pengambilan beras sama ada di Kompleks BERNAS atau (kilang bumiputera di bawah Program Pusat Belian) SPB, mengagihkan beras kepada pemborong dan membuat tuntutan bayaran.

“Pengauditan yang dijalankan antara bulan September 2011 hingga Januari 2012 mendapati objektif Program Subsidi Beras belum dicapai sepenuhnya di mana tiada satu mekanisme diwujudkan bagi memastikan golongan sasar yang ditetapkan mendapat manfaat daripada program ini,” kata KAN.

Sasaran pengeluaran beras subsidi, kata KAN gagal dicapai sepenuhnya di mana  prestasi pengeluaran beras subsidi bagi Semenanjung Malaysia bagi tempoh bulan Januari hingga Mac 2009 (Fasa I) adalah tidak memuaskan kerana hanya mencapai 23.5% daripada sasaran yang ditetapkan 94,000 metrik tan.

Bagaimanapun prestasi tersebut meningkat dari tempoh bulan April 2009 hingga Disember 2011, di mana pengeluaran adalah 34,929 mt (metrik tan) untuk Semenanjung Malaysia dan 16,156 mt sebulan untuk Sabah dan Sarawak, namun ia tetap gagal mencapai sasaran  40,000 mt untuk Semenanjung dan 20,000 untuk Sabah dan Sarawak.

KPDIAT tidak cukup duit bayar BERNAS

Sejak Program Subsidi Beras dilaksanakan iaitu mulai bulan September 2008 hingga 2011, KAN berkata sejumlah RM1.828 bilion telah dibelanjakan daripada peruntukan sejumlah RM2.101 bilion.

Daripada itu, KAN mendapati daripada tuntutan berjumlah RM1.606 bilion yang dikemukakan setakat 31 Disember 2011 oleh BERNAS hanya sejumlah RM1.363 bilion (84.9%) telah dibayar oleh KPDIAT.

KPDIAT memberikan alasan bahawa peruntukan yang diterima tidak mencukupi untuk menjelaskan tuntutan subsidi beras oleh BERNAS.

Lebih teruk ialah KAN mendapati Ibu Pejabat KPB (Seksyen Kawalselia Padi dan Beras) tidak menyediakan daftar untuk merekodkan semua tuntutan yang diterima daripada BERNAS dan Pengilang Swasta.

“Dengan itu, tuntutan yang dikemukakan oleh BERNAS tidak dapat dipantau dan perancangan untuk pembayaran tidak dapat dilakukan secara tepat,” kata KAN.

Langat 2: Selangor temui kaedah baru rawat air


Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji kaedah alternatif bagi tujuan rawatan air agar ianya lebih berkesan dan murah.


Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga kini kerajaan negeri mengkaji teknologi dari Kanada yang menggunakan membran bagi meningkatkan pengeluaran air dari loji rawatan air yang sedia ada.

Teknologi tersebut katanya akan membolehkan infrastruktur rawatan air di Selangor mengeluarkan air yang cukup untuk masa depan tanpa kenaikan harga kepada pengguna.

“Kos penyediaan rawatan air ini tidak melebihi RM 800 juta berbanding kos pembinaan Langat 2 yang akan menelan belanja kira-kira RM3 bilion.

“Kaedah baru ini mampu menambah pengeluaran jumlah air terawat sebanyak 1 juta liter sehari iaitu jumlah sama seperti yang disasarkan melalui Langat 2,” katanya dipetik Selangorku.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Pusat bagi membincangkan kaedah baru tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa teknologi itu mengambil air dari beberapa loji rawatan dan merawat mereka secara berasingan dan bukannya melakukan semua kerja-kerja dari satu loji utama, seperti Langat 2.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menganggarkan bahawa ia terpaksa menaikkan harga air sebanyak 12 peratus bagi membiayai kos pembinaan loji Langat 2.

Tukar mentol GLS: Adakah rakyat diperbodohkan?


Satu laporan bertajuk 'Tukar Dengan Betul' telah diterbitkan oleh AWER untuk mengutarakan isu-isu berkaitan dengan program menghentikan penggunaan mentol berfilamen (GLS) di Malaysia. Laporan ini boleh didapati dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina diwww.awer.org.my dan www.click.org.my. Versi tambahan laporan ini yang dikenali sebagai Laporan Khas hanya boleh didapati di www.click.org.my. Laporan Khas mengandungi keputusan ujian, penilaian dan label-label spesimen yang diuji.

Disebabkan oleh sifat operasinya, GLS menukarkan tenaga elektrik kepada tenaga cahaya dan haba. Jumlah tenaga yang digunakan dalam menjana cahaya adalah jauh lebih rendah berbanding dengan haba. Untuk menjustifikasi penghentian penggunaan GLS, Suruhanjaya Tenaga (ST) menganggarkan bahawa kira-kira 20% daripada lampu yang digunakan di Malaysia adalah jenis GLS di mana kira-kira 15 juta mentol dijual setiap tahun. Mereka menganggar jumlah penjimatan tenaga tahunan adalah kira-kira 1,074 GWj dan penjimatan sebanyak RM336 juta dalam perbelanjaan penggunaan elektrik oleh pengguna. Walau bagaimanapun, berdasarkan statistik yang diterima oleh AWER daripada Jabatan Perangkaan, penggunaan purata tahunan mentol GLS  hanya sekitar 2.4 juta mentol di antara tahun 2007 - 2011. Ini adalah sekitar 16% daripada apa yang di dakwa oleh ST. Adakah pihak industri telah memperdaya ST atau ST telah melakukan kesilapan serius dalam penganggarannya?

Kelengahan ini juga telah menyebabkan isu-isu yang tidak diingini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Mari kita meneliti cabaran-cabaran untuk menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat.

1.         CABARAN-CABARAN MENGHENTIKAN PENGGUNAAN GLS

Cabaran 1:   Impak kepada Bekalan dan Permintaan Produk - produk Pencahayaan

Proses menghentikan penggunaan (phase-out) produk tidak cekap tenaga akan menggantikan produk tidak cekap tenaga dengan produk yang lebih sesuai dan cekap tenaga. CFL telah dikenal pasti sebagai calon yang sesuai untuk menggantikan GLS. Di samping itu, lampu LED sedang juga mengambil bahagian dalam pasaran secara perlahan-lahan. Permintaan puncak berlaku disebabkan peralihan daripada GLS kepada jenis produk lampu yang lain bagi memenuhi keperluan undang-undang.

Kita juga memerlukan peraturan yang ketat di Malaysia bagi memastikan kualiti produk dapat dijamin. Kualiti produk yang lebih rendah akan meningkatkan penjanaan sisa di mana ia akan menggagalkan tujuan utama program menghentikan penggunaan GLS iaitu perlindungan alam sekitar.

Cabaran 2: Pengumuman Menghentikan Penggunaan GLS yang Betul
Di Malaysia, pengumuman menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat tidak mengenal pasti fungsi produk-produk lampu yang lain seperti lampu kalimantang, mentol halogen dan lampu mentol berfilamen yang cekap (mentol halogen yang ditambah baik).

Dalam program ini, hanya GLS sedang dihentikan penggunaannya secara berperingkat dan bukannya lampu kalimantang. Lampu Kalimantang sebenarnya adalah lebih baik untuk pencahayaan di kebanyakan tempat. Kini, pengumuman menghentikan penggunaan GLS dan menggantikannya dengan CFL telah menyebabkan orang ramai mengabaikan atau salah faham tentang lampu kalimantang. Mentol halogen juga sedang dihentikan penggunaannya di negara-negara maju. Ini telah menyebabkan model mentol halogen yang tidak cekap tenaga mula muncul dengan pesat di pasaran Malaysia. Masalah ini hanya kerana kewujudan model mentol halogen yang tidak cekap tenaga tidak dikawal ataupun disekat di Malaysia.

Oleh itu, komunikasi kepada orang ramai mestilah jelas dan mendidik. Penyataan yang mengelirukan dan istilah khas akan menyebabkan orang ramai bingung dan tidak mengetahui apa yang patut dilakukan. Ini juga akan menyebabkan mereka menolak atau tidak menghiraukan dasar-dasar yang dikatakan lebih "baru" dan "hijau".

Cabaran 3: Maklumat Produk yang Meragukan

Maklumat tentang produk biasanya diterbitkan pada bungkusan produk atau risalah tambahan yang diletakkan di dalam bungkusan. Malangnya, pelbagai produk telah membanjiri pasaran dan mewujudkan kekeliruan di kalangan pengguna.

Berdasarkan persampelan produk CFL oleh pihak kami, beberapa masalah berkaitan dengan maklumat produk adalah maklumat yang salah, label tenaga yang palsu, tiada butiran pengilang, dakwaan yang salah dan dakwaan kesihatan yang meragukan.

Cabaran 4: Kualiti Produk

Disebabkan permintaan CFL yang memuncak di seluruh dunia, kualiti produk untuk memenuhi permintaan akan sentiasa menjadi satu isu. Dalam mana-mana pembuatan (production line), taburan normal digunakan untuk memastikan kualiti produk dikekalkan dalam 'lengkung loceng' atau bell curve yang sesuai yang menepati spesifikasi reka bentuk. Di Malaysia, terdapat banyak kes di mana CFL 'berjenama' tidak mampu beroperasi melebihi setahun. Apakah jaminan yang pengilang boleh memberi kepada pengguna untuk memastikan kualiti produk dikekalkan di samping memenuhi permintaan?

Cabaran 5: Pricing of CFL is Vague

Harga runcit CFL tidak berkurang walaupun kerajaan Malaysia telah mengumumkan program menghentikan penggunaan GLS pada tahun 2010. Melalui program ini, kerajaan mengeluarkan pesaing yang besar dan berharga murah (iaitu GLS) berbanding dengan CFL tahun menjelang 2014. Di samping itu, faedah pengecualian duti juga diberi untuk teknologi pencahayaan yang cekap tenaga. Malangnya, harga produk-produk ini tidak berkurang. Di sebaliknya, pengumuman program ini juga telah memberi manfaat kepada beberapa produk CFL yang dijual dengan harga serendah RM 3.00. Kualiti produk-produk ini juga boleh dipersoalkan. Tambahan pula, sesetengah jenama CFL terkemuka mempunyai harga yang tinggi di pasar raya dan pasar raya besar berbanding dengan kedai-kedai lampu kecil-kecilan yang menawarkan hampir separuh daripada harga jualan ini. Kini, adakah rakyat Malaysia diperbodohkan?
Cabaran 6: Hazardous Waste Management

Kandungan Merkuri dalam teknologi lampu kalimantang bukanlah perkara baru. CFL mewarisi masalah kandungan Merkuri yang sama. Di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (EQA), Merkuri dalam produk dan proses mesti dilupuskan dengan selamat kerana ia diklasifikasikan sebagai salah satu sisa terjadual. Malangnya, pengguna domestik tidak terikat dengan peraturan ini.

Sebagai contoh, jika pengguna domestik membuang CFL ke dalam tong sampah, ia akan dikumpul sebagai sampah (sisa pepejal). Setelah pengumpul sisa mengambil CFL dari tong sampah, ia menjadi sisa terjadual kerana entiti perniagaan dikawal selia di bawah EQA. Adakah syarikat pengurusan sisa pepejal akan melupuskan CFL melalui kaedah yang ditetapkan atau 'mengabui mata' dan meninggalkannya untuk ditanam di tapak pelupusan? Pengurusan Sisa Terjadual (atau juga dikenali sebagai Sisa Berbahaya) adalah penting untuk dilaksanakan sebelum program menghentikan penggunaan GLS dilaksanakan sepenuhnya. Tanpa mekanisme pengurusan sisa yang sesuai, beralih kepada CFL adalah mesra alam.

2.         CADANGAN-CADANGAN

Berdasarkan hasil kajian kami, kerajaan memerlukan perancangan yang lebih terperinci untuk program menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini di Malaysia. AWER akan mengemukakan cadangan-cadangan berikut kepada ST, KeTTHA dan agensi-agensi lain yang berkaitan. AWER akan memantau pelaksanaan cadangan-cadangan ini sebagai Indeks Prestasi Utama yang ditetapkan oleh kami untuk kedua-dua ST dan KeTTHA.

Cadangan 1: Standard, Ujian and Pelabelan

Berdasarkan perbincangan kami dengan ST, peraturan-peraturan bagi menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat dan ujian CFL masih berada di pejabat Peguam Negara (AG). Kelewatan dalam meluluskan peraturan atau garis panduan hanya akan memberi kesan negatif yang serius kepada pelaksanaan proses menghentikan penggunaan GLS yang sepenuhnya menjelang tahun 2014. Semua produk lampu yang dijual di pasaran mesti dilabelkan secara seragam untuk membantu pengguna membandingkan fungsi produk dengan mudah. Sehingga kini, Malaysia tidak mempunyai sebarang standard sebegini yang dilaksanakan.

Cadangan 2: Kemasukan Mentol-mentol Halogen ke Pasaran Malaysia

EU sedang menghentikan penggunaan mentol halogen secara berperingkat. Mentol dengan kelas C dan D (kelas berdasarkan pelabelan kecekapan tenaga EU) akan dihentikan penggunaannya secara berperingkat menjelang tahun 2016. Walau bagaimanapun, mentol ini telah membanjiri pasaran Malaysia secara tiba-tiba. Di samping itu, mentol halogen kelas B masih mempunyai masalah teknikal. Berdasarkan kajian AWER, kami tidak melihat teknologi ini sebagai pengganti berpotensi untuk GLS kerana teknologi teras bagi fungsi mentol ini adalah serupa dengan GLS. Kami menggesa ST menghentikan jualan mentol halogen berkuat kuasa serta-merta untuk mengelakkan pengulangan program menghentikan penggunaan mentol tidak cekap tenaga.

Cadangan 3: Pengurusan Sisa

Pengurusan CFL terpakai adalah masih dalam kegelapan. Melalui Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005, EQA mengelaskan sisa Merkuri sebagai SW109. Pelupusan CFL dan lampu kalimantang tidak diklasifikasikan sebagai E-waste (Sisa Elektronik). Lampu-lampu yang mengandungi Merkuri ini kini sedang dibuang terus ke tong sampah. Di samping itu, jika apa-apa jenis sisa pepejal yang lain dicemari sisa terjadual, ia juga akan memerlukan pelupusan yang khusus. Dalam erti kata lain, jika CFL pecah dalam tong sampah atau lori sampah, keseluruhan sisa perlu dirawat sebagai sebahagian daripada sisa terjadual. Walau bagaimanapun, ini tidak diamalkan di Malaysia dan masalah seperti ini perlu diperbetulkan sebelum pelaksanaan menghentikan penggunaan GLS dengan sepenuhnya.

Cadangan 4: Membantu Golongan Berpendapatan Rendah

Kumpulan berpendapatan rendah mendapat perhatian segera AWER dalam program menghentikan penggunaan GLS. Apabila mereka menggantikan GLS, mereka tidak akan berbelanja melebihi RM 3.00. Walau bagaimanapun, seunit CFL adalah terlalu mahal bagi mereka untuk membuat penggantian serta-merta. Berdasarkan beberapa kaji selidik kami dengan pengguna yang telah mula menggunakan CFL, banyak produk yang digunakan oleh mereka tidak mampu beroperasi melebihi 1 tahun walaupun ia adalah produk berjenama. Jika keadaan sedemikian berlaku, kos penggantian akan juga menjadi halangan bagi golongan berpendapatan sederhana. Oleh itu, isu kualiti CFL mesti ditangani oleh ST dengan segera. Satu mekanisme kewangan yang sesuai perlu dibangunkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah untuk berubah kepada CFL atau teknologi pencahayaan yang lain.

