ADUN Kota Anggerik Yaacob Sapari menafikan berlakunya 'skandal' di pejabatnya di Seksyen 9 Shah Alam seperti yang didakwa oleh sebuah blog pro-Umno.
"Jadi saya mengutuk sekeras-kerasnya fitnah lucah ini yang diusahakan oleh mereka, sepatutnya kita bersaing secara sihat dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat, bukannya melakukan aktiviti seperti ini.
"Bagi saya ini bukan serangan kali pertama oleh blogger pro Umno terhadap pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dituduh dengan perkara yang lucah sebegini," katanya dalam temuramah dengan TVSelangor.
Menurut Yaacob, susun atur di ruang pejabat DUN Kota Anggerik jauh berbeza dengan klip video lucah yang bertajuk 'Skandal Dalam Pejabat ADUN Kota Anggerik Shah Alam' itu. Klip video itu memaparkan aksi sumbang seorang wanita bertudung dengan seorang lelaki kononnya di pejabat DUN Kota Anggerik.
Beliau berkata klip video itu menunjukkan lokasi dan dekorasi dalaman pejabat yang jauh berbeza dengan pusat khidmatnya.
"Susun atur dalam video itu sama sekali tidak sama dengan susun atur yang ada dalam pejabat ini, gambar gadis yang ditonjolkan dalam video itu juga tidak sama dengan staf saya," katanya.
Manakala itu, pembantu tadbir pejabat DUN Kota Anggerik, Norlela Idris menafikan sekeras-kerasnya wanita didalam klip bertarikh 19 September itu adalah dirinya kerana pada tarikh berkenaan beliau tiada di pejabat kerana cuti sakit.
"Kebetulan pada hari itu saya bercuti kerana sakit, saya ada bukti surat cuti sakit, pada hari itu hanya seorang kakitangan sahaja yang ada di pejabat.
"Saya juga menafikan sekeras-kerasnya wanita didalam klip itu adalah diri saya kerana saya adalah satu-satunya staf perempuan yang berkhidmat disini, mingkin kerana ingin mengenakan YB (Yaacob), sekaligus cuba mengaitkan stafnya sekali," katanya dengan nada kesal.
Sebelum ini PKR Shah Alam telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.
No comments:
Post a Comment