Monday, June 24, 2013

Konsep kebebasan pada kaca mata Islam

Antara dasar penting Negara Islam, ialah memberi hak kebebasan kepada rakyat sesuai dengan fitrah manusia kerana ia merupakan keperluan hidup manusia. Semua makhluk di dunia ini mempunyai fitrahnya yang tersendiri. Islam menjamin kebebasan manusia kerana dalam Islam tiada sebarang paksaan walaupun dalam soal agama. Tidak ada paksaan ke atas manusia untuk menganut Islam walaupun telah jelas agama yang lain daripada Islam adalah agama yang tidak benar. Islam memberikan kebebasan berfikir tanpa mengganggu kepentingan orang lain, memberi kebebasan bekerja untuk keperluan manusia.

Islam melihat manusia itu dengan adil dari segi kemanusiaan dan asal-usul mereka secara menyeluruh. Iaitu daripada keturunan Adam tanpa mengira keturunan menurut kasta yang direka-reka atau warna kulit dan bangsa.

Mereka diberi hak yang sama sebagai rakyat dalam negara Islam untuk mendapat keadilan melalui kebebasan walaupun mereka tidak menganut agama Islam. Orang yang bukan Islam turut dipelihara hak peribadiriya, harta bendanya dan maruahnya dalam perkara yang tidak menjejaskan kepentingan umat Islam dan penganutnya.

Kebebasan menganut agama Islam adalah satu-satunya agama dan cara hidup yang benar. Allah menyebut perkara ini dalam al-Quran seperti firman-Nya dalam ayat 19 surah Ali Imran yang berbunyi:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya."

Tegas Allah lagi dalam surah yang sama ayat 85 yang berbunyi:

"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi."


Islam yang sebenar adalah suatu keyakinan di dalam hati dan perkara ini tidak berlaku dengan paksaan, kerana paksaan hanyalah akan membanyakkan golongan munafik. Sebuah pemerintahan Islam tidak memaksa rakyatnya yang bukan Islam supaya menganut Islam.

Mereka dibenarkan untuk memilih agama mereka dan beramal dengan adat resam mereka. Mereka juga dibenarkan mengamalkan peraturan-peraturan yang berhubung dengan kekeluargaan seperti nikah kahwin, makan-minum dan Iain-lain selagi tidak mengganggu kepentingan umum.

Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang bukan Islam bebas beragama ketika Islam memerintah dan berkuasa pada zaman kegemilangannya. Peperangan berlaku pada awal penaklukan kerana Islam ditentang hebat dengan kekerasan bersenjata dan kebebasan dakwahnya diganggu-gugat oleh pihak musuh.

Selepas musuh berjaya dikalahkan, negeri-negeri yang bukan Islam dibebaskan daripada kerajaan yang zalim sebelumnya. Rakyatnya yang ada di dalam negara tidak dipaksa menganut Islam, harta benda mereka tidak dirampas, gereja-gereja tidak dirobohkan, cara hidup mereka tidak diganggu, bahkan mereka dilayan dengan adil, lebih baik daripada pemerintah yang sebangsa dengan mereka.

Tidak ada sebarang paksaan walaupun pada masa itu kekuatan bala tentera boleh digunakan untuk kekerasan dan paksaan. Al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW dan Para Sahabat yang memerintah pada masa itu sentiasa berpesan dalam perkara ini. Perkara ini tidak berlaku apabila orang bukan Islam menguasai mana-mana negeri di dunia ini. Hakikat ini disedari oleh orang yang mengkaji sejarahnya dengan jujur, penuh kesedaran, beretika dan berdisiplin.

Kebebasan Nasihat

Islam meletakkan nasihat sebagai perkara penting dan menjadi kewajipan semua orang dalam negara Islam. Nasihat mempunyai kaitan yang erat dengan ajaran Islam sehingga Rasulullah SAW bersabda (maksudnya), "Agama itu nasihat, para sahabat bertanya, untuk siapa? Rasulullah SAW menjawab: Bagi Allah, bagi Rasul-Nya, bagi kitab-Nya, bagi pemimpin-pemimpin orang Islam dan orang ramai dalam kalangan mereka."

Setiap khalifah Islam dalam kalangan khalifah-khalifah ar-Rasyidin yang dilantik sentiasa memberi nasihat dan menerima nasihat. Kebiasaan nasihat menasihati sering dilaksanakan sehingga tiap-tiap orang khalifah menyebut perkara itu dalam ucapan sulung mereka apabila memegang teraju pemerintahan Islam.

Abu Bakar As Siddiq pernah menegaskan dalam ucapan sulungnya, "Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih menjadi ketua kamu, pada hal aku bukanlah orang yang paling baik dalam kalangan kamu, oleh itu sekiranya aku betul, maka tolonglah aku, dan sekiranya aku terpesong, maka perbetulkanlah aku."

Sementara Umar bin al-Khattab pula pernah menegaskan, "Apabila kamu nampak aku melakukan penyelewengan, maka perbetulkanlah aku."

Mereka tidak memarahi orang yang menegur dan memberi nasihat, malah mereka bersedia untuk mendengar nasihat walaupun daripada seorang rakyat biasa yang dhaif. Mereka tidak sombong diri apabila nasihat itu tidak menepati kebenaran, sebaliknya mereka mengemukakan cara Islam yang menjadi amalan kepada orang lain.

Kebebasan nasihat ini boleh menjalinkan hubungan yang erat antara rakyat dengan pemimpin yang menjadi salah satu daripada punca kekuatan negara.

Hanya mereka yang zalim tidak membenarkan nasihat, tidak bersedia menerima nasihat dan melakukan tekanan kepada orang yang memberi nasihat. Apabila kebebasan menyuarakan nasihat dan pandangan yang baik dibelenggu, negara akan dilanda oleh kelemahan-kelemahan yang banyak.

Pemimpinnya boleh bertindak sewenang-wenangnya pada hal perkara ini bercanggah dengan ajaran Islam. Islam tidak pernah membenarkan pemimpinnya berlagak menjadi tuan kerana mereka sebenarnya adalah hamba yang dibebankan kepadanya amanah Allah untuk menegakkan keadilan Allah kepada seluruh negara.

Kaedah-Kaedah Kebebasan

Terdapat beberapa kaedah kebebasan yang dapat diamalkan di dalam negara Islam. Antara kaedah-kaedah itu ialah:

Kebebasan dalam negara Islam itu menjadi sebahagian daripada ajaran Islam. la dibina atas dasar kewajipan mematuhi perintah agama, bukannya mengikut kemahuan hati.

Pemerintah Islam mesti sentiasa memberi perhatian kepada rakyat dalam setiap tindakan. Rakyat pula mestilah mentaati pemimpin secara mutlak selagi ia taat kepada ajaran Islam.

Kebebasan itu hendaklah seiring dengan ajaran Islam dan bukannya mengikut kemahuan. Ia mestilah dalam batas-batas sempadan ajaran Islam sama ada dari segi halal dan haram atau dari segi membawa kebaikan dan menolak keburukan. Semua ini perlu supaya kebebasan itu tidak menjadi hanyut atau disalahgunakan.

Negara hendaklah memberi galakan supaya peluang kebebasan itu direbut oleh semua pihak. Bermakna bukan dirasai oleh pihak pemimpin tetapi juga oleh pihak rakyat, upaya perkara-perkara yang membina dan membawa kebaikan dapat berkembang dan sentiasa tumbuh dengan baik dari semasa ke semasa.

Kepimpinan negara hendaklah bersifat sabar dalam menghadapi karenah rakyat yang pelbagai. Kemungkinan ada orang yang tidak beradab dan memberi pandangan dengan cara yang tidak bersopan dan kadang-kadang memberi pandangan yang tidak betul.

