NGO Pendidik ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada calon UPSR yang menerima keputusan peperiksaan UPSR semalam. Kepada ibu bapa dan warga pendidik ,juga diucapkan jutaan terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan dengan penuh kegigihan dan ketabahan selama ini. Sudah pasti jasa dan pengorbanan ini akan ‘membekas di hati’ dan dikenang oleh anak–anak yang melalui detik pertama menempuh ujian selama 6 tahun berada di alam sekolah rendah.
Walau apa pun keputusan UPSR yang diterima, syabas dan tahniah diucapkan atas kegigihan menuntut ilmu pengetahuan tanpa jemu di samping ingin memenuhi cita-cita beroleh kejayaan yang cemerlang.Pastinya,ibu bapa,guru dan warga pendidik akan gembira sekiranya keputusan 5A yang diterima. Jika sasaran untuk memperolehi keputusan tidak menepati sasaran, terimalah ia dengan hati terbuka dan redha atas qada’ qadar yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT.
Sesungguhnya, keputusan UPSR adalah akronim untuk klausa ‘Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah ‘ yang merupakan permulaan dan bukanlah penamat bagi segala- galanya dalam meraih bagi kejayaan dalam kehidupan. Apa yang penting ,jangan mudah berputus asa dan kecewa jika tidak berjaya mendapat keputusan 5A dalam UPSR. Juga jangan berasa terlalu gembira jika matlamat untuk memperolehi keputusan 5A telah tercapai kerana ia hanya permulaan bagi sebuah laluan dalam meniti sebuah kejayaan yang masih panjang dan jauh di hadapan. Bukanlah ia bermakna ,kecemerlangan akan terus dicapai jika akhirnya pelajar leka dengan kejayaaan yang diterima.Ini adalah kerana peperiksaan SPM ,STPM dan laluan ke IPT menanti usaha yang gigih dan berterusan untuk menggapai sebuah kejayaan.
Kebimbangan saya adalah hilangnya keyakinan pelajar dalam hidup jika apa yang diimpikan tidak tercapai. Contohnya, tidak berjaya mendapat 5A dalam UPSR hinggakan mengambil keputusan nekad untuk menamatkan riwayat dengan membunuh diri. Ini pernah terjadi kepada segelintir pelajar akibat rasa kecewa dengan keputusan yang diterima hingga mengambil keputusan nekad seperti itu. Lebih-lebih lagi, mereka beranggapan hidup di dunia dunia seolah olah tiada erti kerana gagal memenuhi impian keluarga dan pihak sekolah. Sedangkan masih banyak lagi langkah kejayaan yang akan dilalui jika kita sabar dan bangkit untuk menggapai cita-cita dan kejayaan menuju ke gerbang jaya. Semoga tiada kes seperti ini berlaku pada tahun ini dan pada masa akan datang.
Akhir kata, “Selamat Maju Jaya”. Teruskan perjuangan untuk menuntut ilmu ke gerbang jaya!
Mutiara kata : Kejayaan tidak pernah berakhir.Kegagalan tidak pernah termusnah. Yang penting adalah sebuah KEYAKINAN !Teruskan usaha sepanjang masa..
*Penulis adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)
No comments:
Post a Comment