MUFTI Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dilaporkan sebuah akhbar harian membidas pemimpin pembangkang khususnya PAS kerana menyertai perhimpunan mendesak kerajaan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Katanya, PAS gagal memahami Al-Quran.
Perhimpunan aman yang difitnah oleh media talibarut BN sebagai Himpunan Mengguling Kerajaan diadakan di Dataran Merdeka tempat berlangsungnya sambutan tahun baru oleh kerajaan Malaysia. Di situ para artis terkinja-kinja di atas pentas, mendedahkan aurat, menari dan menyanyi lagu-lagu yang melalaikan.
Akibat himpunan aman yang diadakan itu, maka pihak penganjur kepada pesta maksiat terpaksa menghentikan persembahan mereka. Sepatutnya Harussani memilih untuk mengecam penganjuran program maksiat kerana gagal mengikut perintah Al-Quran serta mengucap tahniah kepada peserta himpunan kerana berjaya menggagalkan program maksiat. Pendirian Harussani nampaknya sudah terbalik dari ajaran Al-Quran.
Himpunan Gerakan Turun kos Sara Hidup (Turun) adalah anjuran empat buah NGO iaitu Turun, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak terbabit, namun memberi sokongan terhadap himpunan aman tersebut. Para pemimpin Pakatan tidak berkempen mengerah rakyat turun ke Dataran Merdeka seperti yang dilakukan terhadap himpunan Bersih tetapi kehadiran orang ramai dianggarkan 50,000 orang.
Berkata Harussani, perhimpunan haram (mungkin maksudnya perhimpunan tanpa permit polis) bukan cara melahirkan cara tidak puas hati terhadap kerajaan sebaliknya parlimen adalah platform yang paling sesuai. Untuk pengetahuan Harussani ahli-ahli parlimen Pakatan sudah puas bercakap di parlimen perihal kenaikan kos sara hidup rakyat yang disebabkan oleh kepincangan pengurusan, keborosan kerajaan, ketirisan melalui rasuah dan penyelewengan serta sikap mengutamakan kroni daripada rakyat jelata.
Semuanya itu dilakukan oleh kerajaan BN. Namun suara Pakatan di Parlimen hanyalah sia-sia belaka. Mereka buat 'pekak badak' dan tidak ambil peduli suara pembangkang. Akibatnya rakyat biasa yang terpaksa menanggung akibat.
NGO dan parti pembangkang sudah menggunakan semua saluran yang ada. Daripada memorandum hinggalah ceramah ke seluruh negara, dari saluran alam nyata hingga saluran alam siber – semuanya susah digunakan tetapi tidak membawa apa-apa makna bagi sebuah kerajaan tua yang angkuh seperti BN.
Himpunan aman secara besar-besaran adalah kaedah terbaik menunjukkan solidariti rakyat dalam menuntut hak. Ia terbukti berkesan di banyak negara walaupun tanpa pertumpahan darah. Melaluinya sebahagian rakyat yang terperap bawah tempurung ‘dipaksa’ untuk memahami isu dan rakyat yang angkuh dapat diredakan keangkuhannya. Ia juga tidak akan menyebabkan tercetusnya keganasan jika tanpa provokasi oleh pihak berkuasa.
hikmah dalam tindakan
Harussani harus memahami bahawa hikmah dalam tindakan bukan bermakna bertindak dengan lemah lembut dalam semua situasi dan realiti. Jika memotong rumput secara hikmah hanya memerlukan sebilah sabit namun untuk menebang sebatang balak ia memerlukan gergaji berkuasa besar. Tiada hikmahnya memotong balak dengan sebilah sabit.
Demikian sebuah kerajaan yang hampir separuh abad ‘menyamun dan merompak’ khazanah kekayaan negara untuk diri dan kroni sehingga rakyat terbanyak menjadi sengsara, adakah hilang hikmahnya jika rakyat berhadapan dengan penentangan berskala besar. Bolehkah Harussani redha dan menganggap segala harta milik rakyat yang dibaham atau dibazirkan adalah ketentuan Allah yang mesti dibiarkan begitu sahaja?
Saya ingin menyenaraikan hanya segelintir contoh ketirisan wang rakyat angkara pemerintah dari berbillion wang rakyat. Skandal PKFZ membabitkan RM12 bilion, skandal baik pulih kapal selam (RM500 juta), skandal NFC (RM250 juta), skandal Sime Darby (RM964 juta), skandal Paya Indah Westland (RM88 juta), skandal duit hilang Pos Malaysia (RM230 juta), pembaziran pembelian Eurocopter (RM1 bilion), stadium Terengganu runtuh (RM292 juta), kos baikpulih MRR2 (RM70 juta).
Lebihan bayaran Kementerian Belia dan Sukan (RM8.4 juta), Kompleks Sukan London (RM70 juta), baikpulih bangunan Matrade (RM120 juta), pampasan jambatan bengkok (RM257 juta), kerugian menjual Augusta (RM510 juta), royalti minyak Terengganu dari 2004-2007 yang tidak dibayar Petronas/kerajaan pusat (RM7.4 bilion), skandal Perwaja Steel (RM2.56 bilion), skandal perkakas ICT sekolah (RM2.21 bilion) dan pelbagai lagi skandal yang tidak sempat disenaraikan.
Halalkah semua penyelewengan itu?
bughah
Kalangan rakyat yang berakal tidak faham apabila Mufti Perak itu mengeluarkan fatwa bahawa peserta himpunan adalah bughah atau penderhaka terhadap pemerintah Islam yang adil.
Lebih dahsyat lagi apabila Harussani berfatwa, sepatutnya semua peserta ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari segi hukum syarak dihalalkan darah golongan bughah. Jika kerajaan tidak dapat menahan nafsu lalu mengikut fatwa beliau dan membunuh kesemua peserta himpunan, tidaklah huru hara jadinya negara ini?
Fatwa Harussani itu mungkin kerana mempercayai bulat-bulat akan fitnah yang dibuat oleh media-media talibarut BN bahawa himpunan yang diadakan itu adalah untuk menggulingkan kerajaan. Memfitnah pihak yang tidak sehaluan dengan pemerintah bukan perkara baru di Malaysia takkanlah Harussani tidak tahu.
Media-media talibarut BN padat dengan cerita bohong, fitnah dan adu domba. Adakah itu ajaran Al-Quran? Tidak salah, bahkan tepat sekali untuk melabelkan watak fasik terhadap semua media tersebut. Jika beliau mempercayai bulat-bulat laporan dari media fasik itu, maka sekali lagi tindakan mufti itu bertentangan dengan Al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al-Hujurat: 6)
Semoga Allah SWT menyedarkan Harussani terhadap keterlanjurannya. Dan saya juga memohon maaf dari Harussani jika terlanjur membuat ulasan yang tidak berhikmah terhadap beliau.
No comments:
Post a Comment