Kebebasan pula tidak boleh disalahgunakan sehingga menimbulkan perpecahan, tindas menindas dan tipu menipu dalam masyarakat. Islam mewajibkan ketaatan kepada pemerintah dan bersabardi atas kezaliman selagi tidak melakukan kufur yang nyata, dan mudarat yang lebih besar.

Berjuanglah menegakkan agama Allah

Allah Taala berfirman di dalam al-Quran, bermaksud:

"Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah : ayat 195).

Makna bagi ayat "...mencampakkan diri ke dalam kebinasaan" di sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan, "...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan". Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah Taala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Diriwayatkan oleh Imam at-Tabari ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Constantinople (Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai. Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, "Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; “...Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?"

Kebetulan di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya telah menjangkau 80 tahun, namanya Abu Ayub al-Ansari RA iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah SAW berhijrah, unta Baginda SAW telah berhenti di laman rumah Abu Ayub sebagai isyarat Baginda memilih rumahnya untuk bermalam di situ sebelum Baginda memiliki rumah sendiri di kota Madinah. Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam peperangan menentang Rom.

Apabila Abu Ayub al-Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah Taala, iaitu ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya.”

"Maka berkatalah segelintir kami kepada segelintir yang lain. Kami berbisik sesama kami, dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah SAW bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik (kerana asyik berjihad).”

"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula.”

"Justeru, Allah Taala menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan, "...Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan".


Abu Ayub RA adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (Kota Constantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya ke Madinah. Hal ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.

Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Constantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah Taala memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bahawa Baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya.

Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini. Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.

Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub al-Ansari, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain.

Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah Taala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik daripada Allah dan janji-Nya. Apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah.

Sunnah perjuangan dalam tafsir Surah al-Fil

Al-Fiil yang bermakna "gajah", bersempena dengan pasukan bergajah dalam perancangan jahat untuk menyerang Kaabah Baitillah Haram. Perancangan ini telah dibuat oleh seorang pemimpin Habsyah yang bernama Abrahah. Peristiwa ini diwahyukan oleh Allah kepada Nabi kita Muhammad SAW ketika di Makkah sebagai mukjizat yang sebenar dari Allah Taala.

"Tidakkah engkau tahu, bagaimana Tuhanmu memperbuat terhadap orang-orang yang mempunyai gajah? Tidakkah Dia menjadikan tipu daya mereka sia-sia. Dan Dia (Allah) mengirim kepada mereka burung yang berbondong-bondong. Yang melempar mereka dengan batu dan tanah yang keras. Lalu Allah menjadikan mereka seperti daun yang dimakan ulat." (Surah al-Fil : ayat 1 – 5)


Berdasarkan ayat di atas, Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah tentang peristiwa ini yang menandakan kebesaran dan kekuasaan Allah. Peristiwanya dapat dilihat oleh sebahagian daripada penduduk Quraisy yang hadir bersama-sama Rasulullah SAW dan diketuai oleh penduduk Makkah. Kebiasaannya ayat yang diturunkan di Makkah menyatakan perkara yang berhubung dengan akidah.

Kisah ini memberi penekanan untuk menguatkan akidah, kerana orang yang yakin menegakkan agama Allah, jangan bimbang dan jangan takut. Dan janganlah juga menjadi seperti orang-orang musyrikin Makkah seperti firman Allah:

"Dan mereka (yang kafir) berkata; Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang). Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah Kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur)." (Surah al-Qasas : ayat 57)

Ia seolah-olahnya mereka yang menuturkan, "Kalau kita ikut Islam, kita akan diserang oleh kuasa-kuasa besar dunia. Macam mana kita hendak lawan kerana kita tiada apa-apa. Oleh itu, jangan kita ikut Islam. Kita juga perlu ikut dunia lain, kehendak orang ramai, jika tidak dunia akan mengepung kita."

Percakapan ini biasa dituturkan oleh orang musyrikin pada zaman Rasulullah SAW. Sesungguhnya tidak layak orang Islam bercakap-cakap seperti ini kerana orang Islam itu mesti yakin dan percaya kepada Allah, kepada kekuasaan-Nya juga kebesaran-Nya.

Peristiwa serangan bergajah ini telah dikisahkan oleh para ulama dalam kitab-kitab Tafsir, Hadis dan Sirah. Antaranya ialah Imam al-Qurtubi yang menyebut di dalam kitab tafsirnya. Rentetan peristiwa ini bermula dengan seorang gabenor Habsyah di Yaman bernama Abrahah al-Ashram. Yaman menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Habsyah pada zaman dahulu dan orang yang menjadi wakil Raja Habsyah di situ adalah Abrahah al-Ashram. Lalu Abrahah membina sebuah gereja yang dinamakan "al-Qulais" yang didirikan di Sana'a. Gereja itu cantik hingga tidak ada tandingannya pada zaman itu.

Abrahah menulis kepada Najasyi, Raja Habsyah dengan memberitahu bahawa dia telah membina sebuah gereja yang cantik, belum pernah dibina oleh orang lain. Tujuannya adalah mahu memalingkan orang-orang Arab daripada pergi menunaikan haji di Makkah kepada melawat ke gereja yang dinamakannya al-Qulais.

Kaabah telah menjadi tempat kunjungan orang-orang Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW. Setelah Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim, Kaabah menjadi tempat ibadat. Kemudian dalam beberapa tempoh yang panjang, orang Arab mula menyembah berhala. Walaupun mereka menyembah berhala, tetapi mereka tetap memuji dan memuja Kaabah. Mereka menunaikan haji pada tiap-tiap tahun, dan ibadat haji merupukan ibadat yang telah dilakukan sebelum kedatangan Islam, kemudian dinyatakan oleh Islam dan diperbetulkan mengikut syariat Allah.

Orang-orang Arab masih tetap mengunjungi Kaabah. Abrahah membuat pengisytiharan bahawa dia tidak mahu orang-orang Arab mengunjungi Kaabah tetapi mengunjungi al Qulais. Apabila mendengar berita demikian, orang-orang Arab yang terlalu memuja Kaabah menjadi marah. Tiba-tiba seorang Arab dari kabilah "an-Nasah" pergi ke Yaman, datang ke gereja al-Qulais, lalu membuang najis di situ. Selepas itu, dia melarikan diri.

Setelah Abrahah mengetahui orang yang membuat perkara ini adalah seorang Arab, dia telah mengambil satu tindakan berani mengikut hawa nafsu dengan menyediakan satu kelengkapan untuk bermusafir ke Makkah bertujuan hendak meruntuhkan Kaabah, Baitillah Haram yang telah didirikan oleh Nabi Ibrahim AS. Dia bersumpah bahawa dia wajib pergi Baitillah dan meruntuhkannya.

Dalam angkatan tenteranya ada seekor gajah yang digunakan sebagai kenderaan. Mengikut sesetengah ulama seekor gajah, sebahagian ulama lain pula berpendapat bukan seekor, tetapi lapan ekor gajah menyertai pasukan Abrahah. Namun begitu mengikut kebanyakan ulama, jumlah gajah tersebut hanya seekor sahaja. Inilah keterangan yang lebih tepat pada pandangan mereka bahawa Abrahah bersama seekor gajah dan turut diiringi anggota tenteranya menuju ke Makkah.

Apabila berita ini sampai ke pengetahuan orang-orang Arab bahawa Abrahah hendak meruntuhkan Kaabah, maka beberapa kabilah bertindak membentuk beberapa pasukan untuk menyerang Abrahah bertujuan untuk menghalangnya daripada sampai ke Makkah. Di utara sebuah kabilah Zu Nahar, merupakan satu kabilah Arab di Yaman. Mereka mengerahkan kaumnya membentuk satu pasukan, untuk menyerang Abrahah. Namun, hanya dengan kekuatan 1 peratus sahaja, tentera Abrahah dapat mengalahkan mereka.

