Friday, January 3, 2014

‘Fatwa songsang’ kerana bergantung media perdana

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kemungkinan mendapat maklumat yang salah hingga sanggup mengeluarkan 'fatwa' keterluan mendakwa peserta Himpunan Turun sebagai 'bughah' dan halal darah mereka.

Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, PAS merasakan Harussani membuat kenyataan tersebut bergantung semata-mata laporan akhbar arus perdana dan media elektronik.

Menurutnya, laporan media jelas menyatakan perhimpunan tersebut mahu menggulingkan sebuah kerajaan yang sah dan berdasarkan laporan itu, tanpa mendapat maklumat yang tepat dari sumber lain menyebabkan Mufti Perak itu mengeluarkan fatwa yang songsang itu.

"Namun begitu, sebagai seorang mufti yang wibawa, berpengalaman dan sudah lama berkhidmat, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang dianggap fatwa terburu-buru. 

"Apapun alasan, Mufti Perak tetap tersilap dan salah dalam mengeluarkan kenyataan seumpama itu," katanya kepada Harakahdaily.

Jelas beliau, fatwa songsang itu telah memberi kesan yang negatif kepada institusi mufti itu sendiri sekalipun kenyataan itu bukan fatwa rasmi tetapi rakyat yang jahil akan menjadikan kenyataan itu pegangan yang rasmi.

Misbahul berkata, bagi membersihkan nama mufti sama ada sebagai sebuah institusi yang dihormati atau sebagai individu ulama yang disegani, Harussani wajar menarik balik kenyataannya dan meminta maaf pada rakyat khususnya yang berhimpun pada malam ambang tahun baru itu.

"PAS Perak menasihatkan dan menegur agar beliau (Harussani) lebih berhati-hati dalam menyanggah hak-hak rakyat untuk berhimpun, juga berhati-hati dan menapis laporan-laporan akhbar yang bersifat propaganda semata-mata. 

"Gunakanlah pegawai-pegawai kanannya di pejabat Mufti untuk mencari sumber lain yang lebih sahih dan boleh dipercayai," jelasnya lagi.

Tegas beliau, sebagai seorang mufti, bukan sahaja betanggungjawab dalam menjaga hal ehwal berkaitan dengan aqidah rakyat tetapi lebih bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan halal haramnya perjalanan pemerintahan hari ini.

Beliau katanya perlu menegur kepincangan dalam amalan kerajaan seperti rasuah yang berleluasa, pembaziran, salah guna kuasa, penyelewengan, program-program maksiat anjuran kerajaan dan sebagainya.

"Sebagai Mufti, sangat tidak wajar mengikut telunjuk pihak yang berkuasa dan menjadikan rakyat seolah-olah musuhnya melalui kenyataan songsang," tegasnya lagi.

No comments:

Post a Comment