Monday, October 27, 2014

Rafizi: Apa yang membezakan Malaysia dengan negara pengeluar minyak lain?

Berbeza dengan rakyat di negara pengeluar minyak lain yang menikmati harga petrol dan diesel lebih rendah, rakyat negara ini terpaksa membeli setiap liter bahan api itu pada harga tinggi.
Perbezaan itu terjadi berikutan negara lain memastikan keuntungan daripada hasil keuntungan jualan minyak mentah di pasaran antarabangsa dikongsikan dengan rakyat dalam bentuk mengurangkan harga runcit petrol dan diesel bagi pasaran tempatan.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, sebaliknya Malaysia pula menyalurkan keuntungan jualan minyak mentah itu kepada projek yang tidak memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
“Keputusan soal harga minyak perlu dilihat soal keputusan Barisan Nasional (BN) menggunakan keuntungan minyak untuk projek lain dan pada masa sama memotong subsidi minyak.
“Ini berbeza dengan negara lain yang mempraktikkan kekayaan minyak adalah kekayaan rakyat bersama.
“Malaysia juga sekurang-kurangnya perlu mengekalkan prinsip kekayaan minyak milik rakyat dengan memastikan minyak kekal rendah,” kata Rafizi ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.
Rafizi menganggap alasan kerajaan BN yang kononnya terpaksa membayar subsidi petrol dan diesel yang tinggi tidak boleh diterima serta memperbodohkan rakyat.

“Dia cuma sebut bila harga minyak tinggi kerajaan kena bayar harga tinggi tetapi tak pula sebutkan bila harga minyak dunia tinggi kerajaan juga dapat keuntungan tinggi sebab kita adalah negara pengeluar minyak.
“Kerajaan terus gunakan bermacam alasan, terpaksa bayar subsidi tinggilah dan lain-lain tetapi salurkan kepada projek yang belum tentu beri manfaat atau hanya manfaat kecil sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, alasan yang digunakan BN sering memakan diri apabila harga petrol dan diesel tempatan kekal tinggi, tatkala harga pasaran antarabangsa jatuh merudum.
Jelas beliau, walaupun Malaysia dan negara pengeluar lain terikat dengan harga pasaran minyak dunia tetapi yang membezakan adalah prinsip berkongsi kekayaan minyak mentah bersama rakyat masing-masing.
“Pembayaran fizikal subsidi kerajaan kepada Petronas memang ada apabila kena bayar mengikut persetujuan syarikat minyak itu lebih tinggi daripada harga pasaran dibeli rakyat di stesen petrol.
“Negara lain pula, walaupun tertakluk dengan harga pasaran minyak mentah antarabangsa tetapi mereka mengambil pendirian gunakan keuntungan jualan minyak di pasaran antarabangsa untuk memastikan harga pasaran petrol dan diesel untuk rakyat mereka kekal rendah,” katanya.

No comments:

Post a Comment