Beberapa kabilah lain turut menyerang pasukan Abrahah, tetapi masih tidak mampu mengalahkan mereka, bahkan ketua-ketua kabilah ini telah ditawan oleh tentera Abrahah. Terdapat juga kalangan orang Arab yang sanggup menjadi pemandu jalan kepada Abrahah. Apabila Abrahah menang, sudah tentu dia juga ikut menang. Biarpun apa yang dimenangi itu salah. Penunjuk jalan ini dikenali sebagai "Abu Ghiral". Abu Ghiral menjadi penunjuk jalan kepada Abrahah menuju ke Makkah. Setelah Abu Ghiral meninggal dunia, kuburnya direjam oleh orang Arab. Orang Arab pada zaman jahiliyah yang menunaikan haji bukan sahaja melontar jamrah, bahkan juga melontar kubur Abu Ghiral.

Abrahah meneruskan perjalanan sehingga sampai ke pinggir Makkah dan merampas beberapa ekor unta. Mengikut riwayat, 200 ekor unta milik Abdul Mutalib, datuk Rasulullah SAW. Pada masa itu, Abdul Mutalib menjadi pemimpin Makkah. Abrahah telah menghantar utusannya menemui pemimpin Makkah memberitahu tujuan kedatangan mereka bukan untuk membunuh orang, tetapi untuk meruntuhkan Kaabah, kerana dendam gereja mereka yang bernama al-Qulais telah dikotorkan oleh orang Arab.

Abdul Mutalib datang bersama-sama rombongan yang dianggotai pemimpin Arab menemui Abrahah. Setelah berjumpa, Abrahah bertanya apa yang dikehendaki. Abdul Mutalib menjawab, "Aku hanya minta kamu membebaskan 200 ekor unta yang kamu rampas."

Abrahah tercengang lalu bertanya, "Kenapa kamu sayangkan unta tetapi tidak sayang kepada Kaabah yang kamu puja. Kamu hanya minta unta, terlalu senang untuk kami berikan. Kamu hanya minta dikembalikan unta kamu. Kenapa kamu tidak menahan kami yang mahu meruntuhkan Kaabah."

Abdul Mutalib menjawab tegas, "Unta yang kamu rampas itu kepunyaanku sedangkan Kaabah itu ada pemiliknya (Tuhan). Allah adalah pemiliknya dan Allah akan menjaganya. Aku hanya orang yang beribadat kepada Kaabah. Urusan menjaga Kaabah terserah kepada pemiliknya dan bukan urusanku."

Unta Abdul Mutalib dipulangkan. Setelah dipulangkan, Abdul Mutalib dan pengikut-pengikutnya penduduk Makkah pulang dan mereka menyembunyikan diri di atas bukit kerana takut kepada tentera Abrahah. Sudah tentu ada di antara mereka yang ganas. Mereka menyembunyikan diri di sana sambil memerhatikan tindakan tentera Abrahah ke atas Kaabah. Mengikut setengah riwayat, apabila Abrahah sampai di Kaabah, seorang penduduk Makkah membisikkan ke telinga gajah dengan berkata, "Jangan kamu robohkan Kaabah. Lebih baik kamu balik kerana Kaabah adalah rumah Allah. Yang menjaganya juga Allah."

Allah Taala yang memeliharanya dan Allah Taala juga yang menjaganya. Salah satu perkara yang menakjubkan adalah bala tentera Allah itu ada yang taat dan ada yang tidak taat. Kadang-kadang bala tentera binatang menjadi bala tentera Allah Taala yang lebih taat kepada Allah berbanding manusia yang mempunyai akal fikiran. Apabila gajah itu dihalakan ke Kaabah, ia pusing ke belakang, duduk dan tidak mahu berjalan, biarpun dipukul teruk. Apabila berpusing ke belakang (arah lain), ia berjalan dan berlari. Apabila dihala ke Syam ia berjalan, dihala ke Yaman ia berjalan, tetapi apabila di hala ke Kaabah semula ia tidak mahu berjalan.

Saat yang cemas ini mengikut riwayatnya, Abdul Mutalib telah bermunajat dan berdoa kepada Allah Taala. Antara doa yang dibacakan oleh Abdul Mutalib yang bermaksud, "Wahai Tuhan! Sesungguhnya hambamu (Abrahah) telah mencegah daripada kalangan hamba-Mu yang lain dari menunaikan ibadat di Baitullah tanah sucimu. Maka tegahkanlah mereka. Jangan jadikan mereka itu menang dan jadikanlah perancangan mereka suatu yang mustahil. Jika mereka masuk ke tanah haram, maka urusannya terserah pada-Mu, wahai Tuhan-ku."

Mengikut setengah riwayat lain, Abdul Mutalib memegang halqah pintu Kaabah dan terus berkata, "Wahai Tuhanku, aku tidak berharap kepada mereka melainkan kepada-Mu. Wahai Tuhanku, halanglah mereka dengan peliharaan-Mu. Wahai Tuhanku, sesungguhnya musuh Baitillah datang menceroboh kepada-Mu. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengalahkan kekuasaan-Mu."

Masyarakat Arab pada waktu itu merasakan kehebatan tentera-tentera bergajah milik Abrahah kerana mereka boleh melakukan apa sahaja dengan kekuatan tentera seperti itu, sedangkan orang Arab pada masa itu tidak ada gajah. Namun, tipu daya yang dilakukan Abrahah dan pengikutnya membina al-Qulais dan merancang untuk meruntuhkan Kaabah, menjadi satu kesesatan yang kemudiannya dihapuskan oleh Allah Taala. Allah mengutuskan kepada mereka rombongan burung, yang datang berkawan, rombongan demi rombongan.

Mengikut Said bin Jubair, penghulu para tabi'en, burung ini adalah sejenis burung yang tidak dikenali. Tidak pernah dilihat di bumi. Sesetengah ulama berkata ia seperti kelawar dan pelbagai gambaran. Perbincangan mengenai jenis burung ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama. Pendapat yang paling baik adalah burung ini adalah burung khas yang dihantar oleh Allah. Allah mengutus mereka burung yang berombongan. Burung-burung ini melontarkan kepada mereka dengan batu yang dibakar hangus. Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, satu di paruh dan dua di kaki.

Sebahagian ulama berkata, batu ini telah dimasak di dalam api neraka jahannam dan pada setiap batu telah ditentukan nama siapakah sasarannya. Allah sudah menentukan nama-nama pada batu-batu yang dibawa oleh burung untuk mempertahankan Kaabah. Mereka dilontar dengan batu-batu yang dibakar hangus. Hal ini sebagaimana yang dinaqalkan di dalam kitab"As-Sihah", batu-batu tersebut dibakar di dalam neraka jahanam, yang ditentukan namanya oleh Allah dan yang ditentukan sasarannya oleh Allah.

Allah Taala menentukan nama pada setiap batu sebagaimana azab yang juga dikenakan Allah kepada kaum Lut AS:

"Maka Kami jadikan negeri kaum Luth itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar." (Surah al-Hijr : ayat 74)


Maka jadilah mereka seperti pohon-pohon kayu yang dimakan ulat. Apabila jasad mereka terkena batu, tiba-tiba daging, kulit dan tulang mereka menjadi menggelupas, reput, gugur dan luruh seperti pohon-pohon yang gugur. Inilah dahsyatnya hukuman Allah Taala kepada "ashabul fil", dan mengikut riwayat gajah selamat kerana dia tidak mahu menyerang Kaabah. Yang tidak selamatnya adalah manusia yang mempunyai perancangan jahat untuk menyerang Baitillah Haram.

