Tuesday, October 16, 2012

Tukar mentol GLS: Adakah rakyat diperbodohkan?


Satu laporan bertajuk 'Tukar Dengan Betul' telah diterbitkan oleh AWER untuk mengutarakan isu-isu berkaitan dengan program menghentikan penggunaan mentol berfilamen (GLS) di Malaysia. Laporan ini boleh didapati dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina diwww.awer.org.my dan www.click.org.my. Versi tambahan laporan ini yang dikenali sebagai Laporan Khas hanya boleh didapati di www.click.org.my. Laporan Khas mengandungi keputusan ujian, penilaian dan label-label spesimen yang diuji.

Disebabkan oleh sifat operasinya, GLS menukarkan tenaga elektrik kepada tenaga cahaya dan haba. Jumlah tenaga yang digunakan dalam menjana cahaya adalah jauh lebih rendah berbanding dengan haba. Untuk menjustifikasi penghentian penggunaan GLS, Suruhanjaya Tenaga (ST) menganggarkan bahawa kira-kira 20% daripada lampu yang digunakan di Malaysia adalah jenis GLS di mana kira-kira 15 juta mentol dijual setiap tahun. Mereka menganggar jumlah penjimatan tenaga tahunan adalah kira-kira 1,074 GWj dan penjimatan sebanyak RM336 juta dalam perbelanjaan penggunaan elektrik oleh pengguna. Walau bagaimanapun, berdasarkan statistik yang diterima oleh AWER daripada Jabatan Perangkaan, penggunaan purata tahunan mentol GLS  hanya sekitar 2.4 juta mentol di antara tahun 2007 - 2011. Ini adalah sekitar 16% daripada apa yang di dakwa oleh ST. Adakah pihak industri telah memperdaya ST atau ST telah melakukan kesilapan serius dalam penganggarannya?

Kelengahan ini juga telah menyebabkan isu-isu yang tidak diingini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Mari kita meneliti cabaran-cabaran untuk menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat.

1.         CABARAN-CABARAN MENGHENTIKAN PENGGUNAAN GLS

Cabaran 1:   Impak kepada Bekalan dan Permintaan Produk - produk Pencahayaan

Proses menghentikan penggunaan (phase-out) produk tidak cekap tenaga akan menggantikan produk tidak cekap tenaga dengan produk yang lebih sesuai dan cekap tenaga. CFL telah dikenal pasti sebagai calon yang sesuai untuk menggantikan GLS. Di samping itu, lampu LED sedang juga mengambil bahagian dalam pasaran secara perlahan-lahan. Permintaan puncak berlaku disebabkan peralihan daripada GLS kepada jenis produk lampu yang lain bagi memenuhi keperluan undang-undang.

Kita juga memerlukan peraturan yang ketat di Malaysia bagi memastikan kualiti produk dapat dijamin. Kualiti produk yang lebih rendah akan meningkatkan penjanaan sisa di mana ia akan menggagalkan tujuan utama program menghentikan penggunaan GLS iaitu perlindungan alam sekitar.

Cabaran 2: Pengumuman Menghentikan Penggunaan GLS yang Betul
Di Malaysia, pengumuman menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat tidak mengenal pasti fungsi produk-produk lampu yang lain seperti lampu kalimantang, mentol halogen dan lampu mentol berfilamen yang cekap (mentol halogen yang ditambah baik).

Dalam program ini, hanya GLS sedang dihentikan penggunaannya secara berperingkat dan bukannya lampu kalimantang. Lampu Kalimantang sebenarnya adalah lebih baik untuk pencahayaan di kebanyakan tempat. Kini, pengumuman menghentikan penggunaan GLS dan menggantikannya dengan CFL telah menyebabkan orang ramai mengabaikan atau salah faham tentang lampu kalimantang. Mentol halogen juga sedang dihentikan penggunaannya di negara-negara maju. Ini telah menyebabkan model mentol halogen yang tidak cekap tenaga mula muncul dengan pesat di pasaran Malaysia. Masalah ini hanya kerana kewujudan model mentol halogen yang tidak cekap tenaga tidak dikawal ataupun disekat di Malaysia.

