Monday, July 29, 2013

Harga barang: Bantahan agresif ajar kerajaan BN

Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu melakukan bantahan secara agresif berhubung kenaikan harga barang sehingga kerajaan BN terpaksa tunduk dengan tekanan rakyat, tegas AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Menurut beliau, pimpinan politik dan NGO tidak boleh lagi menyalurkan bantahan melalui kenyataan media sebab kerajaan BN sudah lali dan mereka tidak akan melayan langsung bantahan tersebut.

"Cara agresif saja yang sesuai mengajar kerajaan BN yang pekak. Mungkin boleh diambil tindakan mahkamah, kita boleh saman kerajaan kerana menaikkan harga barangan sesuka hati selepas pilihan raya umum," katanya.

Beliau mengambil contoh tindakan rakyat di Taiwan yang berani membuat bantahan agresif sehingga kerajaan terpaksa tunduk dengan tekanan rakyat.

Sepatutnya kata beliau, rakyat di Malaysia sudah boleh melakukan bantahan secara agresif sebab kerajaan BN selama ini tidak mendengar keluahan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barang.

Ekoran ketiadaan minyak diesel di beberapa negeri katanya, bila tidak ada bekalan di pasaran persepsi masyarakat mengatakan harga bekalan akan naik.

Sudah tentu tambah beliau ada sandiwara antara pihak kerajaan BN dengan pembekal dan waktu yang paling sesuai untuk naikkan harga barang menjelang perayaan.

"Nak naikkan sebelum pilihan raya, BN berdepan dengan risiko bantahan rakyat melalui undi. Sebab itu bila kenaikan harga barang dilakukan lepas pilihan raya, BN akan pekak bedak dengan apa sahaja protes rakyat sebab mereka sudah dapat mandat lima tahun memerintah," tegasnya.

Beliau berkata, apabila negara menghadapi masalah ekonomi maka rakyat yang terpaksa menanggung segala bebanan.

"Kenapa pimpinan BN tidak mencontohi negara Eropah, Taiwan, Amerika yang tidak bergantung dengan cukai daripada rakyat untuk memulihkan ekonomi negara," tegasnya.

Tambah beliau mana pakar-pakar ekonomi kenapa tidak gunakan kepakaran mereka untuk memulihkan ekonomi negara bukan dengan menekan kehidupan rakyat.

Beliau menegaskan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan BN merupakan pendekatan yang terlalu mundur dan kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang jauh lebih baik daripada kerajaan Pusat.

"Contoh, Selangor mampu memberi bonus sebulan kepada penjawat awam berbanding kerajaan Pusat hanya RM500 sahaja. Jika kita perintah negeri boleh berjaya daripada Pusat ini membuktikan kelemahan pimpinan BN yang tidak mampu memimpin negara," tegasnya.

No comments:

Post a Comment