Peristiwa ini berlaku menurut kadar tempoh 50 tahun sebelum kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW, dan tahun 570 M iaitu selepas zaman Nabi Isa AS diangkat ke langit. Selepas itu, dibangkitkan pula Nabi Muhammad SAW, maka disebut bahawa Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada bulan Rabiul Awal tahun gajah. Maksud tahun gajah ialah kurun peristiwa bersejarah apabila tentera bergajah menyerang Kaabah dimusnahkan Allah.

Tanah haram mempunyai keistimewaan yang diberi oleh Allah Taala. Kita tidak boleh memburu binatang dan mencabut pokok-pokok kecuali yang digunakan sebagai sayuran. Tanah-tanah dan batu-batu juga tidak boleh diambil bawa balik kerana ia merupakan kawasan larangan iaitu kawasan yang ditentukan Allah Taala. Jika ada yang terbawa balik, perlu dihantar kembali ke sana.

Bawalah balik air zam-zam, boleh diminum dan ia juga merupakan anugerah Allah kepada umat manusia. Jika kita minum supaya disembuhkan dari penyakit, maka Allah Taala akan menyembuh penyakit. Jika diminum kerana untuk keberkatan, kekuatan dan kecergasan, maka akan dikurniakan Allah Taala nikmat-nikmat tersebut, kerana Nabi SAW bersabda (maksudnya), "...Kerana air zam zam itu dikurnia Allah untuk diminum".

Kita wajib hormati tanah yang diharamkan oleh Allah untuk kita melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dan dinyatakan oleh Rasulullah SAW, yang mesti dipelihara seperti kehormatan darah, maruah di dalam kawasan tanah haram, mengikut batas-batas yang ditentukan Allah Taala. Tanah haram ini dipelihara oleh Allah. Selagi orang Islam mampu menjaga, selagi itulah orang Islam diberi amanah untuk menjaganya.

Apabila manusia tidak memeliharanya, tidak berupaya menjaganya, maka Allah menugaskan bala tenteranya dari kalangan malaikat, binatang untuk memelihara tanah haram. Allah Taala membuktikan kekuasaan-Nya ketika kedatangan Abrahah dengan menghantar burung menyerang Abrahah sehingga Abrahah dan pengikut-pengikutnya dibinasakan Allah dan Allah membuktikan ketika peristiwa kejatuhan Makkah.

Pertarungan di antara Ibnu Su'ud dan Ibnu Rasyid Syarif Husain. Pada saat yang cemas ini, orang yang bertanggungjawab menjaga Makkah telah membawa orang bukan Islam ke Makkah. Dia membawa konsul Inggeris ke tanah haram dengan tujuan untuk mendapatkan senjata daripada Inggeris dengan niat hendak mempertahankan diri dan bukannya mempertahankan tanah Arab.

Kemasukan orang kafir atau orang putih ke tanah haram sekitar tahun 1920-an menyebabkan orang Islam pada masa itu tidak berupaya mempertahankan tanah haram kerana pemimpinnya tidak betul. Maka, ketika kereta yang membawa orang bukan Islam sampai di Jarwal, iaitu sempadan tanah haram, tiba-tiba berduyun-duyun keluar anjing dari bukit Makkah meluru memburu kereta yang membawa orang bukan Islam. Mereka masih berdegil biarpun masih dikawal oleh askar. Biarpun mereka balik dengan selamat, tetapi peristiwa ini suatu yang menakjubkan berlaku di Kaabah dan di Makkah. Tidak berapa lama kemudian pemimpin itu dijatuhkan Allah Taala dan ditukar pemimpin lain.

Disebut juga di dalam hadis sahih, ketika berlakunya fitnah dajjal, pada akhir zaman apabila dunia dalam kesempitan, orang-orang beriman dalam keadaan lemah, dajjal membawa seruannya mengajak manusia supaya mengakui dajjal Tuhan dan dia boleh memberi apa-apa sahaja yang diminta kepada sesiapa yang mengakui ketuhanan-nya dengan menggunakan sihir, perkara luar biasa yang diizinkan Allah kepada dajjal untuk menguji orang yang beriman, dan dajjal menyesatkan ramai manusia.

Dajjal boleh masuk ke semua negeri kecuali Makkah dan Madinah kerana dua tempat ini dipelihara oleh Allah Taala. Walaupun tidak ada manusia yang sanggup memelihara dan mengawalnya, Allah Taala mempunyai bala tentera yang ramai untuk mengawalnya sama ada tanah haram Makkah mahupun Madinah.

Orang kafir khususnya Yahudi mempunyai perancangan mahu menakluk tanah haram, kerana mereka juga mengaku tanah haram tanah yang mulia tempat Nabi-Nabi dan Rasul kepercayaan mereka. Mereka hendak merampas, tetapi Allah tidak mengizinkan. Jika tiada manusia yang menjaganya, akan ada tentera Allah yang memeliharanya. Pernah terjadi satu peristiwa tanah haram hendak dicerobohi oleh dua orang Kristian yang ingin mencuri jasad Rasulullah SAW di dalam kubur. Mereka tahu jasad Rasulullah tidak hancur dan tidak dimakan tanah. Sesungguhnya orang Yahudi dan Kristian tahu akan hal ini.

Allah menjaga daripada perbuatan mereka. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Mahmud Zinki, bapa saudara kepada Sultan Salehuddin al Ayubi. Pada zaman itu, orang Islam lemah dan pada zaman itu juga orang Kristian berani untuk cuba mencuri jasad Rasulullah SAW. Allah mengurniakan kepada Sultan Mahmud Zinki mimpi berjumpa Rasulullah SAW, dan Rasulullah berkata kepadanya, "Wahai Mahmud! Selamatkanlah aku kerana dua orang mahu melakukan kejahatan kepadaku."

Sultan Mahmud Zinki seorang yang alim, tinggi ilmu agama dan banyak membaca tafsiran hadis-hadis Rasulullah SAW serta mengetahui ada hadis yang berbunyi (maksudnya), "Sesiapa yang bermimpi bertemu aku di dalam tidur, maka dia betul-betul berjumpaku. Sesungguhnya syaitan tidak boleh menyerupaiku."

Thabit dalam hadis di atas, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah SAW maka itulah Rasulullah SAW kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Rasulullah SAW. Sultan Mahmud Zinki terus bersolat tahajjud kerana tidak faham maksud mimpinya, kemudian dia tidur dan bermimpi lagi dan sekali lagi beliau bersolat tahajjud. Akhirnya dia memanggil penasihat dan memberitahu berkenaan mimpi itu. Lalu menteri memberi cadangan supaya menyediakan pasukan berkuda secepat mungkin pada malam itu juga dan bertolak ke Madinah. Lalu Sultan Mahmud Zinki bersama bala tenteranya menuju ke Madinah dengan memacu kuda secepat mungkin.

Setelah tiba di Madinah, dia tidak memberitahu kedatangannya kepada gabenor Madinah. Dia terus duduk di Raudhah. Raudhah ialah salah satu tempat antara kubur dan mimbar Rasulullah SAW, sabda Baginda SAW, "Di antara kuburku dan mimbarku ada salah satu taman dari taman-taman syurga."

Di situlah Sultan Mahmud Zinki duduk beriktikaf tidak tahu hendak buat apa kerana baginda tidak tahu mentakwil mimpi. Akhirnya baginda berbincang dengan menterinya dan menteri memberi pandangan supaya memanggil gabenor Madinah dan mengarahkan beliau membuat pengisytiharan bahawa Sultan Mahmud Zinki telah datang ke Madinah dan baginda mahu memberi hadiah kepada penduduk Madinah. Maka, semua penduduk Madinah datang dan dicatat nama masing-masing.

