Monday, October 27, 2014

Minyak naik: Rakyat tidak bangkit jika tiada maklumat

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani berkata mendekati rakyat secara bersemuka dan kempen secara berterusan akan memberi kefahaman kepada rakyat mengenai isu kenaikan harga minyak dan barangan.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik Jelajah Penerangan‎ Rakyat Protes anjuran Pemuda PAS Malaysia di Negeri Sembilan hari ini sebagai satu usaha menyampaikan maklumat yang berkesan kepada rakyat.

"Bagi saya rakyat tidak akan bangkit selagi mereka tidak ada maklumat atau difahamkan dengan isu yang sebenar terutamanya soal kenaikan harga minyak dan barang.

"Mendekati dan kempen secara berterusan merupakan kaedah terbaik untuk pemahaman yang lebih kepada rakyat," katanya ketika ditemui di Terminal One di sini tengah hari tadi.

Kata beliau, rakyat di negara-negara luar seperti Indonesia dan Thailand amat berbeza berbanding Malaysia apabila mereka bangkit dan mendesak kerajaan.‎

"Berbeza dengan Malaysia bila kenaikan harga minyak dan barang ini seolah-olh tidak memberi kesan kepada rakyak.

"Saya merasakan keadaan ini disebabkan kerana rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat dari media arus perdana, yang cuba memutar belit dan mengelirukan isu ini.


"Kaedah yang kita gunakan adalah yang terbaik untuk kita berhujah berdasarkan fakta dan akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat," sambung beliau lagi.‎

Tambah beliau, PAS negeri akan memastikan Lajnah Penerangan dan Pengguna mengambil pendekatan ini untuk digerakkan di peringkat negeri.‎

‎"Saya juga akan mengarahkan mewujudkan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO di peringkat negeri seperti pengguna atau yang berkaitan dengan isu ini.

"‎Selain bergerak atas dasar politik, NGO juga dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menyedarkan rakyat," katanya lagi.

‎Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Norazman Muhammad yang turut sama dalam jelajah tersebut yakin kempen kali ini bukan kepada golongan tertentu sahaja tetapi  seluruh rakyat yang merasa keperitan ekoran kenaikan harga minyak.

"Kita harap rakyat akan menyambut baik kempen ini, cuma penerimaan mereka mungkin dalam bentuk berbeza.

"Apa yang kita inginkan adalah meminta mereka terjemah dalam bentuk undi pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau yang turut berterima kasih kepada PAS Pusat atas usaha memberi penerangan berkonsep 'hit n run'‎ dalam menyampaikan maklumat.

"Sekarang menjadi tanggungjawb kami untuk turun ke kawasan-kawasan bagi memberi penerangan secara rasmi atau tidak.‎

‎"Kita yakin kempen ini akan berjaya mendapat sokongan dari seluruh rakyat, kempen ini akan diteruskan selagi mana kerajaan gagal menurunkan harga minyak," ujar beliau.
‎‎
Jelajah Penerangan Rakyat Protes peringkat Negeri Sembilan meliputi tiga kawasan bermula di Gemencheh, Rembau dan berakhir di Terminal One, Seremban yang turut dihadiri Pemuda PAS negeri.‎‎ 

No comments:

Post a Comment