Friday, January 3, 2014

Kos naik: Nak 'ubah gaya hidup' macam mana lagi?

Ubah cara hidup! Jika ayam naik harga jangan makan ayam. Jika tidak mahu bayar tol yang mahal jangan guna tol. 

Itulah saranan mudah pak menteri apabila rakyat merungut tentang kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Malahan tahun 2014  yang baru membuka tirai hari ini bakal menjadi tahun rakyat mengikat perut. 

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat Anuar Tahir (gambar) menyelar tindakan kerajaan yang hanya tahu mengarahkan rakyatnya berjimat cermat sedangkan kerajaan sendiri tidak ada langkah konkrit mengatasi masalah kewangan negara. Ikuti temubual ringkas Harakahdaily bersama beliau. 

Apakah dengan cara rakyat mengubah cara hidup sebagaimana disarankan kerajaan dapat menyelesaikan masalah kenaikan harga barang?

Seruan kerajaan tidak setimpal dengan perlakuan kerajaan selama ini. Kerajaan sendiri tidak mahu ubah pentadbiran dan pengurusan ke arah lebih telus dan teratur. Kerajaan tidak dilihat memberi kesan dalam krisis ekonomi hari ini apabila mereka hanya tahu menyuruh rakyat untuk berjimat cermat atau ubah gaya hidup mereka. Saya percaya separuh daripada rakyat negara ini yang sebahagian besarnya adalah golongan miskin dan sederhan sudah habis daya untuk berjimat-cermat. Selama ini saban tahun mereka sudah mengikat perut kerana kenaikan harga barang sekian lama berlaku. Rakyat sudah tidak ada ruang untuk berjoli atau berhibur semata-mata. 

Saya juga melihat di pasar-pasar minggu sambil perhatikan sebahagian besar ibu-ibu membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak, mereka berkira-kira sebab mereka akan habis beratus-ratus ringgit untuk keperluan anak-anak sekolah. Tidak usah hendak nasihatkan rakyat? Mereka sudah lama berjimat. Hendak suruh mereka naik basikal ke? Kalau mereka tidak berjimat saya percaya rakyat bawahan ini sudah lama kebulur. Berbelanja RM7 untuk makan tengahari ianya cukup besar bagi rakyat bawahan ini. 

Kerajaan hendak macam mana lagi? 11 perkara yang kononya diwar-warkan untuk langkah berjimat cermat adalah cerita lama langkah itu untuk kurangnya pengurusan kerajaan tetapi harga barang tetap macam biasa juga ia seperti 'snow bowling effect'.

Apakah yang harus dilakukan oleh rakyat dalam keadaan berdepan harga  barang semakin naik?

Rakyat kena tunjuk secara jelas amarah mereka. Tunjukkan rasa marah atau kesal atau tidak puas hati dalam bentuk apa jua yang ada. Antaranya jumpa wakil rakyat BN, nyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan. Buat pertemuan, wujudkan dialog jelaskan sebab apa mereka (kerajaan) tidak berperanan untuk mengawal harga barang. Rakyat pula jangan selamanya takut jangan jadikan alasan suasana aman dan sejahtera untuk mereka tidak bersuara.

Apakah cukup dengan pemberian BR1M kerana apabila lepas PRU akan tetap berlaku kenaikan harga barang?

Pemberiann BR1M bukan boleh mengubah ekonomi rakyat, ianya sekadar untuk tempoh masa tertentu sahaja. Saya melihat BR1M ini adalah langkah kerajaan untuk meredakan rungutan rakyat sebaik sahaja berhadapan dengan kenaikan harga barang. Kita kena sedar setiap kali selepas PRU harga barang akan naik walaupun kerajaan berjanji tidak akan melakukannya. Rakyat kena sedar pemberian BR1M tidak akan boleh menghalang kenaikan harga barang. Sebab itulah saya setuju jika kerajaan memberi wang 'cola' RM300 khas kepada pekerja swasta sebagai usaha menangani kenaikan harga barang, sekurang-kurangnya untuk setahun ini. 
 
Kenapa selepas kenaikan harga barang berlaku dan terus berlaku pada tahun-tahun berikutnya, sedangkan dengan kenaikan itu kerajaan sudah peroleh kewangan tambahan. Kemanakah duit itu agaknya menghilang?

Kegagalan kerajaan uruskan ekonomi. Guna pakai penasihat ekonomi malangnya penasihat ini hanya menghabiskan beras, gagal untuk membawa kearah meringankan beban rakyat. Kegagalan kerajaan ini kerana rasuah dan pembaziran yang berleluasa. Misalnya DBKL membelanjakan RM15 juta untuk sambutan tahun baru dalam masa yang sama mereka hendak menaikkan cukai pintu. Sikap seperti inilah yang wajar diubah, selagi ada duit selagi itulah mereka hendak belanja. Saya menyeru supaya kerajaan mengubah sikap bukannya rakyat sebab rakyat  sendiri sudah 'parah'.  Kalau kerajaan masih terus dengan sikap mereka ini, kerajaan tidak perlu digulingkan mereka akan terguling sendiri. 

Pada pandangan Tuan, apakah sebab kerajaan terpaksa naikkan harga barang dalam masa yang sama rakyat terpaksa menanggungnya?

Sebabnya, kegagalan kerajaan itu sendiri. Mereka telah gagal menguatkuasakan peraturan dan dasar yang mereka gariskan hanya tinggal di atas kertas sahaja. Misalnya kerajaan memberi amaran kepada peniaga jangan naikkan harga barang tetapi kerajaan tidak ada kuasa untuk menghalang kenaikan bermakna kerajaan sendiri tidak ada taring sekadar 'mengaum' sahaja. Seolah-olah sesiapa sahaja yang boleh naikkan harga barang sesuka hati. Sekali lagi kerajaan dilihat cenderung dan mesra kepada industri bukannya rakyat.

No comments:

Post a Comment