Oleh itu, komunikasi kepada orang ramai mestilah jelas dan mendidik. Penyataan yang mengelirukan dan istilah khas akan menyebabkan orang ramai bingung dan tidak mengetahui apa yang patut dilakukan. Ini juga akan menyebabkan mereka menolak atau tidak menghiraukan dasar-dasar yang dikatakan lebih "baru" dan "hijau".

Cabaran 3: Maklumat Produk yang Meragukan

Maklumat tentang produk biasanya diterbitkan pada bungkusan produk atau risalah tambahan yang diletakkan di dalam bungkusan. Malangnya, pelbagai produk telah membanjiri pasaran dan mewujudkan kekeliruan di kalangan pengguna.

Berdasarkan persampelan produk CFL oleh pihak kami, beberapa masalah berkaitan dengan maklumat produk adalah maklumat yang salah, label tenaga yang palsu, tiada butiran pengilang, dakwaan yang salah dan dakwaan kesihatan yang meragukan.

Cabaran 4: Kualiti Produk

Disebabkan permintaan CFL yang memuncak di seluruh dunia, kualiti produk untuk memenuhi permintaan akan sentiasa menjadi satu isu. Dalam mana-mana pembuatan (production line), taburan normal digunakan untuk memastikan kualiti produk dikekalkan dalam 'lengkung loceng' atau bell curve yang sesuai yang menepati spesifikasi reka bentuk. Di Malaysia, terdapat banyak kes di mana CFL 'berjenama' tidak mampu beroperasi melebihi setahun. Apakah jaminan yang pengilang boleh memberi kepada pengguna untuk memastikan kualiti produk dikekalkan di samping memenuhi permintaan?

Cabaran 5: Pricing of CFL is Vague

Harga runcit CFL tidak berkurang walaupun kerajaan Malaysia telah mengumumkan program menghentikan penggunaan GLS pada tahun 2010. Melalui program ini, kerajaan mengeluarkan pesaing yang besar dan berharga murah (iaitu GLS) berbanding dengan CFL tahun menjelang 2014. Di samping itu, faedah pengecualian duti juga diberi untuk teknologi pencahayaan yang cekap tenaga. Malangnya, harga produk-produk ini tidak berkurang. Di sebaliknya, pengumuman program ini juga telah memberi manfaat kepada beberapa produk CFL yang dijual dengan harga serendah RM 3.00. Kualiti produk-produk ini juga boleh dipersoalkan. Tambahan pula, sesetengah jenama CFL terkemuka mempunyai harga yang tinggi di pasar raya dan pasar raya besar berbanding dengan kedai-kedai lampu kecil-kecilan yang menawarkan hampir separuh daripada harga jualan ini. Kini, adakah rakyat Malaysia diperbodohkan?
Cabaran 6: Hazardous Waste Management

Kandungan Merkuri dalam teknologi lampu kalimantang bukanlah perkara baru. CFL mewarisi masalah kandungan Merkuri yang sama. Di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (EQA), Merkuri dalam produk dan proses mesti dilupuskan dengan selamat kerana ia diklasifikasikan sebagai salah satu sisa terjadual. Malangnya, pengguna domestik tidak terikat dengan peraturan ini.

Sebagai contoh, jika pengguna domestik membuang CFL ke dalam tong sampah, ia akan dikumpul sebagai sampah (sisa pepejal). Setelah pengumpul sisa mengambil CFL dari tong sampah, ia menjadi sisa terjadual kerana entiti perniagaan dikawal selia di bawah EQA. Adakah syarikat pengurusan sisa pepejal akan melupuskan CFL melalui kaedah yang ditetapkan atau 'mengabui mata' dan meninggalkannya untuk ditanam di tapak pelupusan? Pengurusan Sisa Terjadual (atau juga dikenali sebagai Sisa Berbahaya) adalah penting untuk dilaksanakan sebelum program menghentikan penggunaan GLS dilaksanakan sepenuhnya. Tanpa mekanisme pengurusan sisa yang sesuai, beralih kepada CFL adalah mesra alam.

