Saturday, November 16, 2013

UPSR: Pemuda PAS Sarawak ucap tahniah

Pemuda PAS Sarawak dengan rasa berbesar hati mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar Sarawak yang telah memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Kami juga ingin memberi penghargaan yang tinggi kepada SK Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, Kuching kerana tersenarai sebagai sekolah terbaik d Sarawak berasaskan kepada Gred Pencapaian Sekolah (GPS),” ujar Ketuanya, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan laporan pencapaian berasaskan GPS yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Sarawak, 4 daripada 5 sekolah terbaik dI Sarawak adalah daripada sekolah rendah agama di bawah Majlis Islam Sarawak.

Menurutnya, pada tahun 2013 peruntukan yang diberi oleh kerajaan Persekutuan untuk bantuan kepada sekolah-sekolah agama hanya RM100 juta untuk semua sekolah agama di seluruh Malaysia, tiada peruntukan khusus yang lebih meyakinkan bagi sekolah-sekolah agama di Sarawak.

“Kami turut mengharapkan agar ada peruntukan khusus yang lebih banyak untuk sekolah-sekolah agama di Sarawak daripada keseluruhan jumlah peruntukan yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2014 berjumlah RM54.6 billion untuk sektor pendidikan,” katanya lagi.

Oleh sebab yang demikian, ujarnya PAS dalam manifesto PRU13 yang lepas, dalam dokumen 12 Tawaran PAS Sarawak telah memperuntukan RM170 juta khusus untuk pembangunan sistem pendidikan rendah dan menengah berteraskan Islam yang komprehensif di seluruh negeri di samping memperkenalkan sistem pendidikan tahfiz sains di negeri itu.

Ini, ujar beliau adalah amat penting kerana telah lama sistem sekolah berteraskan Islam telah lama dipinggirkan.

“Jumlah ini bukanlah suatu jumlah yang mustahil untuk disalurkan oleh kerajaan negeri memandangkan jumlah reserve Sarawak yang cukup besar iaitu RM22 billion,” ujarnya.

Pemuda PAS, katanya turut ingin mencadangakan agar kerajaan negeri menambah lebih banyak biasiswa bukan hanya melalui Yayasan Sarawak tetapi melalui agensi-agensi kerjaan negeri yang lain dalam usaha menambah bilangan pelajar yang dibiayai untuk melanjutkan ke sekolah-sekolah berasrama penuh dan kolej-kolej premier.

Beliau berkata, Pemuda PAS Sarawak turut melihat keperluan mendesak untuk Sarawak memiliki lebih banyak sekolah berasrama penuh sains dan Maktab Rendah Sains Mara.

Ini, ujarnya kerana dengan hanya 2 buah sekolah menangah sains dan sebuah Maktab Rendah Sains Mara tidak mencukupi bagi menampung pelajar-pelajar cemerlang yang boleh digilap potensi mereka khususnya dari luar bandar.

“Dalam masa yang sama, kami merasakan perlu ada usaha yang lebih serius oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha meluaskan capaian kepada sistem prasekolah dan tadika ke kawasan tumpuan penduduk dan pedalaman,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, kajian dari The Institute for Fiscal Studies menunjukkan dengan pertambahan prasekolah dan pendidikan akan mengurangkan masalah keciciran murid di sekolah rendah.

Tambahnya, ini juga akan menyediakan suatu asas yang baik untuk kecemerlangan anak-anak Sarawak di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment