Tuesday, October 16, 2012

Myanmar halang pejabat OIC dibuka di Ranggon



(OIC tidak diberi kebenaran untuk menubuhkan pejabat perhubungan bagi membantu pelarian umat Islam Rohingya selepas bantahan oleh sami-sami Buddha.)

RANGGON: Kerajaan Myanmar berkata mereka tidak akan membenarkan Organisation of Islamic Co-operation (OIC) untuk membuka sebuah pejabat perhubungan selepas ribuan orang awam dan sami Buddha berarak membantah rancangan tersebut.

Myanmar dan OIC bersetuju bulan lepas untuk membuka pejabat untuk memberi bantuan kepada umat Islam yang dipindahkan  akibat pertempuran.

Kementerian Maklumat Isnin lalu memaparkan kenyataan di laman webnya bahawa pembukaan pejabat tersebut tidak akan dibenarkan kerana rakyat Myanmar tidak mahukannya.

"Kita tidak boleh menerima mana-mana pejabat OIC di sini," Oattamathara, seorang sami yang mengetuai protes di Mandalay, hab ekonomi dan kebudayaan Myanmar, memberitahu agensi berita AFP.

Satu kenyataan yang disiarkan di laman web presiden pula memaparkan,"Kerajaan tidak akan membenarkan pembukaan pejabat OIC kerana ia tidak selaras dengan keinginan orang ramai."

Ketegangan agama antara Buddha-Rohingya semakin teruk selepas pertempuran Jun lalu di barat Rakhine yang menyebabkan puluhan orang mati dan puluhan ribu pula terpaksa berlindung di pusat perlindungan sementara.

Golongan sami adalah golongan yang berada di barisan hadapan kebangkitan pro-demokrasi 2007 yang dihancurkan secara kejam oleh bekas junta.

Mereka juga terlibat dalam siri protes terhadap OIC dan 800 ribu warga Rohingya yang tidak mempunyai negara, dan digambarkan oleh PBB sebagai salah satu minoriti di dunia yang paling dianiayai.

Anggota OIC yang mempunyai keahliam seramai 57 orang itu melawat Rakhine bulan lepas selepas dakwaan dari kumpulan hak asasi bahawa pasukan keselamatan melepaskan tembakan kepada Rohingya semasa pergolakan, isu yang menyebabkan kebimbangan di seluruh dunia Islam.

Rohingya, yang bercakap dialek yang sama dengan bahasa negara jiran, Bangladesh iaitu bahasa Bengali, dilihat oleh kerajaan dan warga Myanmar sebagai pendatang haram.

Ketegangan di Rakhine turut merebak ke Bangladesh, di mana polis baru-baru ini melaporkan mereka telah menahan hampir 300 orang yang dikaitkan dengan keganasan yang mensasarkan  rumah dan kuil Buddha.

No comments:

Post a Comment