Saturday, November 16, 2013

PAS Melaka anjur konvensyen kedua 17 Nov

PAS Negeri Melaka akan mengadakan konvensyen kali kedua pada 17 November ini bertempat di Kompleks PAS Bukit Katil bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang.

Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Asri Sheikh Abdul Aziz berkata konvensyen itu adalah kesinambungan dari konvensyen kali pertama yang diadakan pada tahun lepas.

"Kita akan anjurkan konvensyen ini tiap-tiap tahun sebagai platform untuk PAS negeri menilai dan memuhasabah serta merangka strategi perjuangan pada masa hadapan.

"Konvensyen ini memberi ruang kepada pimpinan PAS negeri dan ahli-ahli menyatakan pandangan dan cadangan kepada PAS bagi memastikan kesinambungan perjuangan kita di Melaka," ujar Asri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ringkas selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa konvensyen di sini, malam tadi.

Asri berkata antara perkara penting akan dibincangkan pada konvensyen itu ialah tarbiah, pemerkasaan dan pengurusan parti.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan majlis penutup oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. 

Presiden juga akan menyempurnakan majlis perasmian Kompleks PAS Bukit Katil yang baru siap bagi menggantikan bangunan lama yang dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan baru.

Seluruh kepimpinan PAS pelbagai peringkat dari cawangan hingga negeri dijemput hadir untuk memeriahkan program tersebut.

No comments:

Post a Comment