Saturday, November 16, 2013

S'gor teruskan bantuan Skim Tunas - Dr Halimah

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk meneruskan Skim bantuan tadika Selangor (Tunas) bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah menghantar anak ke tadika.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan, Dr Halimah Ali berharap semua pihak pengurusan Tadika perlu segera mendaftarkan pelajar yang pendapatan keluarga mereka di bawah RM3,000 sebulan.

Ini kerana katanya, mulai Januari tahun depan bantuan Tunas sebanyak RM50 akan dibayar terus kepada Tadika yang berdaftar dengan Majlis Pemuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

"Mulai Januari tahun depan kita akan bayar terus kepada tadika. Kita tidak mahu menyusahkan tadika. Kita hendak bantu penduduk yang kurang berkemampuan untuk hantar anak ke tadika," katanya.

Berucap ketika menyampaikan replika cek RM1,515,595 kepada Pengerusi MPTS,  Prof Madya Dr Supyan Hussin katanya, tiada alasan bagi ibu bapa yang kurang kemampuan untuk menghantar anak mereka ke tadika.

Pada tahun 2013 seramai 3,071 orang pelajar layak menerima bantuan Tunas dan tahun 2014 kerajaan telah meningkatkan keluarga yang layak menerima Tunas mereka yang berpendapatan RM3,000 kebawah.

Skim Tunas kata beliau merupakan bantuan pendidikan kepada seluruh tadika yang berdaftar di bawah Tadika Pemuafakatan Selangor dan terbuka sama ada tadika di negeri Selangor dan Pusat.

Bagaimanapun katanya, Tadika Perpaduan dan Kemas dihalang untuk mendapat bantuan daripada Skim Tunas.

Di samping itu beliau turut menekankan tentang pemberian Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang merupakan perancangan panjang kerajaan Pakatan Rakyat terhadap pendidikan anak-anak Selangor.

Katanya, lahir sahaja bayi sudah ada duit dalam Tawas sebanyak RM100 dan duit tersebut boleh diambil ketika mereka berusia 18 tahun, maknanya mereka sudah ada simpanan sebanyak RM1,800.

Beliau berkata, Tunas, Tawas serta hadiah kepada pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke IPTA sebanyak RM1,000 merupakan program merakyatkan ilmu dikalangan rakyat negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment