Tuesday, October 16, 2012

Rapid: Alasan ambil tanah penduduk tak munasabah


PAS hari ini menyifatkan jawapan yang dikemukakan oleh kerajaan dalam isu projek Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang adalah tidak munasabah.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jawapan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Devamany S Krishnasamy semalam bahawa pengambilan tanah penduduk perlu dilakukan atas faktor keselamatan penduduk, adalah alasan yang tidak lojik.

"Pada peringkat dasar sebelum ini saya telah berbahas dan menanyakan pihak kerajaan apakah hujah dan alasan yang kukuh sehingga menyebabkan hampir 10 buah kampung tradisi di Pengerang akan dimusnahkan termasuk penduduk dipindahkan.

"Tetapi alasan yang diberikan hanyalah untuk demi keselamatan projek dan penduduk maka mereka perlu dipindahkan, itu satu jawapan yang tidak munasabah langsung," jelas Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Menurut Salahudin, timbalan menteri itu juga semalam turut menyatakan, antara sebab pemilihan lokasi tersebut adalah kerana faktor kedalaman paras air laut dan faktor terlindung dari angin atau dikenali kawasan teduhan angin.

Apa yang menghairankan katanya, lokasi kampung tersebut jika dibandingkan dengan tanah milik kerajaan yang telah dibangunkan untuk penempatan tidak sampai pun 10 kilometer.

"Apabila kawasan perpindahan tidak sampai 10 kilometer maka isu dan alasan untuk keselamatan, isu ke dalaman air mahupun perlindungan angin adalah bukan alasan yang tepat," katanya.

"Jawapan beliau itu jelas menunjukkan beliau tidak pernah menghadirkan diri di Pengerang bagaimana beliau boleh memberi jawapan sedemikian," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media Pakatan Rakyat hari ini memberitahu, pembangunan projek itu telah bercanggah dengan prinsip-prinsip yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat.

"Pertamanya kenapa perlu ada pengambilalihan tanah kampung tradisional sehingga penduduk setempat dihalau walaupun tanah milik kerajaan yang luas telah ada bagi pembangunan projek Rapid itu," jelas Anwar.

Beliau turut mendakwa, nelayan di kawasan tersebut telah mengalami kerugian yang besar apabila hasil tangkapan mereka yang tidak memuaskan apabila kerja tambak laut telah dilakukan sebelum tanah rakyat diambil.

"Kita juga belum melihat hasil kajian dari Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan kita belum yakin dengan laporan tersebut.

"Perundingan yang teliti perlu dilakukan dengan rakyat bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi kebaikan semua pihak terutamanya penduduk setempat," sambung beliau.

Atas segala persoalan yang dikemukan itu, Pakatan Rakyat ujarnya mendesak agar projek tersebut ditangguhkan bagi tujuan meneliti persoalan yang dikemukan penduduk setempat.

No comments:

Post a Comment