patut menunjukkan rasa amat kesal kerana mendakwa gambar lelaki yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi polis adalah gambar seorang anggota polis yang cedera ketika protes pada Sambutan Tahun Baru di Dataran Merdeka.
Pasukan polis wajar menerapkan prinsip demokratik dalam menjalankan tugas memelihara kesejahteraan orang ramai dan bukan hanya (menjaga kepentingan) kerajaan.
Sememangnya wajar pihak polis meminta maaf kerana tersilap mendakwa gambar seorang lelaki yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi polis adalah gambar seorang anggota polis yang cedera semasa bertugas ketika protes antikenaikan harga pada sambutan tahun baru di Dataran Merdeka.
Laman Facebook rasmi polis telah memuat naik gambar seorang lelaki tidak berbaju dan cedera di kepala yang disangka sebagai seorang pegawai polis yang bertugas ketika perhimpunan anti-kenaikan harga pada malam Selasa lalu.
Gambar itu disangkal oleh banyak pengguna internet yang mengatakan bahawa ia tidak konsisten dengan kenyataan polis sendiri bahawa tiga pegawai polis yang bertugas telah cedera di bahagian tangan.
Pihak polis telah mengakui kesilapan tersebut dan meminta maaf atas ketidakpekaan memuat naik sekeping gambar yang disangka sebagai anggota polis yang cedera semasa menjalankan tugas di malam ambang tahun baru.
Menurut kenyataan tersebut, "PDRM tidak mempunyai sebarang niat untuk mengeruhkan keadaan dan bahawa pegawai polis juga adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan".
Ini adalah persoalan yang amat serius. Bagaimana kesilapan sedemikian boleh berlaku? Siapakah pegawai polis yang bertanggungjawab melakukan kesilapan itu dan apakah langkah yang diambil untuk memastikan kesilapan sedemikian tidak akan berulang?
Kita memang merasa lega melihat sikap rendah hati PDRM meminta maaf dan mengakui kesilapannya, walaupun tiada siapa tahu apakah polis akan mengakui kesilapan dengan begitu mudah jika tidak kerana kesilapan tersebut didedahkan oleh warga dunia internet dan juga lelaki dalam gambar itu sendiri, Mohd Zulhilmi Mustafar.
Zulhilmi cedera kerana diserang pada 29 Disember dan beliau telah membuat laporan polis untuk menjelaskan bahawa beliau tidak ikut serta dalam perayaan Tahun Baru atau protes.
Dalam apa jua keadaan – sama ada permintaan maaf itu adakah ikhlas atau dilakukan kerana dipaksa keadaan – pihak polis sepatutnya menunjukkan rasa kesal secara bersungguh-sungguh.
Perkara pertama yang boleh dilakukan polis ialah dengan berpegang pada prinsip demokrasi dalam menjalankan tugas bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan bukan hanya kepentingan kerajaan.
Sebagai contoh, polis tidak seharusnya mengambil sebarang pendirian politik terhadap rakyat Malaysia yang ingin menggunakan hak asasi mereka untuk melakukan protes secara aman terhadap kenaikan harga yang menjejaskan ekonomi majoriti rakyat Malaysia dengan membuat dakwaan tidak berasas tentang adanya rancangan sulit untuk “menggulingkan kerajaan”.
Malah, polis seharusnya meminta maaf kerana membuat dakwaan tidak berasas seperti itu untuk membuktikan bahawa mereka berpegang dengan prinsip demokrasi dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan bukan hanya kepentingan kerajaan.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Salleh Mat Rashid telah membuat kenyataan mendakwa bahawa protes pada malam sambutan tahun baru itu "adalah topeng oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda lebih luas untuk mencemarkan sistem demokrasi negara".
Tiada siapa akan terkejut jika dakwaan sedemikian dibuat oleh cybertrooper BN/Umno atau salah seorang menteri BN/Umno.
Tuduhan liar sedemikian yang datang daripada seorang pegawai tinggi polis mencemarkan kebebasan, integriti, dan profesionalisme polis – seperti juga 'dongeng' Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tentang adanya rancangan sulit untuk "menggulingkan kerajaan", seolah-olah Malaysia berada dalam keadaan begitu rapuh sehingga politik dan ekonominya akan runtuh pada bila-bila masa saja.
Polis sepatutnya membiarkan para menteri, pemimpin, dan cybertrooper BN/Umno saja yang bermain politik secara tidak bertanggungjawab agar kebebasan, integriti, dan profesionalisme pihak polis terpelihara di mata rakyat Malaysia dan orang luar.
Sehubungan dengan ini, saya menyeru pihak polis untuk memberi keutamaan terhadap usaha membasmi jenayah agar kadar jenayah dalam negara dapat dikurangkan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia, para pelabur, dan juga pelancong, serta tidak menghabiskan wang dan tenaga polis untuk “memburu bayang” seperti yang ditunjukkan menerusi usaha menghukum kalangan yang terlibat dalam protes antikenaikan harga pada malam sambutan tahun baru.
______________
Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah
No comments:
Post a Comment