Monday, July 29, 2013

Kenapa calon PAS kalah di Kuala Besut?



ANALISIS BERITA: Sebagaimana diramal, Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut dengan meningkatkan jumlah majoritinya dari 2,434 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kepada 2,952 undi di kerusi berhampiran dengan kubu kuat PAS di Kelantan.
Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang bergaya kali ini dengan mengalahkan calon PAS, Endut @ Azlan bin Yusof atau lebih dikenali masyarakat setempat dengan nama Che Long, dengan majoriti yang lebih besar.
Benar Che Long popular di kalangan masyarakat setempat iaitu 71.6 peratus lebih dikenali berbanding calon BN 14.2 peratus (tidak kenal kedua-duanya, 14.2 peratus) berdasarkan kajian Ilham Centre, tetapi popular tidak semestinya disukai.
Ini kerana, mengikut kajian Ilham Centre, sebuah badan pengkaji pilihan raya, 77.2 peratus dari pengundinya memilih faktor parti calon berbanding hanya 12.8 peratus faktor keperibadian calon.
Kajian juga menunjukkan 82.7 peratus pengundi Kuala Besut yakin dengan kelebihan BN yang mempunyai sumber kewangan yang besar.
Sebagaimana didedahkan oleh PAS, BN yang membelanjakan hampir setengah bilion ringgit atau RM19,000 bagi setiap pengundi untuk pilihan raya ini berjaya memenanginya.
Kenapa pengundi Kuala Besut tidak mengundi calon PAS?
Faktor terbesar adalah kedudukan Kuala Besut yang terpencil dari arus perdana politik tanah air yang mahukan perubahan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mengakui penduduk Kuala Besut perlu memperkasa penggunaan IT mereka untuk membolehkan mereka terdedah kepada maklumat semasa tanpa dikawal BN.
Dalam PRU13, pengundi bandar yang terdedah kepada penggunaan internet dan media sosial menolak BN dan mengundi Pakatan Rakyat (PR) hampir di semua bandar utama di Malaysia kecuali Kangar melalui wakil mereka sama ada PAS, PKR atau DAP.
Di samping itu, kenangan lama perpecahan penduduk kawasan itu antara PAS dan Umno mengongkong mereka dari mendekati PAS walaupun PAS sudah berubah.
Isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman masih menjadi stigma yang tidak boleh mendekatkan penyokong Umno yang meninggalkan PAS sebelum ini.
Usaha PAS untuk menampilkan seorang ahli perniagaan dan bercakap tentang ekonomi berbanding dengan tradisi meletakkan calon 'ustaz' dan bercakap mengenai agama semata-mata, belum berjaya memecahkan tembok minda.
Isu-isu yang dimainkan PAS dalam menyerang Umno juga nampaknya berjaya dipatahkan dengan baik oleh BN dengan menggunakan kuasa wang mereka.
Misalnya, apabila PAS memainkan isu empangan yang rosak di bawah tangan calon BN, rakyat bertanya balik, siapa yang boleh memberi penyelesaian kepada masalah mereka, PAS atau Umno?
PAS berjaya mendedahkan isu tetapi BN melalui pengarah pilihan rayanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang datang dengan penyelesaian iaitu pengumuman peruntukan RM35 juta untuk membaiki balik empangan itu.
Begitu juga kemiskinan. PAS memang berjaya mendedahkan betapa miskinnya penduduk Kuala Besut tetapi siapa yang boleh menyelesaikannya, PAS atau BN?
Pengumuman PAS bahawa mereka tidak mahu jawatan menteri besar bahkan Datuk Seri Ahmad Said akan terus jadi memegang jawatan itu walaupun menang dalam PRK ini lebih memburukkan keadaan.
Ia menghantar signal salah kepada pengundi. Kalau PAS menangpun, parti itu bukan boleh menyelesaikan kemiskinan mereka, BN juga yang mampu, melalui Ahmad Said di Terengganu dan kerajaan Pusat yang dikuasai BN.
Jika begitu, buat apa undi PAS? Baik kekal bersama BN, duit dapat, penyelesaian kepada masalah jelas kelihatan dan masa depan lebih cerah. 

No comments:

Post a Comment