Cadangan 5: Mengelakan Kartel dan Pencatutan (Profiteering)

Menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat adalah untuk mengeluarkan produk yang mempunyai carbon footprint yang tinggi dan menggantikannya dengan produk yang mempunyai carbon footprint yang lebih rendah seperti CFL. Oleh itu, dengan pengurangan persaingan pasaran (disebabkan mpenghentian penggunaan GLS) harga CFL sepatutnya berkurangan. Akan tetapi, ini tidak berlaku. AWER telah membeli satu produk berjenama dan tulen di sebuah kedai di Negeri Sembilan dengan harga RM 8.00 dan produk yang sama dijual pada harga yang melebihi RM 16.00 di beberapa pasar raya besar. Adakah pengguna telah diperbodohkan?

Tambahan pula, kos pembelian CFL berjenama pasaraya (house brand) yang dijual oleh pasaraya tempatan adalah sentiasa lebih murah daripada CFL jenama premium. Adakah ini bermakna bahawa jenama pasaraya yang dijual oleh pasaraya besar tempatan adalah berkualiti lebih teruk berbanding dengan jenama premium? Pastinya ini bukan situasi sebenar. Ia hanya bermakna bahawa terdapat unsur kartel dan pencatutan. Jadi, AWER ingin menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menjalankan siasatan ke atas perkara ini. Ini akan dijadikan Indeks Pencapaian Utama yang pertama yang ditetapkan oleh AWER bagi MyCC dan mereka mesti mengumumkan laporan siasatan pada akhir Disember 2012 untuk makluman orang ramai.

Cadangan 6: Pemantauan dan Penguatkuasaan yang Berterusan

Peraturan-peraturan yang sepatutnya dilaksanakan telah ditangguhkan kerana ia masih berada di pejabat Peguam Negara (maklumat semasa mesyuarat kami dengan ST akhir tahun 2011). Kami menggesa ST untuk meningkatkan kelajuan penyediaan standard, pelabelan, peraturan-peraturan, garis panduan dan lain-lain untuk membantu mereka dalam pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan. AWER akan terus memantau perkara ini dengan ST untuk memastikan cadangan kami dilaksanakan dengan betul dan semua masalah diperbetulkan secepat mungkin.

3.         KESIMPULAN

Dalam kajian kami mengenai program menghentikan pengunaan GLS secara berperingkat, Kecekapan Tenaga adalah komponen utama. Walau bagaimanapun, ia tidak patut dilaksanakan jika ia berkemungkinan memudaratkan kesihatan manusia dan keselamatan alam sekitar. Logam berat adalah satu kebimbangan kepada kesihatan dan degradasi alam sekitar. Adakah kita akan mengulangi kesilapan yang tercatat dalam sejarah? Bermula pada tahun 1920-an, plumbum (sejenis logam berat) telah ditambah kepada petrol untuk menambah baik pembakaran. Ini telah menyebabkan peningkatan dalam keracunan plumbum, terutamanya memberi kesan kerosakan kekal kepada kanak-kanak. Manusia mengambil hampir 60 tahun untuk mengetahuinya.

AWER menggesa agensi-agensi berkaitan di Malaysia untuk mengambil iktibar daripada hasil kajian kami dalam laporan ini untuk memastikan kita TUKAR DENGAN BETUL dari permulaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Dibiayai berjuta, sekolah agama dibekal makanan luput tarikh


Meskipun dibiayai dengan harga berjuta ringgit, Laporan Audit 2011 mendapati makanan mentah yang dibekalkan ke 10 sekolah menengah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang adalah pada tahap kurang memuaskan.

Antara kritikan yang diterima ialah makanan mentah yang dibekalkan tidak berkualiti, tidak mengikut sukatan yang ditetapkan dan lebih teruk lagi tidak berlabel halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah melebihi tarikh luput.

Selain itu, Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Ambrin Buang turut melaporkan stok bahan makanan utama yang boleh disimpan lama tidak mampu menampung keperluan minimum selama 3 hari manakalan spesifikasi bekalan bahan mentah dan bermasak yang dibekalkan – kualiti ikan yang dibekalkan tidak dapat ditentukan.

Beliau turut mengkritik prestasi kebersihan dapur dan dewan serta pengurusan dan keselamatan dapur yang disifatkan ‘kurang memuaskan’ – antaranya borang pesanan makanan disediakan kurang dari 48 jam dan tiada tarikh pesanan dicatat dalam borang dan pekerja yang tidak dilatih dalam Kursus Pengendalian Makanan.

Kerajaan Negeri Pahang mempunyai 18 buah Sekolah Menengah Agama (SMA) yang terletak hampir di semua daerah dengan asrama dan pengurusan bekalan makanan bermasak adalah di bawah tanggungjawab JAIP.

Kontrak kerajaan negeri kepada JAIP adalah untuk membiayai kontrak bekalan makanan bermasak yang diperbaharui setiap 2 tahun sekali.

Dengan anggaran pelajar seramai 7,990 orang, perbelanjaan nilai kontrak bekalan makanan bermasak meningkat sebanyak RM8.72 juta bagi tempoh 2010 hingga 2011 berbanding 2008 hingga 2009.

“Pada tahun 2009, perbelanjaan bekalan makanan bermasak bagi 18 buah asrama SMA berjumlah RM11.08 juta, tahun 2010 berjumlah RM12.96 juta dan RM12.86 juta pada tahun 2011,” kata KAN dalam laporannya.


Tiada pemantauan langsung


Pemantauan di peringkat JAIP dan SMA turut dikritik sebagai kurang memuaskan oleh KAN kerana gagal menubuhkan Unit Audit Dalam dan Jawatankuasa Pemantau.

Sebagai langkah penambahbaikan, KAN menyarankan agar JAIP perlu menyediakan garis panduan atau tatacara bagi memperkemas dan mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pembekalan, penyediaan bahan mentah dan bermasak serta menerima pakai Panduan Pelaksanaan Kontrak Bekalan Bermasak Di Sekolah-Sekolah Berasrama mengikut Pekeliling Bahagian Pembangunan Dan Bekalan Kementerian Pendidikan Bil. 2 Tahun 1994.

Selain itu, JAIP perlu memerincikan spesifikasi bahan bekalan yang dibekalkan oleh kontraktor di dalam kontrak yang dimeterai dan mengadakan latihan dan taklimat kepada Penyelia Asrama/Pengelola Makanan SMA berkenaan pengurusan makanan bermasak.

Di samping itu, pihak SMA perlu mengadakan pemantauan secara harian dan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang tidak mematuhi syarat-syarat kontrak.

KAN juga menyarankan agar JAIP bekerjasama dengan agensi penguatkuasa seperti Jabatan Kesihatan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menjalankan pemeriksaan premis, kesihatan pekerja, peralatan dan perkakasan dewan makan serta kualiti makanan secara berkala terhadap SMA tersebut.

Adun cadang sidang khas batal perjanjian Petronas



Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini menimbulkan persoalan baru apakah kewajaran tindakan Menteri Besar, Datuk Muhamad Nasir pada 1975 menandatangai perjanjian dengan Petronas tanpa mendapat mandat Dun.

“Adakah perlu mendapatkan izin daripada Dun terlebih dahulu sebelum Menteri Besar menandatangani perjanjian dengan Petronas ketika itu kerana ia merupakan isu besar.

“Ini kerana kuasa Menteri Besar untuk pindahkan hak carigali kepada Petronas untuk selama-lamanya merupakan perkara besar di sisi undang-undang,” kata anggota Exco, Datuk Husam Musa (gambar atas)ketika menjawab soalan Ustaz Mohamad Mustafa (PAS-Demit).

Kata Husam surat kuasa yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 menyebut memberi kuasa kepada Petronas untuk carigali minyak.

Menurutnya berdasar kepada rentetan tersebut secara jelas menggambarkan Kelantan ada hak ke atas sumber minyak yang terdapat di kawasan perairannya sehingga Petronas perlu mendapat izin untuk dipindahkan kuasa terlebih dahulu pada 1975.

Bagaimanapun kata beliau peguam kerajaan negeri berpendapat dokumen yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 bukan sebuah perjanjian dan ia hanya sekadar surat serah kuasa (kontrak).

Surat kontrak itu menyebut tugas Petronas hanya untuk usaha carigali sahaja.

“Persoalannya sekarang apakah tuan rumah (Kelantan) wajar tidak dimaklumkan terhadap segala hasil carigali tersebut.

“Ini pecah kontrak yang pertama berlaku apabila Petronas hanya menyimpan segala dokumen carigali tanpa memberi maklum balas kepada kerajaan negeri.

“Sedangkan apa yang berlaku di Terengganu pada 13 Mei 1978 Petronas menghantar surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memaklumkan segala butiran mengenai pengeluaran minyak dan gas serta harga semasa.

“Begitu juga pada 14 Jun 1978 Ketua Pegawai Eksekutif Petronas menulis surat kepada Pegawai Kewangan Negeri Terengganu untuk memaklumkan bayaran royalti yang dibuat,” katanya.

Boleh batal kontrak

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan berkata, jadi terpulang kepada Dun atau Exco untuk bertindak membatal surat kontrak (perjanjian) dengan Petronas.

Menjawab soalan tambahan Adun sama katanya sekiranya Petronas masih enggan membayar royalti, Dun boleh mengubal satu enakmen bagi mengenakan fee (cukai) kepada Petronas mengikut kadar royalti yang sepatutnya dibayar.

Husam juga bersetuju dengan pandangan Abdul Fatah Harun (PAS-Bukit Tuku) bagi menulis surat kepada Petronas bagi memaklumkan operasinya di perairan Kelantan dibuat tanpa kelulusan lesen kerajaan negeri.

Mencelah isu sama Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) mencadangkan supaya diadakan persidangan khas Dun sebelum akhir tahun ini membincangkan bagi membatalkan surat kontrak kepada Petronas atau sebaliknya.

Hujahnya Petronas begitu samseng kerana tidak memaklumkan perkembangan carigali di perairan Kelantan kepada pihak tuan rumah.

Namun Husam memilih untuk memberi masa kepada Petronas bagi membolehkan mengambil tindakan segera sebelum persidangan khas Dun benar-benar menjadi kenyataan.

“Kita sebenarnya mengambil kira kalau dibatalkan kontrak (perjanjian) dengan Petronas tentunya ia akan memberi kesan besar kepada negara dan dunia.

“Jadi sekarang kita beri notis terlebih dahulu supaya nampak lebih sopan. Namun kena ingat persidangan khas boleh menjadi kenyataan selepas ini,” ujarnya.

Iktibar isu Pergau

Ustaz Hassan Mohamood (PAS-Tawang) pula mencadangkan supaya kerajaan negeri mengenakan tindakan serupa seperti dilakukan terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika isu Pergau pada awal tahun 1990-an.

Husam menjelaskan kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli hanya memasangkan kayu halangan di tempat keluar masuk ke projek Hidroelektrik Pergau bagi merundingkan isu yang dituntut kerajaan negeri.

Kata beliau akhirnya Pengerusi TNB ketika itu Tan Sri Ani Arope datang berunding dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga Kelantan berjaya mendapatkan pampasan sebanyak RM110 juta.

“Begitu juga dalam isu minyak sekarang kita boleh pasang reben merah di lautan di sekitar kawasan pelantar kalau kaedah sama mahu diambil,” ujarnya.

Papan tanda ITIS gagal berfungsi dengan baik



Projek papan elektronik Integrated Transport Information System (ITIS) yang dilaksanakan pada tahun 2005 oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Malaysia dengan kos melebihi RM400 juta didakwa gagal berfungsi dengan baik.

Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan membangkitkan perkara itu memandangkan ianya dilihat lebih kepada membazirkan wang rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, ramai warga kota mengadu mereka tidak mendapat maklumat menyeluruh daripada sistem itu.

"Kita dapati beberapa perkara menyebabkan ITIS gagal dan semakin hari dilaksanakan semakin merugikan dimana ianya ditanggung oleh pembayar cukai," katanya.

Malah beliau berkata, sistem itu yang menelan belanja beratus-ratus juga tidak termasuk kos penyelenggaran yang menelan belanja RM12 juta.

Tegas Nurul Izzah, di awal pelaksanaan projek ini yang melibatkan 255 kamera litar tertutup (CCTV) merupakan sistem integrasi bagi program jenayah sebagaiman diumumkan oleh bekas Menteri Wilayah Datuk Zulhasnan Rafik.

Bagaimanapun, katanya sehingga tahun 2010 walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diberi geran untuk menyelenggara ITIS sebanyak RM68 juta, namun ianya masih tidak berfungsi dengan baik.

"DBKL harus dipertangungjawabkan soal keberkesanan ITIS," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, sistem ITIS wajar dimansuhkan kerana ia bukan lagi menyusahkan pengguna sebaliknya sistem itu sendiri sudah tidak relevan.

"Kualiti papan skrin ITIS yang rendah, penyelenggaran yang gagal akhirnya tidak membantu mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, mendesak Menteri Wilayah Datuk Raja Nong Chik menjelaskan peruntukan RM36.87 juta yang sepatutnya digunakan untuk membeli bangunan bagi projek ITIS.

"Sebaliknya, DBKL hanya guna RM8.49 juta untuk menyewa bangunan bagi projek itu. Di mana selebihnya peruntukan itu sama ada ia dipulangkan atau dihabiskan begitu sahaja, saya mohon menteri jelaskan," katanya.

Mereka berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng menjelaskan sebanyak 140 unit 'variable message sign' (VMS) salah satu peralatan luar ITIS yang telah dipasang, namun selepas lapan tahun beroperasi hanya 46 unit sahaja yang berfungsi dengan baik.


Jamil tak jawab mekanisma naik gaji CEO Tabung Haji


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom didakwa gagal memberikan penjelasan berhubung kenaikan gaji Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Tahung Haji Datuk Ismee Ismail.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Jamil hanya berkata kenaikan gaji Ismee itu mengikut peraturan yang ditetapkan namun tidak menjelaskan apakah mekanisme yang digunakan.

"Isunya menteri kata ikut peraturan tapi saya persoalkan peraturan apa yang diguna pakai tapi sampai sekarang menteri tak jawab.

"Saya tidak persoal peribadi Datuk Ismee Ismail sebagai CEO tapi yang saya persoalkan bagaimana mekanisme kenaikan gaji daripada 2011 sebanyak RM70,000 naik kepada RM85,000 pada 2012," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, ketiadaan jawatankuasa penetapan gaji dalam Lembaga Pengarah Tabung Haji untuk menentukan kenaikan gaji CEO juga menimbulkan kecurigaan.

"Tak ada jawatankuasa penetapan gaji dalam lembaga pengarah tabung haji. Ada jawatankuasa soal pelaburan, ada enam jawatankuasa tapi tak termasuk soal penetapan gaji.

"Kalau menteri kata kenaikan ini mengikut peraturan, ini satu pembohongan yang dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Justeru Mahfuz berkata, beliau sedang merancang untuk menubuhkan badan bertindak untuk menyelamatkan Tabung Haji daripada sebarang penyelewengan.

"Saya akan bincang untuk menubuhkan badan bertindak untuk menyelamatkan tabung haji. Mungkin kita akan namakan badan ini sebagai penyelamat tabung haji," katanya.

Awal bulan lalu ketika berbahas di Parlimen, Mahfuz mendedahkan beliau mempunyai maklumat bahawa gaji Ismee dinaikkan dari RM70,000 pada 2011 kepada RM85,000 pada 2012.

Selain gaji, beliau juga mendakwa CEO Tabung Haji itu juga turut mendapat bonus RM700,000 serta gratuiti RM490,000.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana gaji seorang CEO berstatus kontrak memperolehi gaji sebesar itu berbanding CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berjawatan tetap tidak menikmati gaji selumayan itu malah gaji dan bonus itu sendiri lebih daripada yang diperolehi perdana menteri.

Apa yang dibimbangi kata Mahfuz, jika ada berlaku ketidaktelusan dalam agensi itu sehingga boleh menjejaskan simpanan pencarum yang lain.

Belum tentu saman NFC kembalikan RM250 juta




Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata saranan Ketua Audit Negara agar Kerajaan Persekutuan menyaman NFC tidak menjamin wang pinjaman RM250 juta dikembalikan sepenuhnya.