Kedatangan semua penduduk Madinah diperhatikan satu persatu oleh Sultan Mahmud Zinki dan baginda mendapati tiada satu pun orang yang menyerupai orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW di dalam mimpi. Sultan bertanya kepada gabenor sama ada sudahkah semua penduduk Madinah datang. Gabenor mengatakan bahawa semua penduduk Madinah telah dikerah. Cuma yang tinggal dua orang bukan penduduk Madinah. Mereka datang menziarah dan melakukan ibadat.

Sultan Mahmud Zinki mengarahkan dua orang ini datang menghadap baginda. Apabila kedua-dua orang ini datang, mereka adalah orang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, lalu Sultan Mahmud pergi ke tempat penginapan mereka. Baginda masuk ke dalam rumah yang disewa di atas tanah, berhampiran Masjid Nabawi. Apabila baginda masuk ke dalam bilik, tiada sebarang petunjuk. Setelah berpusing di dalam bilik, baginda mendapati satu keganjilan iaitu almari tempat meletakkan rak-rak kitab berada di tengah-tengah rumah. Kebiasaannya diletakkan di tepi dinding.

Lalu diperintahkan almari diangkat dan disisihkan ke tepi dinding. Setelah dibuang hamparan yang meliputi lantai rumah tersebut, didapati di tengah-tengah rumah itu ada lubang yang digali dihalakan ke kubur Rasulullah SAW. Apabila disoal siasat mengapa mereka berbuat begitu, mereka memberitahu bahawa mereka mahu mengambil jasad Rasulullah SAW dan dikebumikan di tempat lain supaya orang Islam pergi ke tempat itu. Mungkin mereka ada perancangan lain.

Zahirnya mereka kelihatan melakukan ibadat tetapi pada waktu malam hari mereka menggali lubang. Tanah yang digali diletakkan di dalam "kirbah". Kirbah adalah belulang kambing yang biasanya dibuat tempat isi air. Tanah itu dipikul dan dibuang di luar Madinah dan orang ramai menyangka mereka membawa air.

Akhirnya kedua-dua mereka itu dijatuhi hukuman pancung di "Babul Salam" mengikut perintah Sultan Mahmud Zinki dan kedua-dua mayat mereka dibakar. Kemudian Sultan Mahmud Zinki mengarahkan kubur Rasulullah SAW dipagar bukan sahaja di atas tanah bahkan di dalam tanah. Digali kelilingnya seperti tembok dan diletakkan pagar yang kukuh dan dikawal dengan rapi. Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Zinki pada abad ke-13 Masihi.

Peristiwa ini benar-benar berlaku dan menunjukkan bukti Allah menjaga Nabi Muhammad SAW pada masa hidup dan pada masa wafat. Perkara ini merupakan sebahagian tanda kenabian yang wajib kita percaya bahawa Baginda SAW adalah benar seorang Nabi dan Rasul Allah. Rasul dari Allah dan Islam yang diserunya adalah Islam daripada Allah Taala.

Dalam surah al-Fil ini juga menunjukkan kebenaran kenabian. Kebenaran kenabian Muhammad SAW dan agama Islam dijaga oleh Allah Taala sehingga hari kiamat. Islam dijamin oleh Allah sampai hari kiamat. Tiada musuh yang boleh mengalahkan umat Islam kerana Islam daripada Allah. Walaupun umat Islam hari ini lemah, dhaif dan tiada kuasa, ini adalah ujian daripada Allah. Ujian ini adalah supaya orang-orang munafik merasa tiada harapan dan dia tidak bersama dengan saf-saf umat Islam. Lalu dia bersama-sama saf-saf kufur, meninggalkan saf Islam kerana tidak ikhlas, tidak jujur, munafik dan yang mempunyai kepentingan diri sendiri.

Kita tidak mengenali mereka ini kerana kita tidak tahu apakah niat yang tersembunyi di hati mereka, maka Allah membuat penapisan dengan perkara-perkara seperti ini. Orang Islam lemah. Orang yang mencari kesempatan akan menyisih daripada orang yang lemah. Orang yang lemah ini layak memikul amanah Allah, maka Allah Taala memberi kemenangan kepada Islam, memberi kemenangan kepada orang yang menegakkan agamanya sebagaimana Allah memelihara Baitillah Haram daripada serangan Abrahah.

Ayat ini menjadi ayat yang sangat penting, menjadi satu surah yang sangat mustahak, menguatkan akidah dan keyakinan kita kepada Allah Taala dan menjadi petanda hikmah yang besar. Allah menurunkan surah al-Fil di Makkah ketika Nabi SAW ditekan, ditindas dan dianiaya dan juga untuk menguatkan keyakinan Para Sahabat bahawa lambat-laun mereka akan menang jua dengan pertolongan Allah. Apabila tiba pertolongan Allah, maka tiada siapa yang dapat menyekat. Allah Maha Berkuasa dan Maha Perkasa.

Politik era Khulafa' Ar-Rasyidin

Antara matlamat Allah mencipta manusia adalah agar mereka menjadi khalifah di muka bumi-Nya. Kewajiban ini merupakan kewajiban yang berada dalam kedudukan yang kedua selepas kewajiban beribadat. Perkara ini turut diisytiharkan kepada para Malaikat sebagaimana firman Allah yang menyatakan :

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada para Malaikat; Sesungguhnya Aku mahu menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka (para Malaikat) bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata); Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu mereka yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berkata; Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Surah al-Baqarah : ayat 30)


Rasulullah SAW bersabda, “Kaum Bani Israel pada zaman dahulu dipimpin oleh Para Nabi (mereka menjadi ahli politik). Setiap kali wafatnya seseorang Nabi, penggantinya Nabi juga selepasnya. Sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan akan berlakunya perlantikan khalifah (yang mengganti Nabi bagi memimpin umat), mereka ramai. Para Sahabat bertanya; Apakah perintah-mu kepada kami? Rasulullah SAW menjawab; Tunaikan bai’ah (janji ketaatan) kepada yang pertama dan seterusnya. Berilah kepada mereka hak mereka (untuk memerintah). Maka sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka berkenaan urusan mereka yang diminta supaya memimpin.”

Khilafah adalah kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya. Ia boleh disebut dengan kewajiban berpolitik. Kewajiban ini dilaksanakan oleh semua para Rasul sejak Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad SAW. Mereka semua berdakwah dan berpolitik, dalam erti kata lain membawa maksud mengajak manusia kepada Islam dengan makna yang menyeluruh dan sempurna dari segi akidah, syariat, akhlak dan pemerintahan yang mendaulatkannya.

Para Rasul bukan sahaja berdakwah mengajak manusia kepada agama Allah, malah mereka turut mengajak raja dan para pemimpin pada zaman masing-masing supaya menganut Islam dan mentadbir negara dengan Islam. Ada kalangan Rasul sendiri menjadi raja atau khalifah apabila ada di kalangan pemimpin dan rakyatnya zalim dan monolak seruan Para Rasul.

Rasulullah SAW melaksanakan kewajiban ini. Baginda SAW pernah menolak tawaran para pemimpin Quraish yang mahu melantik baginda menjadi raja jahiliyyah Makkah dengan syarat menolak Islam sebagai agama yang memerintah. Rasulullah SAW menolak tawaran lumayan itu dan memilih jihad yang payah dan mengorbankan harta dan jiwa raga sehingga beliau dan para pengikutnya berhijrah ke Madinah bagi menunaikan kewajiban Tuhan ini.

Selepas penduduk Madinah menerima Islam dengan sempurna. Rasulullah SAW tetap meneruskan jihad yang lebih mencabar. Kewajiban ini berterusan walaupun Rasulullah SAW sudah meninggal dunia dan disambung oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan beberapa peringkat cabaran yang dialami oleh pejuang Islam dalam menegakkan pemerintahan Islam, “Islam bermula dengan pemerintahan berasaskan konsep Nabi, kemudian diikuti oleh konsep Khulafa’ ar-Rasyidin, diikuti pula berlakunya penguasaan raja yang zalim, seterusnya raja yang ganas dan akhirnya kembali semula kepada khalifaf di atas konsep Nabi.”

Benar seperti yang dilakarkan dalam hadis ini, Islam mencapai kejayaan pada zaman Rasulullah SAW Selepas Rasulullah meninggal dunia, tegak pula pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, pemimpin generasi awal hasil didikan daripada tangan Nabi. Selepas itu tegak pula pemerintahan sistem beraja yang masih lagi beramal dengan Islam walaupun berlakunya kezaliman dan penaklukan penjajah Barat ke atas negara-negara Islam. Umat Islam yang berkuasa terus dibelenggu penjajahan pemikiran walaupun penjajah asing sudah pergi manakala umat Islam yang lemah terus dimamah kezaliman akibat pengekalan amalan sistem penjajahan.

Fahaman sekularisme yang mengeluarkan politik daripada agama Islam adalah ajaran salah yang diwarisi zaman penjajah bukan Islam. Mereka menakluk dan memerintah negara-negara Islam selepas pemerintahan berkhalifah Uthmaniyah di Turki tumbang. Sebenarnya fahaman salah ini lahir akibat perpecahan masyarakat Eropah yang menganut agama Kristian menyeleweng daripada agama yang dibawa oleh Nabi Isa.

Islam menegaskan kewajipan memilih dan mengikut pemimpin adalah amanah besar dalam kehidupan dunia sebelum menuju akhirat. Kewajipan ini bukan sahaja dihitung dalam amal ibadat yang khusus malah turut dihitung dalam memilih dan mengikut pemimpin. Oleh itu, tuntutan ini termasuk dalam perkara benar ataupun sesat, pahala ataupun dosa. Pemimpin adalah pemegang amanah bagi melaksanakan syariat Allah dalam pemerintahan negara. Allah menyatakan :

“Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya); Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.”

“Dan mereka berkata lagi; Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.”

“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya.” (Surah al-Ahzab : ayat 66-68)


Penyebab masuk neraka itu bukan semata-mata kerana dosa syirik dalam ibadat, meninggalkan yang wajib, mengerjakan yang haram, malah kesalahan-kesalahan yang berlaku dalam politik juga termasuk dalam penyebab ke neraka apabila mengikut bukan menurut petunjuk Allah dan Rasulullah SAW. Hadis Rasulullah SAW menyebut:

“Abu Hurairah menceritakan; Sedang Rasulullah S.A.W bercakap kepada orang ramai, tiba-tiba seorang Badwi datang lalu bertanya; Bilakah berlakunya kiamat? Rasulullah SAW meneruskan perbualannya tanpa mempedulikan soalan orang Badwi itu. Ada kalangan kami berfikir, Rasulullah SAW tidak senang dengan cara dia menyoal. Ada juga yang berfikir Rasulullah SAW tidak mendengar pertanyaannya. Tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya; Mana orang yang bertanya tadi? Orang Badwi itu menjawab; Ini dia, saya. Rasulullah SAW menjawab; Apabila dihilangkan amanah. Orang Badwi itu bertanya lagi; Bagaimanakah amanah itu hilang? Jawab Rasulullah SAW; Apabila diserahkan urusan pemerintahan kepada orang yang bukan ahlinya.”

Saidina Umar menegaskan, “Sesiapa yang melantik pemimpin kerana harta ataupun hubungan keluarga, bukan kerana kelayakan mereka, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya SAW.”

Begitu juga besarnya dosa pemimpin yang menipu rakyat, kerana Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada pemimpin yang mengendalikan urusan rakyat di kalangan kaum Muslimin lalu dia mati dalam keadaan menipu mereka melainkan Allah mengharamkannya masuk syurga.”

Ini menunjukkan urusan kepimpinan negara adalah kewajiban yang besar dalam ajaran Islam. Ajaran pemisahan agama daripada politik adalah menyalahi ajaran Islam yang sempurna.

Rasulullah Tidak Mewasiatkan Pengganti


Imam Bukhari dan Imam Muslim melaporkan, “Khalifah Umar ditanya ketika beliau dalam keadaan tenat akibat cedera ditikam, supaya menamakan siapakah penggantinya. Katanya; Sekiranya aku menentukan, maka orang yang lebih baik daripadaku (Abu Bakar) pernah menentukannya. Sekiranya aku tinggalkan kepada kamu sendiri yang menentukan, maka orang yang terbaik (Rasulullah SAW) pernah meninggalkannya (dengan menyerahkan urusan ini kepada umat supaya memilihnya).”

Imam Ahmad dan Imam al Baihaqi menyebut dalam kitab “Dalail an Nubuwwah” dengan laporan yang baik daripada Amar bin Sufyan ketika berlakunya peristiwa Perang Jamal. Apabila berlakunya penderhakaan kepada Khalifah Ali bin Abu Talib, beliau berucap:

“Wahai semua yang hadir, Rasulullah SAW tidak menentukan kepada kami jawatan menjadi ketua negara, sehingga kami berpendapat Abu Bakar yang dilantik, lalu dia menjalankan tugasnya dan beliau meneruskan tugasnya dengan benar. Kemudian Abu Bakar menentukan Umar dengan persetujuan orang ramai, dia melaksanakan tugasnya dengan konsisten sehingga meletakkan agama di hadapan. Kemudian berlaku orang yang menuntut keduniaan (sahaja) maka berlakulah perkara-perkara yang menjadi ketetapan Allah.”

Kedua-dua teks ini adalah sumber yang sahih, Rasulullah SAW tidak mewasiatkan sesiapa menjadi calon khalifah selepas beliau meninggal dunia. Ada laporan yang tersebar dalam kalangan mazhab Syiah mengenai wasiat yang menentukan Ali menjadi khalifah. Namun, laporan ini tidak sahih daripada segi rekod ilmu hadis yang adil dan beberapa sumber yang menunjukkan Ali tidak bermaksud melantiknya menjadi khalifah.

Ini dikuatkan lagi dengan penyertaan dan penglibatan Ali sepanjang pemerintahan khalifah yang terdahulu daripadanya. Beliau membantu semua urusan dan mempertahankannya dengan penuh pengorbanan bersama seluruh Ahlil Bait. Kajian yang dibuat menunjukkan banyaknya hadis palsu yang direka selepas berlakunya pergolakan pada akhir zaman pada era pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin.

Islam mendahului demokrasi Barat dengan meletakkan urusan politik negara menjadi hak rakyat secara adil, tidak ada amalan secara diktator, merampas dan menipu hak rakyat, teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada golongan agama dalam Islam atau menjadi pusaka warisan keluarga.

Kenyataan sejarah membuktikan pendekatan Islam berasaskan akidah, syariat dan akhlak, menjadikannya lebih baik daripada demokrasi Barat. Walaupun amalan demokrasi moden mempunyai pengaruh feqah politik Islam, tetapi ia disekularkan dengan memisahkan politik daripada agama. Rakyat menjadi mangsa pelbagai cara penipuan dan rasuah apabila pemimpin tidak beriman pada balasan hari akhirat dan tidak mengamalkan cara hidup tanpa memikirkan perhitungan pahala dan dosa. Hal ini kerana kepercayaan mereka, agama tidak wujud dalam kegiatan politik sekular. Amanah politik menjadi rebutan demi kemewahan dunia.

Abu Bakar Menjadi Khalifah


Ketika keluarga dan beberapa sahabat Rasulullah SAW sedang mengebumikan jenazah beliau, berlaku peristiwa Thaqifah Bani Saidah iaitu mesyuarat memilih pengganti pemimpin negara dan umat selepas Rasulullah SAW. Perhimpunan segera dibuat kerana menurut para ulama urusan siyasah, memimpin negara lebih penting daripada urusan mengebumikan jenazah Rasulullah SAW yang juga besar kewajibannya.

Sebelum Rasulullah SAW meninggal dunia, golongan Ahlil Bait melalui Abbas, bapa saudara kesayangan Rasulullah SAW pernah keluar melawat Rasulullah SAW. Beliau membisikkan kepada Ali supaya meminta Rasulullah SAW mewasiatkan penggantinya dalam kalangan keluarga ataupun kepada orang lain. Jika ada, tentu beliau mewasiatkan sesuatu kepadanya.

Ali menjawab, “Demi Allah, aku tidak akan melakukannya. Demi Allah, jika kalangan kita tidak diberi, kita dilarang daripada memegang jawatan itu selama-lamanya.”

Sikap ini bermaksud beliau (Saidina Ali) tidak mahu meminta jawatan dan tidak menyoal yang mana lebih baik dan mulia. Beliau khuatir nanti diharamkan kepada zuriat Rasulullah SAW selama-lamanya.

Para keluarga Baginda sibuk dengan urusan mengendalikan jenazah Rasulullah SAW. Kemudian, Ali bersama Bani Hasyim, Zubair bin Awwam dan Tolhah bin Ubaidillah berada di rumah Fatimah al-Zahra, tempat Rasulullah meninggal dunia.

Perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah menjadi tegang apabila kaum Ansar berpendapat mereka lebih layak dipilih menjadi khalifah kerana jihad mereka bersama Rasulullah SAW dengan penuh pengorbanan. Allah memuji mereka di dalam al-Quran dan disokong oleh hadis-hadis Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan pemimpin mereka iaitu Saad bin Ubadah.

Kaum Muhajirin berpendapat, mereka juga lebih layak menjadi khalifah. Mereka kaum pertama yang memeluk Islam, berdakwah sejak permulaan wahyu diturunkan, menghadapi ujian dahsyat ketika di Makkah, seterusnya mengalami ujian berhijrah dan berjihad bersama-sama Rasulullah SAW. Selain itu, wahyu dan hadis-hadis Rasulullah SAW turut menyanjung mereka dengan pujian yang tinggi.

Keadaan yang tegang dapat dikendurkan. Sikap fanatik perkauman dapat dipadamkan. Pemimpin utama kaum Muhajirin dan Ansar menemui Abu Bakar. Mereka terus ke Thaqifah Bani Saidah, tempat berlakunya perdebatan yang hangat kerana terdapat perangai jahiliyah melalaikan sebahagian pihak daripada mengamalkan akhlak dan adab musyawarah dalam Islam. Di sini Abu Bakar as-Siddiq menunjukkan ketokohannya menjadi pemimpin. Beliau menyampaikan khutbahnya yang menenangkan keadaan.

Selepas beliau memuji Allah dengan selayaknya, Saidina Abu Bakar berkata:

“Sesungguhnya Allah melantik dalam kalangan kita seorang Rasul (menjadi petunjuk) kepada makhluk-Nya, menjadi saksi kepada umatnya supaya beribadat kepada-Nya sahaja, dan mengesakan-Nya. Melihat keadaan mereka menyembah kepada yang lain daripada-Nya, dengan menghadap tuhan-tuhan yang banyak yang diperbuat daripada batu dan kayu.”

“Menjadi suatu perkara yang besar dan sukar kepada bangsa Arab bagi meninggalkan agama nenek moyang mereka. Maka Allah memilih secara khusus kalangan para Muhajirin yang terawal, mereka terdiri daripada kaumnya yang pertama mempercayai ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad, mempertahankannya, serta bersabar menghadapi kejahatan kaum yang membohonginya. Ketika semua orang menentang dan berpaling tidak mahu mengikutnya, memperlecehkan para pengikutnya kerana jumlah pengikut sedikit dan orang yang membencinya ramai. Maka kalangan mereka (Muhajirin) menjadi orang yang ulung menyembah Allah sahaja di bumi ini (ketika itu) dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.”

“Mereka yang menjadi penolong baginda dan kaum keluarganya, serta orang-orang yang paling berhak mengendalikan urusan umat selepasnya, tidak ada yang menentang Baginda melainkan orang yang zalim. Kamu (wahai kalangan Muhajirin) adalah pembantu dan keluarga Rasulullah SAW dan orang yang layak menjadi pemimpin selepasnya. Tidak ada yang menentangnya melainkan orang yang zalim.”

“Kamu pula wahai golongan Ansar, adalah kalangan yang tidak boleh dinafikan kelebihan daripada segi agama dan yang terawal juga memeluk Islam. Allah mengisytiharkan redha-Nya kepada kamu, menjadi penolong yang ulung pada perjuangan menegakkan agama dan menolong Rasulullah. Ramai kalangan isterinya daripada kamu, dan ramai kalangan Sahabatnya daripada kamu, tidak ada yang lebih daripada kamu selepas golongan Muhajirin. Maka sewajarnya pemimpin utama daripada kalangan kami (para Muhajirin) dan para jemaah menteri daripada kalangan kamu pula wahai golongan Ansar. Perkara ini tidak meliputi keputusan mesyuarat dan tidak ada sesiapa yang dapat mengatasi kamu.”

Ucapan Abu Bakar telah berhasil menenangkan keadaan dan menghilangkan pertelingkahan. Seterusnya Abu Bakar mencalonkan Umar dan Abu Ubaidah menjadi khalifah. Namun, secara tiba-tiba Umar dan Abu Ubaidah bangun mencalonkan Abu Bakar menjadi khalifah, diikuti oleh pemimpin Sahabat kalangan kaum Ansar dan Muhajirin yang lain. Maka dengan rasminya Abu Bakar diisytiharkan menjadi khalifah pertama selepas Rasulullah SAW meninggal dunia.

Pemilihan khalifah berlaku secara mesyuarat yang tidak memaksa dan tidak berlaku dengan mudah melainkan melalui pendapat yang dibahas dengan sehangat-hangatnya, namun dilaksanakan dengan seadab-adabnya. Dengan sifat fanatik kabilah dan kekeluargaan yang tebal menjadi perangai bangsa Arab yang masih wujud. Sifat ini menjadi warisan zaman jahaliyah yang diberi amaran keras dalam wasiat Rasulullah SAW sebelum meninggal dunia.

Namun, iman yang teguh dan ikhlas, Islam yang sebenar tertanam dalam jiwa hasil didikan Nabi kepada generasi awal ini dapat menjadi contoh yang baik mengatasi demokrasi purba dan moden yang dibanggakan oleh dunia Barat.

Keputusan dibuat tidak sebulat suara, ada kalangan Ahli Bait membai’ahkan Abu Bakar selepas beberapa bulan. Kalangan kaum Ansar ada yang tidak mahu berbai’ah kerana mahukan khalifah dilantik kalangan mereka, termasuk juga kaum Quraish sendiri yang pada awalnya tidak berbai’ah, mereka adalah Zubair, Talhah dan Abu Sufian. Namun, krisis dalaman yang berlaku tidak menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.

Selepas itu sebulat suara mereka mendukung negara Islam dan risalahnya, menyambung tugas Islam yang tidak habis selepas Rasulullah SAW meninggal dunia. Kesimpulan ada tiga pendapat dengan hujah masing-masing :

Golongan Ahlil Bait yang menegaskan ketua negara perlu daripada keluarga Rasulullah SAW. Mereka mencalonkan Ali kerana beberapa ayat al-Quran dan hadis menyebut kelebihan dan tugas yang diserahkan kepadanya semasa hayat Rasulullah SAW.

