Tuesday, October 16, 2012

Langat 2: Selangor temui kaedah baru rawat air


Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji kaedah alternatif bagi tujuan rawatan air agar ianya lebih berkesan dan murah.


Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga kini kerajaan negeri mengkaji teknologi dari Kanada yang menggunakan membran bagi meningkatkan pengeluaran air dari loji rawatan air yang sedia ada.

Teknologi tersebut katanya akan membolehkan infrastruktur rawatan air di Selangor mengeluarkan air yang cukup untuk masa depan tanpa kenaikan harga kepada pengguna.

“Kos penyediaan rawatan air ini tidak melebihi RM 800 juta berbanding kos pembinaan Langat 2 yang akan menelan belanja kira-kira RM3 bilion.

“Kaedah baru ini mampu menambah pengeluaran jumlah air terawat sebanyak 1 juta liter sehari iaitu jumlah sama seperti yang disasarkan melalui Langat 2,” katanya dipetik Selangorku.

Justeru katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Pusat bagi membincangkan kaedah baru tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa teknologi itu mengambil air dari beberapa loji rawatan dan merawat mereka secara berasingan dan bukannya melakukan semua kerja-kerja dari satu loji utama, seperti Langat 2.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menganggarkan bahawa ia terpaksa menaikkan harga air sebanyak 12 peratus bagi membiayai kos pembinaan loji Langat 2.

No comments:

Post a Comment