Menurut beliau, perjanjian yang dimeterai adalah di antara Kerajaan Malaysia dan NFCorp dan sebarang tindakan undang-undang sivil seperti saman akan hanya melibatkan NFCorp.

Sedangkan katanya, penyelewengan dan pembelian aset mewah yang tidak ada kena mengena dengan projek fidlot kebangsaan banyak berlaku di dalam syarikat-syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, bukannya NFCorp.

Syarikat-syarikat tersebut katanya secara undang-undang tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab atau obligasi kepada kerajaan atau pun perjanjian dana awam RM250 juta kerana ia hanya melibatkan NFCorp, maka ia tidak boleh disaman.

"NFCorp tidak mempunyai aset yang besar dan mengalami kerugian sejak ia beroperasi.

"Jika Kerajaan Persekutuan berjaya sekali pun di dalam tindakan saman sivilnya, NFCorp boleh sahaja diisytiharkan muflis tetapi tidak masih mampu membayar kembali RM250 juta yang dipinjam," tegasnya.

Ketua Audit Negara dalam Laporan Audit 2011 menyatakan beberapa langkah yang dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap NFC berikutan kegagalannya memenuhi syarat perjanjian yang ditandatangani dan prestasi projek yang tidak dicapai.

Salah satu langkah yang dipertimbangkan adalah mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap NFC.

Oleh sebab itulah katanya, Kerajaan Persekutuan perlu mengenakan “jaminan peribadi” (personal guarantee) terhadap Shahrizat dan keluarganya agar semua harta mereka termasuk hartanah mewah yang dibeli melalui syarikat-syarikat milik keluarga mereka tetapi menggunakan dana dari NFCorp, boleh disita bagi mendapatkan kembali RM250 juta dana awam yang diselewengkan.

Pada masa yang sama, beliau turut mendesak Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia mengambil tindakan di bawah Akta Anti Pengubahan Wang (Anti Money Laundering Act, AMLA) seperti yang pernah disyorkan sebelum ini, agar sebarang aset Shahrizat dan keluarganya  boleh dibekukan dan disita.

P Pinang surplus kerana rakyat, pentadbiran gigih


Pengesahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 bahawa lebihan surplus yang paling tinggi dicatat dalam sejarah Pulau Pinang yang naik 312% kepada RM138 juta pada 2011 berbanding RM33 juta pada 2010 adalah usaha gigih rakyat Pulau Pinang dan semangat berpasukan semua anggota pentadbiran kerajaan negeri.

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, pentadbiran Cekap Akauntabel dan Telus atau CAT kerajaan negeri PR telahpun membolehkan surplus naik RM105 juta dalam setahun kepada rekod RM138 juta berdasarkan kenaikan hasil yang dikutip yang naik RM192 juta atau 47% daripada RM411 juta pada 2010 kepada RM603 juta pada 2011 sungguhpun perbelanjaan mengurus naik RM88 juta atau 23% daripada RM377 juta pada 2011 kepada RM465 juta pada 2011.

Kerajaan negeri juga, kata beliau berterima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengurusan kewangan baik negeri, khususnya dalam menaikkan kutipan hasil sebanyak 47% atau RM192 juta.

Menurutnya, sungguhpun prestasi kewangan adalah yang paling baik dalam sejarah negeri Pulau Pinang, maka kerajaan negeri menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara dengan hati terbuka.

“Saya telahpun mengarahkan jawapan daripada semua jabatan berkenaan sekiranya ada kelemahan yang harus diperbaiki ataupun ada teguran audit yang tidak berasaskan fakta ataupun disebabkan oleh kesilapan pihak lain dan bukannya melibatkan kerajaan negeri.

“Di antara teguran audit yang saya hendak jelaskan di sini adalah bahawa daripada RM 557.25 juta yang diperuntukkan kepada 9 jabatan negeri untuk menjalankan 2,489 projek, hanya RM 171.05 juta telah dibelanjakan, ataupun RM386.2 juta tidak dibelanjakan,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Sebenarnya, jelas beliau hanya RM23.9 juta yang tidak dibelanjakan dan bukannya RM386.2 juta.

Katanya, RM23.9 juta tidak dibelanjakan kerana projek bermula lewat dan jabatan telahpun diarahkan untuk memastikan kelewatan dapat dielakkan.

Beliau menjelaskan lagi, baki RM362.3 juta tidak dibelanjakan disebabkan oleh dua (2) perkara utama iaitu:

- RM100 juta yang diperuntukkan untuk pengambilan tanah hub pendidikan Asian Women Leadership University atau AWLU di Kampung Genting, Balik Pulau tidak dibelanjakan apabila AWLU bersetuju memilih tapak kerajaan negeri di Pondok Upeh. Oleh itu pengambilan tanah di Kampung Genting dibatalkan dan kos RM100 juta dijimatkan; dan

- RM262.3 juta diperuntukkan untuk membayar hutang pinjaman projek bekalan air yang tidak perlu lagi dibelanjakan selepas perjanjian penghijrahan aset air kepada kerajaan persekutuan menerusi Perbadanan Asset Air Bhd(PAAB). Ini adalah kerana kerajaan persekutuan diperlukan membina Empangan Air Mengkuang dan mengambilalih hutang pinjaman ini sebagai pra-syarat kerajaan negeri bersetuju menyerahkan aset air kepada PAAB.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, Laporan Ketua Audit Negara telahpun menyatakan bahawa daripada 2,489 projek yang telah diluluskan pada 2011, sebanyak 2,455 projek (iaitu  98.6%)  telah siap sepenuhnya.

Katanya, hanya dua perbelanjaan besar sebanyak RM362.3 juta tidak dijalankan seperti yang dijelaskan di atas.

Beliau berkata, daripada jumlah peruntukan  RM557.25 juta hanya RM23.9 juta tidak dapat dibelanjakan kerana lewat berjalan projek.

“Pada keseluruhannya ulasan Ketua Audit Negara adalah bahawa pencapaian yang  baik dari segi bilangan projek yang berjaya disiapkan,” ujarnya.

Kewangan Kedah baik, pengurusan memuaskan


 Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Kedah pada tahun 2011 secara keseluruhannya adalah memuaskan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, baki Kumpulan Wang Disatukan adalah berjumlah RM252.36 juta, berbanding sejumlah RM328.28 juta pada tahun 2010.

Dalam pada itu, peningkatan hasil pada tahun 2011 berjumlah RM20.52 juta atau 4.5% berbanding peningkatan perbelanjaan mengurus sejumlah RM40.63 juta atau 9.4%.

Ini menyebabkan surplus Kerajaan Negeri pada tahun 2011 berjumlah RM2.39 juta berkurangan mendadak berbanding surplus tahun 2010 berjumlah RM22.50 juta.

Surplus ini mengurangkan baki defisit Akaun Hasil Disatukan tahun 2011 sejumlah RM2.39 juta menjadi RM295.84 juta berbanding RM298.23 juta pada tahun 2010.

Pengurangan wang tunai sejumlah RM79.93 juta pada tahun 2011 tidak menyebabkan peningkatan ketara Deposit Dalam Negeri, di mana hanya meningkat sejumlah RM4.00 juta menjadi RM59.14 juta pada tahun 2011 berbanding RM55.14 juta pada tahun
2010.

Pada tahun 2011 juga menyaksikan pengurangan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM23.20 juta berbanding pinjaman berjumlah RM249.87 juta pada tahun 2010.

Sementara itu, penemuan audit berhubung tahap prestasi pengurusan kewangan bagi agensi negeri mendapati seperti tahun 2010, sebanyak 17 jabatan atau agensi Negeri dinilai pencapaian pengurusan kewangan pada tahun 2011.

Hasil pengauditan mendapati 3 agensi negeri berada padatahap sangat baik dengan diberi penarafan empat bintang.

Manakala 12 jabatan atau agensi negeri berada pada tahap baik dengan penarafan tiga bintang.

Dua Jabatan Negeri iaitu Majlis Daerah Pendang dan Pejabat Daerah Kulim berada pada tahap memuaskan dengan penarafan dua bintang. 

