Tuesday, October 16, 2012

Kasih jangan bertompok, benci jangan merata


Jika Pakatan Rakyat mendapat mandat untuk menjadi pentadbir kepada negara, satu isu yang mesti diperbaiki ialah tentang keadilan untuk rakyat bersuara dengan jujur dan telus. Sekarang PR sedang menghadapi ketidak-adilan pihak media dan penguasa kepada media perdana. Berita dan sebaran maklumat sungguh tidak adil kerana sikap media yang terlalu berat sebelah yang tidak dapat diterima oleh banyak pihak. Kita latih bahagian editorial Utusan dan TV3 untuk menjadi lebih beretika dan professional dengan menyiarkan berita yang seimbang dan adil. Kita hendakkan perubahan ini kerana hendak melaksanakan demokrasi dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika PR mendapat mandat ini merupakan perkara yang paling utama untuk diperbaiki kerana menyiarkan berita dan isu dengan berat sebelah itu akan menjejaskan imej kerajaan itu seperti yang sedang dialami oleh BN sekarang ini. Jika UMNO dan BN menjadi pembangkang, kerajaan yang mendapat mandat itu wajar memberi peluang kepada parti pembangkang semasa itu (UMNO) dan lain-lain yang bersekutu dengannya untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas.

Kita tahu bagaimana sengsaranya pimpinan PR untuk mendekati rakyat kerana permainan politik kotor oleh media yang terlalu condong kepada BN hari ini. Jika PR mendapat mandat pemerintah yang baru itu mesti jangan mengulangi kejahatan yang dengan jelas sedang dilakukan oleh BN terhadap kita. Kita mesti tunjukkan perbezaan ini disamping melatih rakyat memahami apa itu demokrasi yang sebenarnya.
Lagi pun kebebasan bagi UMNO untuk bersuara sebagai parti pembangkang itu nanti akan sedikit sebanyak mengajar kita sendiri untuk menjadi kerajaan yang bersih, tanpa rasuah dan menyalahgunakan kuasa seperti yang dilakukan oleh BN sekarang ini. Inilah indahnya demokrasi jika dilaksanakan dengan telus dan beretika. Rakyat juga yang akan untung jika Putrajaya itu kita jadikan sebagai 'pusaka' bergilir-gilir. Sekarang ini BN patut mengambil giliran untuk duduk di pihak pembangkang. Lagipun UMNO kini sedang berlatih-latih untuk menjadi pembangkang dengan tindak-tanduk mereka yang tidak semenggah hari ini.

Pakatan Rakyat juga jangan sekali-kali berfikir seperti BN khususnya UMNO yang beranggapan yang Putrajaya itu adalah hak milik kekal kepada parti-parti yang memerintah. Putrajaya itu hanyalah TOL (temperary occupancy license) dan rakyat akan terus memberikan kita kuasa selagi kita bersikap adil dan saksama tanpa melacurkan perlembagaan negara kita yang sudah digubal dengan baik itu. Rakyat adalah ‘supreme’ dalam sesebuah demokrasi.

Jangan sekali-kali menghina rakyat dengan membeli jiwa mereka dengan wang ringgit semasa pilihanraya tiba kerana tindakan itu tidak lebih dan tidak kurang daripada menghina dan memperbodohkan mereka (Rakyat). BN sepatutnya belajar daripada kesalahan dan kesilapan sendiri tetapi mereka tidak berbuat demikian. Oleh itu jika PR mendapat mandat pada hari ini pihak PR sepatutnya menjadikan kesilapan dan kesalahan yang sedang dilakukan oleh BN hari ini sebagai pelajaran untuk kita semua.

Sesungguhnya belajar dari kesilapan orang lain itu merupakan cara pembelajaran yang sangat baik dan mudah. Belajarlah untuk menghormati orang ramai dan rakyat jelata. Jangan menghina dan menjadikan mereka seperti kerbau di sawah yang hanya untuk membajak sawah padi sahaja, sedangkan semua hasil padi dibaham oleh tikus-tikus gemuk dalam kepuk padi.

Binalah ketajaman pemikiran rakyat, dan bukannya memenjarakan pemikiran rakyat dan memaksa rakyat untuk mengikut telunjuk dan kehendak kita sahaja seperti yang dilakukan oleh pimpinan UMNO hari ini. Janganlah mewujudkan projek-projek pembangunan oleh kerana dirancang oleh rakan-rakan dan kroni sahaja kerana melakukan pembangunan cara itu akan membina kelompok kroni yang akhirnya akan membawa kepimpinan ke arah kepimpinan yang tidak bermoral dan beretika. Jangan jadi seperti UMNO: kasihnya bertompok-tompok, bencinya merata-rata. Jadilah sebuah kerajaan yang penuh dengan ‘magnanimity’ serta beretika yang tinggi.

Gubal undang-undang yang tidak membolehkan sesiapa menjadikan isu bangsa dan agama sebagai topik dan bahan politik kerana apa yang BN lakukan pada hari amat merbahaya kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini yang mahukan kehidupan yang aman dan sentosa tanpa pergelutan dengan isu-isu sensitif ini. Ketegangan dan perasaan curiga-mencurigai semakin menebal di antara kaum dan akan membawa kebinasaan kepada kita semua.

PR mesti serius untuk membendung rasuah terutamanya kerana rasuah adalah kegiatan yang amat hina dan akan menjatuhkan negara dan tamadun kita. Rasuah punca kepada segala-gala kerosakan di muka bumi ini.

Jika semua ini dan yang lain-lain kesalahan yang dilakukan oleh BN pada hari ini dihindarkan oleh PR yang memerintah nanti, sesiapa sahaja yang menjadi PM tidak akan perlu lagi menjelajah dan mundar-mandir ke hulu ke hilir serta ke darat dan ke baruh untuk mempertahankan diri seperti yang terpaksa dilakukan oleh Najib pada hari ini.

Jika ditadbir negara dengan baik tidak perlu lagi seorang PM itu terpaksa membeli undi dengan agihan BR1M dan sebagainya kerana pemberian itu hanya mampu menghilangkan dahaga tidak sampai seminggu tetapi susahnya sepanjang tahun dan zaman.

Jika PM yang baru dilantik pula, jangan melibatkan isteri keterlaluan dalam hal negara. Lee Kuan Yew merupakan pemimpin rantau ini yang terkenal tetapi isterinya hanya dikenali semasa isteri beliau itu meninggal dunia 2 tahun dahulu. Itu pun sekarang ini saya dan ramai lagi sudah lupa nama isteri beliau. Ini perlu kerana seorang isteri itu adalah kaum yang perlu dibimbing. Hawa itu datangnya dari tulang rusuk kiri Adam.

Hawa tidak datang dari kepala untuk dijadikan ketua dan pemimpin kepada kita dan tidak juga datangnya dari kaki untuk dipijak dan ditekan. Hawa itu dilahirkan melalui rusuk kiri Adam untuk bersama kita semasa susah dan senang bukannya untuk mempengaruhi ke atas kewajipan kita kerana ia akan menjatuhkan negara dan masyarakat jika kita menjadi pemimpin. Hawa itu untuk dibelai dan dikasihi, bukannya untuk ditakuti dan digeruni.

Saya menulis isu ini kerana saya mempunyai keyakinan yang perubahan bakal berlaku jika tidak ada ‘legal cheating’ dilakukan oleh BN dalam pilihanraya ini. Elok kita ingatkan terlebih dahulu supaya tidak payah ditegur semasa mentadbir negara setelah mendapat mandat rakyat nanti.

Pakatan Rakyat tidak boleh tidak, mesti menunjukkan perbezaan dengan BN dalam mentadbir negara. Masa itu nanti barulah kita tahu berbezaannya dan selepas itu rakyat berhak untuk mengalih dan menganjak siapa yang mentadbir negara mengikut selera dan kehendak rakyat sendiri.

Buat masa ini rakyat wajar memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perbezaan dalam banyak bidang dengan BN. Sekarang ini saya berkeyakinan yang PR mampu menunjukan berbezaan itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

No comments:

Post a Comment