2.         CADANGAN-CADANGAN

Berdasarkan hasil kajian kami, kerajaan memerlukan perancangan yang lebih terperinci untuk program menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat untuk mengelakkan masalah yang tidak diingini di Malaysia. AWER akan mengemukakan cadangan-cadangan berikut kepada ST, KeTTHA dan agensi-agensi lain yang berkaitan. AWER akan memantau pelaksanaan cadangan-cadangan ini sebagai Indeks Prestasi Utama yang ditetapkan oleh kami untuk kedua-dua ST dan KeTTHA.

Cadangan 1: Standard, Ujian and Pelabelan

Berdasarkan perbincangan kami dengan ST, peraturan-peraturan bagi menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat dan ujian CFL masih berada di pejabat Peguam Negara (AG). Kelewatan dalam meluluskan peraturan atau garis panduan hanya akan memberi kesan negatif yang serius kepada pelaksanaan proses menghentikan penggunaan GLS yang sepenuhnya menjelang tahun 2014. Semua produk lampu yang dijual di pasaran mesti dilabelkan secara seragam untuk membantu pengguna membandingkan fungsi produk dengan mudah. Sehingga kini, Malaysia tidak mempunyai sebarang standard sebegini yang dilaksanakan.

Cadangan 2: Kemasukan Mentol-mentol Halogen ke Pasaran Malaysia

EU sedang menghentikan penggunaan mentol halogen secara berperingkat. Mentol dengan kelas C dan D (kelas berdasarkan pelabelan kecekapan tenaga EU) akan dihentikan penggunaannya secara berperingkat menjelang tahun 2016. Walau bagaimanapun, mentol ini telah membanjiri pasaran Malaysia secara tiba-tiba. Di samping itu, mentol halogen kelas B masih mempunyai masalah teknikal. Berdasarkan kajian AWER, kami tidak melihat teknologi ini sebagai pengganti berpotensi untuk GLS kerana teknologi teras bagi fungsi mentol ini adalah serupa dengan GLS. Kami menggesa ST menghentikan jualan mentol halogen berkuat kuasa serta-merta untuk mengelakkan pengulangan program menghentikan penggunaan mentol tidak cekap tenaga.

Cadangan 3: Pengurusan Sisa

Pengurusan CFL terpakai adalah masih dalam kegelapan. Melalui Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005, EQA mengelaskan sisa Merkuri sebagai SW109. Pelupusan CFL dan lampu kalimantang tidak diklasifikasikan sebagai E-waste (Sisa Elektronik). Lampu-lampu yang mengandungi Merkuri ini kini sedang dibuang terus ke tong sampah. Di samping itu, jika apa-apa jenis sisa pepejal yang lain dicemari sisa terjadual, ia juga akan memerlukan pelupusan yang khusus. Dalam erti kata lain, jika CFL pecah dalam tong sampah atau lori sampah, keseluruhan sisa perlu dirawat sebagai sebahagian daripada sisa terjadual. Walau bagaimanapun, ini tidak diamalkan di Malaysia dan masalah seperti ini perlu diperbetulkan sebelum pelaksanaan menghentikan penggunaan GLS dengan sepenuhnya.