Lemah: Jambatan Sultan Yahya Petra 2 lambat siap


Projek Pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan lambat siap ekoran banyak kelemahan, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011.


Antara kelemahan itu termasuklah pelantikan kontraktor yang tidak berpengalaman, serta masalah reka bentuk sistem cerucuk yang mengambil masa sehingga dua tahun untuk diselesaikan.

Selain itu, kelewatan membina jambatan sementara menyebabkan kerja-kerja dalam sungai tidak dapat dijalankan mengikut jadual

Faktor faktor itu telah menjadi antara punca kelewatan penyiapan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan walaupun empat Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa selama 891 hari iaitu sehingga 30 Ogos 2012 diluluskan.

Kegagalan menyiapkan kerja dalam tempoh yang telah ditetapkan juga menyebabkan kenaikan kos projek kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta.

Peningkatan nilai kontrak ini juga menurut laporan itu, mengambil kira Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM20.61 juta yang masih belum diluluskan.

Projek Pembinaan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan dimulakan 18 Jun 2007.

Agensi pelaksana bagi projek ini ialah Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

Konsortium I.S Resourcers Sdn. Bhd. - RIS Capital Sdn. Bhd. telah dilantik secara rundingan terus untuk melaksanakan projek ini.

Ia sepatutnya dijadual siap Disember 2009 tetapi gagal dan diserahkan hak kepada Aneka Prestij Sdn. Bhd pada Mac 2010 untuk menyiapkan baki pembinaan.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makthar Mustapha dilaporkan berkata, jambatan itu dijangka boleh digunakan sambutan Tahun Baru Cina tahun depan.

Buat permulaan jambatan baru itu hanya membenarkan kenderaan melalui satu daripada empat lorongnya iaitu bagi laluan Kota Bharu ke Pasir Pekan.

Menurutnya, laluan kedua-dua jalan dijangka boleh digunakan sepenuhnya Julai tahun depan.

Saya keluar Umno kerana Nik Aziz - Yahya Lampong


(Yahya bercakap kepada Harakahdaily bersama Pesuruhjaya dan Setiausaha Perhubungan PAS Sabah)

KOTA KINABALU: Bekas timbalan menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Yahya Lampong berkata, sebab langsung beliau meninggalkan Umno adalah kerana Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya keluar Umno kerana Nik Aziz. Yang terakhir itu adalah kenyataan dia bahawa parti Islam akan kekal sampai bila-bila sedangkan parti assabiyah Melayu akan mati.

"Di samping itu, bagi saya ada dua kerajaan sahaja di dunia ini yang benar-benar melaksanakan Islam dalam kehidupan pemimpinnya iaitu Kelantan dan Iran.

"Lihatlah pada Nik Aziz dan pada Khomeini dan sekarang Ahmedinajad," kata beliau.

Yahya bercakap kepada Harakahdaily bersama Pesuruhjaya dan Setiausaha Perhubungan PAS Sabah.

Dua minggu lalu, Yahya secara rasmi membuat kenyataan meninggal Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penyertaan Yahya bersama Pakatan Rakyat menambahkan lagi gelombang kebangkitan rakyat Sabah sekarang.

Ketika ditanya kenapa menyertai PKR dan bukannya PAS, Yahya berkata, dia menyertai PKR kerana mahu membantu mengembangkan PAS.

Ini kerana, PAS belum bersedia sepenuhnya untuk diterima semua pihak tetapi sesiapa sahaja boleh menyertai PKR tanpa sebarang halangan dan sekatan.

"Walaupun saya tidak menyertai PAS, tetapi saya yakin anak dan cucu saya akan menyertai PAS nanti," katanya yang kini berumur 72 tahun tetapi masih segar bugar.


Menang


Yahya (gambar) yakin Pakatan Rakyat akan menang dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Bagi beliau, kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak hanya bonus sahaja kerana menurut pengiraan beliau, Pakatan sudah menang tanpa bantuan kerusi di Sabah dan Sarawak.

"Saya akan pastikan, PAS akan berada dalam kabinet negeri Sabah selepas pilihan raya umum akan datang walaupun sekurang-kurangnya satu kerusi," kata Yahya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, moto gelombang kebangkitan rakyat Sabah adalah 'Ini kalilah' tetapi Yahya lebih agresif lagi dengan slogan beliau 'Habislah kali ini'.

Bagi beliau, Pakatan akan menang 2/3 kerusi di Sabah dengan kebangkitan rakyat Sabah yang ada sekarang.


Kejatuhan kerajaan Sabah


Sebelum ini, Timbalan Menteri Datuk Seri Panglima Lajim Ukin serta anggota Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing meninggalkan Umno.

Bagi pemerhati politik Sabah, peristiwa ini mengulangi sejarah politik Sabah.

Pada tahun 1976, Datuk Haris Salleh serta Datuk Salleh Sulong meninggalkan Usno dan membentuk Berjaya. Pada tahun itu, kerajaan negeri Sabah pimpinan Usno jatuh.

Pada tahun 1984, kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Berjaya jatuh pula apabila Datuk Pairin Kitingan dan Mark Koding lari meninggalkannya dan membentuk PBS.

Tahun 1994 sekali lagi kerajaan negeri Sabah, kali ini pimpinan PBS jatuh apabila Datuk Lajim Ukin dan Robin Balang meninggalkan PBS dan menyertai Umno.

"Kali ini, Lajim dan Bumburing pula akan menjatuhkan kerajaan BN Sabah," kata mereka.

LAPORAN BERKAITAN

Pakatan adalah perspektif baru politik Malaysia

Haramjadah: Keputusan teruskan saman 20 Dis


Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh, Datuk Akhtar Tahir hari ini menetapkan 20 Disember depan bagi keputusan meneruskan saman 8 orang peneroka sekitar Jengka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggelarkan mereka 'haram jadah'.

Peguam mewakili 8 peneroka berkenaan, Harris Abdullah, berkata keputusan dalam kamar hakim itu menetapkan 30 Oktober ini bagi kedua-dua pihak memfailkan semua bukti.

[Gambar: Peguam Harris (di tengah) bersama 8 peneroka yang memfailkan saman terhadap Najib.]

Tambahnya, hakim berkenaan juga menetapkan tempoh tiga minggu dari hari ini kedua-dua pihak plaintif dan defendan bagi membuat penghujahan bertulis berakhir 30 November akan datang.

“Alasan utama peguam pihak defendan untuk mengenepikan kes ialah ucapan Najib (haram jadah) itu, tidak merujuk kepada 8 plaintif kerana beliau (Najib) tidak menyebutkan nama dan alamat (plaintif) secara khusus,” katanya.

Pada 7 Ogos lalu 8 peneroka berkenaan memfailkan saman terhadap  Najib di Mahkamah Tinggi Temerloh kerana menempelak dengan ungkapan menghina haram jadah terhadap mereka.

Saman tersebut difailkan setelah notis tuntutan maaf dan permintaan ditarik balik perkataan tersebut yang telah diserahkan kepada Najib selaku defendan, tidak diindahkan dan tiada sebarang respons.

Dalam writ saman tersebut Samat Yusof, Alias Ibrahim, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Muhamed, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd dan Rakiah Sulong selaku plaintif mendakwa Najib mengeluarkan perkataan menghina itu pada 8 Mei lalu di Jengka 8.

Sedangkan Najib mengetahui ungkapan menghina yang diucapkan di hadapan lebih 40 ribu yang hadir di majlis mengumumkan durian runtuh itu dan liputan media boleh mempengaruhi memandangkan beliau pemimpin tertinggi negara.

Bagi mereka ungkapan haram jadah itu amat mengaibkan kerana membawa maksud mereka anak luar nikah, pengkhianat dan tidak bermaruah sehingga dianggap tidak layak menerima durian runtuh.

Dalam pada itu Harris menjelaskan, dalam penghujahan bertulis defendan bagi mengenepikan saman terhadap Najib ialah tuntutan plaintif satu penyalahgunaan proses mahkamah atas ketiadaan kausa tindakan  kerana plaintif-plaintif tidak merujuk atau mempunyai kaitan dengan defendan.

Tindakan plaintif juga didakwa mengaibkan, remeh dan menyusahkan.

Tambahnya lagi, defendan memberi alasan kegagalan plaintif untuk menyatakan kes terhadap defendan adalah satu kegagalan mandatori dan menjadikan tuntutan harus dibuang.

Najib selaku defendan diwakili peguam-peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Abu Bakar Isa Rahmat dan Abu Bakar Assidiq Datuk Sidik.

Kasih jangan bertompok, benci jangan merata


Jika Pakatan Rakyat mendapat mandat untuk menjadi pentadbir kepada negara, satu isu yang mesti diperbaiki ialah tentang keadilan untuk rakyat bersuara dengan jujur dan telus. Sekarang PR sedang menghadapi ketidak-adilan pihak media dan penguasa kepada media perdana. Berita dan sebaran maklumat sungguh tidak adil kerana sikap media yang terlalu berat sebelah yang tidak dapat diterima oleh banyak pihak. Kita latih bahagian editorial Utusan dan TV3 untuk menjadi lebih beretika dan professional dengan menyiarkan berita yang seimbang dan adil. Kita hendakkan perubahan ini kerana hendak melaksanakan demokrasi dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika PR mendapat mandat ini merupakan perkara yang paling utama untuk diperbaiki kerana menyiarkan berita dan isu dengan berat sebelah itu akan menjejaskan imej kerajaan itu seperti yang sedang dialami oleh BN sekarang ini. Jika UMNO dan BN menjadi pembangkang, kerajaan yang mendapat mandat itu wajar memberi peluang kepada parti pembangkang semasa itu (UMNO) dan lain-lain yang bersekutu dengannya untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas.

Kita tahu bagaimana sengsaranya pimpinan PR untuk mendekati rakyat kerana permainan politik kotor oleh media yang terlalu condong kepada BN hari ini. Jika PR mendapat mandat pemerintah yang baru itu mesti jangan mengulangi kejahatan yang dengan jelas sedang dilakukan oleh BN terhadap kita. Kita mesti tunjukkan perbezaan ini disamping melatih rakyat memahami apa itu demokrasi yang sebenarnya.
Lagi pun kebebasan bagi UMNO untuk bersuara sebagai parti pembangkang itu nanti akan sedikit sebanyak mengajar kita sendiri untuk menjadi kerajaan yang bersih, tanpa rasuah dan menyalahgunakan kuasa seperti yang dilakukan oleh BN sekarang ini. Inilah indahnya demokrasi jika dilaksanakan dengan telus dan beretika. Rakyat juga yang akan untung jika Putrajaya itu kita jadikan sebagai 'pusaka' bergilir-gilir. Sekarang ini BN patut mengambil giliran untuk duduk di pihak pembangkang. Lagipun UMNO kini sedang berlatih-latih untuk menjadi pembangkang dengan tindak-tanduk mereka yang tidak semenggah hari ini.

Pakatan Rakyat juga jangan sekali-kali berfikir seperti BN khususnya UMNO yang beranggapan yang Putrajaya itu adalah hak milik kekal kepada parti-parti yang memerintah. Putrajaya itu hanyalah TOL (temperary occupancy license) dan rakyat akan terus memberikan kita kuasa selagi kita bersikap adil dan saksama tanpa melacurkan perlembagaan negara kita yang sudah digubal dengan baik itu. Rakyat adalah ‘supreme’ dalam sesebuah demokrasi.

Jangan sekali-kali menghina rakyat dengan membeli jiwa mereka dengan wang ringgit semasa pilihanraya tiba kerana tindakan itu tidak lebih dan tidak kurang daripada menghina dan memperbodohkan mereka (Rakyat). BN sepatutnya belajar daripada kesalahan dan kesilapan sendiri tetapi mereka tidak berbuat demikian. Oleh itu jika PR mendapat mandat pada hari ini pihak PR sepatutnya menjadikan kesilapan dan kesalahan yang sedang dilakukan oleh BN hari ini sebagai pelajaran untuk kita semua.

Sesungguhnya belajar dari kesilapan orang lain itu merupakan cara pembelajaran yang sangat baik dan mudah. Belajarlah untuk menghormati orang ramai dan rakyat jelata. Jangan menghina dan menjadikan mereka seperti kerbau di sawah yang hanya untuk membajak sawah padi sahaja, sedangkan semua hasil padi dibaham oleh tikus-tikus gemuk dalam kepuk padi.

Binalah ketajaman pemikiran rakyat, dan bukannya memenjarakan pemikiran rakyat dan memaksa rakyat untuk mengikut telunjuk dan kehendak kita sahaja seperti yang dilakukan oleh pimpinan UMNO hari ini. Janganlah mewujudkan projek-projek pembangunan oleh kerana dirancang oleh rakan-rakan dan kroni sahaja kerana melakukan pembangunan cara itu akan membina kelompok kroni yang akhirnya akan membawa kepimpinan ke arah kepimpinan yang tidak bermoral dan beretika. Jangan jadi seperti UMNO: kasihnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata. Jadilah sebuah kerajaan yang penuh dengan ‘magnanimity’ serta beretika yang tinggi.

Gubal undang-undang yang tidak membolehkan sesiapa menjadikan isu bangsa dan agama sebagai topik dan bahan politik kerana apa yang BN lakukan pada hari amat merbahaya kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini yang mahukan kehidupan yang aman dan sentosa tanpa pergelutan dengan isu-isu sensitif ini. Ketegangan dan perasaan curiga-mencurigai semakin menebal di antara kaum dan akan membawa kebinasaan kepada kita semua.

PR mesti serius untuk membendung rasuah terutamanya kerana rasuah adalah kegiatan yang amat hina dan akan menjatuhkan negara dan tamadun kita. Rasuah punca kepada segala-gala kerosakan di muka bumi ini.

Jika semua ini dan yang lain-lain kesalahan yang dilakukan oleh BN pada hari ini dihindarkan oleh PR yang memerintah nanti, sesiapa sahaja yang menjadi PM tidak akan perlu lagi menjelajah dan mundar-mandir ke hulu ke hilir serta ke darat dan ke baruh untuk mempertahankan diri seperti yang terpaksa dilakukan oleh Najib pada hari ini.

Jika ditadbir negara dengan baik tidak perlu lagi seorang PM itu terpaksa membeli undi dengan agihan BR1M dan sebagainya kerana pemberian itu hanya mampu menghilangkan dahaga tidak sampai seminggu tetapi susahnya sepanjang tahun dan zaman.

Jika PM yang baru dilantik pula, jangan melibatkan isteri keterlaluan dalam hal negara. Lee Kuan Yew merupakan pemimpin rantau ini yang terkenal tetapi isterinya hanya dikenali semasa isteri beliau itu meninggal dunia 2 tahun dahulu. Itu pun sekarang ini saya dan ramai lagi sudah lupa nama isteri beliau. Ini perlu kerana seorang isteri itu adalah kaum yang perlu dibimbing. Hawa itu datangnya dari tulang rusuk kiri Adam.

Hawa tidak datang dari kepala untuk dijadikan ketua dan pemimpin kepada kita dan tidak juga datangnya dari kaki untuk dipijak dan ditekan. Hawa itu dilahirkan melalui rusuk kiri Adam untuk bersama kita semasa susah dan senang bukannya untuk mempengaruhi ke atas kewajipan kita kerana ia akan menjatuhkan negara dan masyarakat jika kita menjadi pemimpin. Hawa itu untuk dibelai dan dikasihi, bukannya untuk ditakuti dan digeruni.

Saya menulis isu ini kerana saya mempunyai keyakinan yang perubahan bakal berlaku jika tidak ada ‘legal cheating’ dilakukan oleh BN dalam pilihanraya ini. Elok kita ingatkan terlebih dahulu supaya tidak payah ditegur semasa mentadbir negara setelah mendapat mandat rakyat nanti.

Pakatan Rakyat tidak boleh tidak, mesti menunjukkan perbezaan dengan BN dalam mentadbir negara. Masa itu nanti barulah kita tahu berbezaannya dan selepas itu rakyat berhak untuk mengalih dan menganjak siapa yang mentadbir negara mengikut selera dan kehendak rakyat sendiri.

