Sunday, October 2, 2011

Bantah Hudud, Hak Bukan Islam -Presiden PAS


SEBAHAGIAN daripada kepimpinan dan ahli Pas pada sambutan Ulang Tahun Ke-60 Pas di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.
 Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS serius dalam melaksanakan undang-undang hudud dan mengakui orang bukan Islam termasuk DAP mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pendirian masing-masing dalam perkara itu.
Jelas Abdul Hadi (gambar), PAS telah melaksanakan kewajiban untuk melaksanakan undang-undang syariah Islam dengan menggubal Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 walaupun ia tidak dapat dikuatkuasakan.
“Kita telah tunaikan tanggungjawab kita di negeri, rakan-rakan bukan Islam tidak bersetuju, itu hak mereka... kita tak boleh halang.
“Orang Islam mempunyai tanggungjawab, jika ada masalah semua pihak perlu selesaikan masalah dan PAS sedia untuk selesaikan masalah ini,” kata beliau pada Rapat Umum Perdana sempena Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di sini malam tadi.
Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.
Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.
Kata Mursyidul Am PAS ini, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.
Rabu lalu, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.
Walaupun agak sukar untuk dilaksanakan, namun Nik Aziz masih menaruh harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, undang-undang jenayah syariah perlu dilaksanakan kerana ia adalah tuntutan agama dan bukan kehendak PAS.
“Ini tanggungjawab Islam, bukan PAS... ini tanggungjawab orang Islam seluruhnya. Ini adalah undang-undang Allah.
“Jadi tanggungjawab PAS ialah kita bersedia untuk berbincang secara ilmiah dengan semua pihak bukan polemik Utusan Malaysia yang bebal,” katanya.
Hadi turut melahirkan rasa kesal kerana ada pihak tertentu yang cuba mempermainkan ajaran Islam.
“Mereka permainkan hukum Allah, mempermainkan hukum Allah boleh jadi murtad. Orang Islam tidak boleh main-main dan PAS tidak akan bermain-main dalam hal ini.
“Kita telah tunaikan kewajiban dan tanggungjawab kita walaupun ada yang kata kita main-main, Islam tidak pisahkan politik dan agama kerana politik bukan main-main tapi sungguh-sungguh,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tetap mempertahankan pendirian parti itu untuk menolak hukum hudud.
“Pendirian DAP jelas, kita tidak setuju dengan hudud, Umno pun tidak bersetuju... DAP tidak setuju, Umno juga tidak setuju tapi itu tidak bermakna kami tidak bekerjasama.
“Hudud kita tidak setuju tapi kita banyak persamaan dengan PAS, kita menentang perkara yang kita tidak bersetuju tapi kita setuju banyak perkara lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment