Saturday, November 16, 2013

Roboh: Adun Sungai Rapat, Pasir Pinji tinjau setinggan


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Radzi Zainon bersama dengan Adun Pasir Pinji, Lee Chuan How turun padang meninjau kehidupan penduduk perkampungan setingan di Sri Keramat, Sri Murni dan Tok Cendang.

Lawatan bersama tersebut bertujuan untuk memahami dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan penempatan semula bekas penghuni kampung-kampung setinggan tersebut seramai kira-kira 300 orang.

Penduduk sekeliling kampung-kampung setinggan tersebut telah menerima surat arahan untuk mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh sebulan untuk membuka ruang kepada pemaju menjalankan perobohan.

Ia difahamkan bahawa tapak ketiga-tiga kampung telah diluluskan kepada sebuah syarkat untuk tujuan pembangunan taman perumahan.

Kawasan tiga kampung berkembar yang berkeluasan 84 ekar itu sangat strategik di tengah-tengah kawasan pembangunan baru Station 18 dalam Bandaraya Ipoh.

Oleh itu, ia menjadi kawasan hartanah bernilai tinggi.

Sebagai penyelesaian dan rancangan penempatan semula, para penghuni telah diberi tawaran satu lot tanah gantian bergeran.

Namun nasib bekas penghuni setinggan terus tidak menentu kerana untuk mendapatkan satu lot tanah, mereka terpaksa menyediakan hampir RM10,000 untuk penyediaan tapak dan bayaran premium.

Tambahan pula tapaknya jauh lebih kecil daripada yang dijanjikan, iaitu hanya berkeluasan 45 kali 70 kaki sahaja, sedangkan yang dipersetujui bersama-sama pada asalnya 50 kali 80 kaki.

Ada pula yang berkemampuan untuk membayar premium tanah, melalui pinjaman peribadi, tetapi tidak dilayan oleh bank dan institusi kewangan untuk mengambil pinjaman pembinaan rumah, sedangkan usia mereka sudah lanjut atau pendapatan rendah.

Ada yang menghuni di situ telah melebihi 30 tahun, namun semasa zaman Pakatan Rakyat mentadbir Kerajaan Negeri Perak, nasib mereka diambil peduli.

Pada ketika itu, Datuk Seri Nizar telah berkesempatan melawat kampung-kampung berkenaan dan memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

Namun kerajaan PR tidak bertahan lama.

Bagi golongan yang telah lanjut usia dan tidak berkemampuan, mereka mungkin ‘terpaksa’ melupakan angan-angan dan cita-cita untuk mendapat sekeping tanah bergeran di situ walaupun telah hidup dan turut membesarkan anak-anak mereka di kampung setinggan itu sejak sekian lama.

Masalah pokok yang timbul adalah kekurangan maklumat atau komunikasi di antara pihak pentadbir, pemaju dan penduduk.

Ramai yang terperangkap dalam suasana ketidakpastian yang sepatutnya tanggungjawab kerajaan dan juga pentadbir untuk memastikan bantuan dan maklumat wajar disampaikan kepada kesemua yang terbabit.

Jelasnya, tanggungjawab itu tidak ditunaikan.

Tiada siapa yang mampu membela mereka. Mereka bagaikan telah jatuh ditimpa tangga. Hanya kerajaan yang benar-benar berkebajikan dan prihatin akan nasib mereka mampu membela penduduk-penduduk terbabit.

Adakah kerajaan BN mampu, kita tunggu dan lihatlah kesudahannya.

Bagi Radzi dan Lee Chuan How, oleh kerana sistem peruntukan wang amalan kerajaan BN yang tidak adil dan berdasarkan parti, maksudnya Adun pembangkang tidak disalurkan peruntukan, pengurusan dan bantuan mereka hanya mampu membawa kisah duka penduduk ketiga-tiga kampung Melayu itu.

“Kami, Wakil Rakyat Pakatan Rakyat, akan turun padang melawat ketiga-tiga kampung itu semula minggu depan untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut supaya hakikat sebenar penduduk dapat dibawa ke Dewan Undangan Negeri pada persidangan 25 November nanti,” ujar mereka.

No comments:

Post a Comment