Buat masa ini rakyat wajar memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perbezaan dalam banyak bidang dengan BN. Sekarang ini saya berkeyakinan yang PR mampu menunjukan berbezaan itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Rapid: Alasan ambil tanah penduduk tak munasabah


PAS hari ini menyifatkan jawapan yang dikemukakan oleh kerajaan dalam isu projek Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang adalah tidak munasabah.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jawapan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Devamany S Krishnasamy semalam bahawa pengambilan tanah penduduk perlu dilakukan atas faktor keselamatan penduduk, adalah alasan yang tidak lojik.

"Pada peringkat dasar sebelum ini saya telah berbahas dan menanyakan pihak kerajaan apakah hujah dan alasan yang kukuh sehingga menyebabkan hampir 10 buah kampung tradisi di Pengerang akan dimusnahkan termasuk penduduk dipindahkan.

"Tetapi alasan yang diberikan hanyalah untuk demi keselamatan projek dan penduduk maka mereka perlu dipindahkan, itu satu jawapan yang tidak munasabah langsung," jelas Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Menurut Salahudin, timbalan menteri itu juga semalam turut menyatakan, antara sebab pemilihan lokasi tersebut adalah kerana faktor kedalaman paras air laut dan faktor terlindung dari angin atau dikenali kawasan teduhan angin.

Apa yang menghairankan katanya, lokasi kampung tersebut jika dibandingkan dengan tanah milik kerajaan yang telah dibangunkan untuk penempatan tidak sampai pun 10 kilometer.

"Apabila kawasan perpindahan tidak sampai 10 kilometer maka isu dan alasan untuk keselamatan, isu ke dalaman air mahupun perlindungan angin adalah bukan alasan yang tepat," katanya.

"Jawapan beliau itu jelas menunjukkan beliau tidak pernah menghadirkan diri di Pengerang bagaimana beliau boleh memberi jawapan sedemikian," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media Pakatan Rakyat hari ini memberitahu, pembangunan projek itu telah bercanggah dengan prinsip-prinsip yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat.

"Pertamanya kenapa perlu ada pengambilalihan tanah kampung tradisional sehingga penduduk setempat dihalau walaupun tanah milik kerajaan yang luas telah ada bagi pembangunan projek Rapid itu," jelas Anwar.

Beliau turut mendakwa, nelayan di kawasan tersebut telah mengalami kerugian yang besar apabila hasil tangkapan mereka yang tidak memuaskan apabila kerja tambak laut telah dilakukan sebelum tanah rakyat diambil.

"Kita juga belum melihat hasil kajian dari Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan kita belum yakin dengan laporan tersebut.

"Perundingan yang teliti perlu dilakukan dengan rakyat bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi kebaikan semua pihak terutamanya penduduk setempat," sambung beliau.

Atas segala persoalan yang dikemukan itu, Pakatan Rakyat ujarnya mendesak agar projek tersebut ditangguhkan bagi tujuan meneliti persoalan yang dikemukan penduduk setempat.

Ketua AMK Kedah ditukar ke Gua Musang


Biar pun terpaksa berpisah jauh dengan isteri dan lima anak, namun Cikgu Man redha demi sebuah perjuangan bagi menegakkan kebenaran.


Azman Nasharuddin sebelum ini mengajar di Kepala Batas, Pulau Pinang sekarang ditukar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Aring di pedalaman Gua Musang.

Beliau tahu segala risiko yang dihadapinya biar pun sebelum ini ada rakan-rakan pernah mengingatkannya “jangan aktif sangat di pentas Pakatan Rakyat”.

Sebaliknya demi sebuah perjuangan Cikgu Man yang juga Ketua AMK Kedah redha dengan apa yang berlaku ke atas dirinya, biar pun dijadikan seperti bola oleh pemerintah yang didominasi Umno.

“Saya bekerja dengan kerajaan sebagai kakitangan awam dan bukan bekerja dengan Umno. Gaji saya dibayar daripada wang rakyat.

“Namun Umno sekarang takut kepada guru-guru dan pegawai kerajaan,” katanya ketika muncul di pentas ceramah di Kampung Paya Senang, Dun Bunut Payong malam tadi.

Menurutnya semalam beliau melaporkan diri kepada Guru Besar di SK Aring dan pada masa sama turut mengunjungi hormat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, tidak menjadi kesalahan baginya menemui Menteri Besar Kelantan sebagai seorang ketua kerajaan di negeri ini.

Kata beliau seorang rakannya yang juga mengajar di Kepala Batas mengalami nasib serupa apabila ditukar mengajar di Pulau Ketam kerana aktif dalam PAS.

“Umno melakukan apa sahaja sekarang demi mempertahankan sebuah kuasa sehingga sanggup menganiaya orang yang tidak sebulu dengan politik mereka.

“Saya pun pernah memegang jawatan ketua cawangan Umno di Kedah sebelum ini. Namun pada 1999 tidak lagi bersama perjuangan parti itu selepas melihat nasib orang Melayu terpinggir di bawah Umno.

“Di Pulau Pinang siapa yang gadai tanah-tanah milik orang Melayu. Biar pun bermacam-macam depa tuduh terhadap Lim Guan Eng namun sekarang orang Melayu sudah sedar,” ujarnya.

Kata beliau bantuan kepada warga emas sebanyak RM100 setahun amat dihargai rakyat biar pun sebelum ini bermacam-macam tomahan dibuat Umno.

Hadir sama pada ceramah tersebut Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan,  Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin dan bekas Setiausaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua.

Orang ramai memenuhi perkarangan tempat ceramah biar pun hujan turun renyai-renyai. Malah ada sanggup basah bagi mendengar ceramah kumpulan guru.

Menteri Wanita dibidas, tak hadir penggulungan


Ahli Parlimen wanita Pakatan Rakyat mempersoalkan ketidakhadiran Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dalam sesi penggulungan Belanjawan 2013 bagi kementerian itu.


Ketidakpuasan hati di kalangan ahli parlimen wanita itu mula dibangkitkan oleh Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) diikuti Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) dan Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang).

Ekoran pencelahan mereka itu menimbulkan sedikit kekecohan menyebabkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandi terpaksa mententeramkan sidang dewan rakyat sebaik sahaja sesi soal jawab tamat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Datuk Halimah Sadique (BN-Tenggara) yang turut bangun meminta Timbalan Menteri Wanita mengabaikan hujahan mereka.

"Saya minta timbalan menteri pedulikan apa yang mereka cakap, teruskan sahaja penggulungan,"katanya dengan lantang.

Ekoran kelantangan Halimah itu, Ahli Parlimen Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) turut memberi respons "Saya sokong Tenggara jadi Menteri Wanita".

Sementara itu, Ahli Parlimen Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) yang juga melahirkan rasa tidak puas hati apabila Menteri Wanita yang sepatutnya membuat penggulungan diganti oleh Timbalannya Datuk Heng Seai Kie.

Semenjak peletakkan jawatan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil ekoran kontroversi dalam Pusat Fitlot Kebangsaan (NFC), kementerian itu sehingga kini dipangku oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mencelah ketika penggulungan, Zailah berkata memberi jawatan Menteri Wanita kepada seorang lelaki baginya merupakan satu penghinaan kepada Wanita Umno.

"Ramai wanita di dalam Umno yang boleh diangkat menjadi Menteri Wanita. Tidakkah ianya satu penghinaan apabila orang lelaki yang menjadi menteri wanita," katanya.

Tambahnya, banyak perkara yang berbangkit berkaitan kepentingan wanita di mana ianya perlu diperkasakan oleh kementerian ini.

Zailah juga mempersoalkan Permata negara dan pra sekolah mendapat peruntukan yang besar iaitu Rm1.2 billion sedangkan Kementerian Wanita hanya mendapat RM52 juta.

"Adakah Menteri Wanita merasai peruntukan ini mencukupi? Di dalam Laporan Audit turut melaporkan banyak kelemahan. Apakah alasan yang dibuat oleh kementerian bahawa matlamat boleh dicapai,"tegasnya.