Tuesday, October 16, 2012

Papan tanda ITIS gagal berfungsi dengan baik



Projek papan elektronik Integrated Transport Information System (ITIS) yang dilaksanakan pada tahun 2005 oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Malaysia dengan kos melebihi RM400 juta didakwa gagal berfungsi dengan baik.

Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan membangkitkan perkara itu memandangkan ianya dilihat lebih kepada membazirkan wang rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, ramai warga kota mengadu mereka tidak mendapat maklumat menyeluruh daripada sistem itu.

"Kita dapati beberapa perkara menyebabkan ITIS gagal dan semakin hari dilaksanakan semakin merugikan dimana ianya ditanggung oleh pembayar cukai," katanya.

Malah beliau berkata, sistem itu yang menelan belanja beratus-ratus juga tidak termasuk kos penyelenggaran yang menelan belanja RM12 juta.

Tegas Nurul Izzah, di awal pelaksanaan projek ini yang melibatkan 255 kamera litar tertutup (CCTV) merupakan sistem integrasi bagi program jenayah sebagaiman diumumkan oleh bekas Menteri Wilayah Datuk Zulhasnan Rafik.

Bagaimanapun, katanya sehingga tahun 2010 walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diberi geran untuk menyelenggara ITIS sebanyak RM68 juta, namun ianya masih tidak berfungsi dengan baik.

"DBKL harus dipertangungjawabkan soal keberkesanan ITIS," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, sistem ITIS wajar dimansuhkan kerana ia bukan lagi menyusahkan pengguna sebaliknya sistem itu sendiri sudah tidak relevan.

"Kualiti papan skrin ITIS yang rendah, penyelenggaran yang gagal akhirnya tidak membantu mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, mendesak Menteri Wilayah Datuk Raja Nong Chik menjelaskan peruntukan RM36.87 juta yang sepatutnya digunakan untuk membeli bangunan bagi projek ITIS.

"Sebaliknya, DBKL hanya guna RM8.49 juta untuk menyewa bangunan bagi projek itu. Di mana selebihnya peruntukan itu sama ada ia dipulangkan atau dihabiskan begitu sahaja, saya mohon menteri jelaskan," katanya.

Mereka berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng menjelaskan sebanyak 140 unit 'variable message sign' (VMS) salah satu peralatan luar ITIS yang telah dipasang, namun selepas lapan tahun beroperasi hanya 46 unit sahaja yang berfungsi dengan baik.


No comments:

Post a Comment