Cadangan 4: Membantu Golongan Berpendapatan Rendah

Kumpulan berpendapatan rendah mendapat perhatian segera AWER dalam program menghentikan penggunaan GLS. Apabila mereka menggantikan GLS, mereka tidak akan berbelanja melebihi RM 3.00. Walau bagaimanapun, seunit CFL adalah terlalu mahal bagi mereka untuk membuat penggantian serta-merta. Berdasarkan beberapa kaji selidik kami dengan pengguna yang telah mula menggunakan CFL, banyak produk yang digunakan oleh mereka tidak mampu beroperasi melebihi 1 tahun walaupun ia adalah produk berjenama. Jika keadaan sedemikian berlaku, kos penggantian akan juga menjadi halangan bagi golongan berpendapatan sederhana. Oleh itu, isu kualiti CFL mesti ditangani oleh ST dengan segera. Satu mekanisme kewangan yang sesuai perlu dibangunkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah untuk berubah kepada CFL atau teknologi pencahayaan yang lain.

Cadangan 5: Mengelakan Kartel dan Pencatutan (Profiteering)

Menghentikan penggunaan GLS secara berperingkat adalah untuk mengeluarkan produk yang mempunyai carbon footprint yang tinggi dan menggantikannya dengan produk yang mempunyai carbon footprint yang lebih rendah seperti CFL. Oleh itu, dengan pengurangan persaingan pasaran (disebabkan mpenghentian penggunaan GLS) harga CFL sepatutnya berkurangan. Akan tetapi, ini tidak berlaku. AWER telah membeli satu produk berjenama dan tulen di sebuah kedai di Negeri Sembilan dengan harga RM 8.00 dan produk yang sama dijual pada harga yang melebihi RM 16.00 di beberapa pasar raya besar. Adakah pengguna telah diperbodohkan?

Tambahan pula, kos pembelian CFL berjenama pasaraya (house brand) yang dijual oleh pasaraya tempatan adalah sentiasa lebih murah daripada CFL jenama premium. Adakah ini bermakna bahawa jenama pasaraya yang dijual oleh pasaraya besar tempatan adalah berkualiti lebih teruk berbanding dengan jenama premium? Pastinya ini bukan situasi sebenar. Ia hanya bermakna bahawa terdapat unsur kartel dan pencatutan. Jadi, AWER ingin menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menjalankan siasatan ke atas perkara ini. Ini akan dijadikan Indeks Pencapaian Utama yang pertama yang ditetapkan oleh AWER bagi MyCC dan mereka mesti mengumumkan laporan siasatan pada akhir Disember 2012 untuk makluman orang ramai.

Cadangan 6: Pemantauan dan Penguatkuasaan yang Berterusan

Peraturan-peraturan yang sepatutnya dilaksanakan telah ditangguhkan kerana ia masih berada di pejabat Peguam Negara (maklumat semasa mesyuarat kami dengan ST akhir tahun 2011). Kami menggesa ST untuk meningkatkan kelajuan penyediaan standard, pelabelan, peraturan-peraturan, garis panduan dan lain-lain untuk membantu mereka dalam pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan. AWER akan terus memantau perkara ini dengan ST untuk memastikan cadangan kami dilaksanakan dengan betul dan semua masalah diperbetulkan secepat mungkin.

3.         KESIMPULAN

Dalam kajian kami mengenai program menghentikan pengunaan GLS secara berperingkat, Kecekapan Tenaga adalah komponen utama. Walau bagaimanapun, ia tidak patut dilaksanakan jika ia berkemungkinan memudaratkan kesihatan manusia dan keselamatan alam sekitar. Logam berat adalah satu kebimbangan kepada kesihatan dan degradasi alam sekitar. Adakah kita akan mengulangi kesilapan yang tercatat dalam sejarah? Bermula pada tahun 1920-an, plumbum (sejenis logam berat) telah ditambah kepada petrol untuk menambah baik pembakaran. Ini telah menyebabkan peningkatan dalam keracunan plumbum, terutamanya memberi kesan kerosakan kekal kepada kanak-kanak. Manusia mengambil hampir 60 tahun untuk mengetahuinya.

AWER menggesa agensi-agensi berkaitan di Malaysia untuk mengambil iktibar daripada hasil kajian kami dalam laporan ini untuk memastikan kita TUKAR DENGAN BETUL dari permulaan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

No comments:

Post a Comment