Golongan Ansar menegaskan ketua negara perlu daripada kalangan mereka. Hal ini kerana al-Quran dan Hadis menyebut kelebihan golongan Ansar. Ketaatan kepada pemimpin tanpa menentukan bangsa dan kabilah. Mereka juga penduduk asal Madinah yang menyerahkan tanah air, jiwa raga dan harta, berjihad menegakkan Islam, mereka mencalonkan pemimpin Ansar, Saad bin Ubadah.

Kalangan Muhajirin berpendapat, pemimpin mesti daripada kalangan mereka. Al-Quran dan Hadis menegaskan kelebihan mereka dan pemimipin mesti daripada kalangan Quraish. Mereka mencalonkan Abu Bakar.

Ibnu Khaldun menegaskan keputusan mereka memilih Abu Bakar daripada kalangan Muhajirin dan Quraish dilihat daripada segi ilmu politik. Ketokohan Abu Bakar difikirkan layak, kerana kematangannya melebihi dan ilmunya melangkaui orang lain. Daripada kalangan Quraish, beliau adalah daripada kabilah yang terkuat pengaruhnya dalam masyarakat Arab, sehingga mempunyai kehebatan menghadapi cabaran dalaman dan luaran ketika itu.

Masih terlalu awal menyerahkan jawatan yang besar ini selain Abu Bakar. Kedudukannya menemani Rasulullah SAW ketika berhijrah. Rasulullah SAW pernah menugaskanya menjadi imam di waktu solat dan tugas-tugas yang lain memberi kelebihan kepadanya menjadi orang yang paling layak bergelar khalifah yang pertama. Allah menyatakan:

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terjunam (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah at-Taubah : ayat 40)


Dalam kalangan Ansar, mereka sendiri menghadapi masalah, akibat pertelingkahan yang mencetuskan peperangan ketika zaman jahiliyah antara dua kabilah besar Aus dan Khazraj. Adalah sukar mencalonkan orang yang diterima oleh semua pihak. Islam yang berjaya memadamkan api permusuhan dengan tidak mencetuskan pertelingkahan calon khalifah kalangan Ansar sendiri.

Apabila dikhususkan kepada Ahlil Bait, Islam membawa sistem mewariskan pemerintahan yang beku dalam satu keluarga. Pada masa yang sama, ia bercanggah dengan konsep musyawarah yang ditegaskan di dalam al-Quran, bersalahan dengan sikap Rasulullah SAW dan sikap orang yang beriman.

“Termasuk orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan solat dengan sempurna, dan urusan mereka dijalankan secara mesyuarat sesama mereka. Mereka pula mendermakan sebahagian yang kami beri kepadanya.” (Surah as-Syura : ayat 38)
Membina keluarga Rasulullah SAW tidak mengahwinkan puterinya dengan kalangan keluarga sahaja, dua orang puterinya dikahwinkan dengan Uthman bin Affan, sementara Zainab binti Jahsy dari kalangan keluarganya dikahwinkan dengan Zaid bin Harithah, bekas hamba yang dimerdekakan dan dijadikan anak angkatnya. Adapun dalil yang dibawa oleh kalangan Syiah tidak menepati nas al- Quran dan riwayat yang sah serta tidak menepati kaedah siasah syariah yang betul.

Kekhilafan ini melahirkan mazhab kefahaman politik Islam pada zaman mutakhir. Pendapat Ahlil Bait melahirkan mazhab Syiah. Selepas itu, muncul pula golongan yang menyatakan bukan sahaja keturunan Ali dan Fatimah yang layak menjadi khalifah, bahkan mereka turut memperjuangkan keturunan al Abbas, bapa saudara Rasulullah juga berhak memegang kuasa khalifah. Golongan ini berjuang menegakkan kerajaan Abasiyah. Pendapat Ansar melahirkan mazhab Khawarij dan pendapat Muhajirin menjadi pegangan ahli Sunnah.

Berlaku pula pertelingkahan mazhab yang melibatkan akidah dan syariat yang mencetuskan perpecahan dalam masyarakat Islam, sehingga diresapi oleh anasir musuh dalam selimut yang merosakkan dalaman umat Islam sendiri. Ada yang wasatiyyah, ada yang jahil dan ada pula yang melampau dan menzalimi diri sendiri sehingga terkeluar daripada landasan Islam yang sebenar. Islam tetap dipelihara oleh Allah secara ilmu melalui laporan yang rapi dan dirayat; Iaitu secara kefahaman melalui ilmu Islam dan kaedahnya.

Akhirnya suara Para Sahabat bersetuju Abu Bakar dilantik menjadi khalifah, mereka yang tidak bersetuju kalangan Ahlil Bait dan Ansar akhirnya berbai’ah. Mengenai riwayat yang menyatakan bahawa Saad bin Ubadah, ketua kaum Ansar yang terus tidak membai’ah Abu Bakar sebagai khalifah terlalu dhaif.

Sebenarnya seluruh Ahlil Bait dan golongan Ansar tetap menerima Abu Bakar menjadi khalifah dan berbai’ah serta mendukungnya dengan pengorbanan yang membuktikan keikhlasan mereka. Hendaklah yakin betapa mereka tidak didorong oleh nafsu merebut jawatan ketua kerana keimanan yang ikhlas dalam diri masing-masing memadamkan sifat yang buruk, mereka hanyalah berlumba-lumba bagi menunaikan perintah Allah yang besar ganjarannya.

Black 505: Dakwaan kepada Khalid sama dengan Husam



KUALA LUMPUR: Mantan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath dibebaskan polis setelah ditahan selama satu malam di lokap IPD Kajang.

Kami dalam satu kenyataan menyatakan barang milik beliau iaitu telefon bimbit jenis Sony Experia dan Ericson turut dirampas polis dalam siri geledah sebaik beliau dibebaskan kira-kira jam 5 petang semalam.

Khalid ditahan 22 Jun ketika majlis kenduri pertunangan sedang berlangsung di rumahnya sekitar jam 4 petang.

Pasukan polis berpakaian preman yang menaiki tiga buah biji Pajero datang menyerbu rumah Khalid ismath di Bandar Puteri, Klang.

Pergaduhan berlaku antara tetamu di majlis itu dengan pasukan polis yang menimbulkan sedikit kekecohan apabila secara tiba-tiba mereka menyerbu kawasan rumah khalid.

Khalid didakwa di bawah Akta Hasutan seperti mana akta sama yang digunakan ke atas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa setelah satu kenyataan mengenai himpunan Black 505 yang ditulis Khalid dalam laman sosialnya beberapa hari lepas.

Khalid diwakili oleh wakil peguam dari LFL diketuai Mitchel dan Muthiah. (Gambar atas)

Majistret menolak permohonan reman dikemuka IO yang meminta 7 hari dan hanya membenarkan Khalid direman sehingga jam 6 petang semalam bermula Sabtu lalu.

OKU rentung: Fikirkan khidmat home-base services

KUALA LUMPUR: Telah tiba masanya untuk pihak berwajib memikirkan suatu perkhidmatan berasaskan kediaman home-base services kepada keluarga yang mempunyai ahli orang kurang upaya (OKU).

Demikian gesaan Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak cakna dengan satu laporan Harian Metro bertajuk “Menjerit goncang pintu” yang disiarkan pada 22 Jun lalu di mana seorang OKU mental terkorban dalam kebakaran kerana terkurung.

Memetik dari laporan tersebut, saksi kejadian menyebut, “saya sempat mendengar mangsa menjerit meminta tolong sambil menggoncang pintu utama, malangnya disebabkan api terlalu besar selain letupan kuat kedengaran, kami hanya mampu melihat sebelum jeritan itu hilang”.

Sebagaimana dilaporkan, dalam kejadian jam 8 pagi tersebut, mangsa Abdul Rais Hanapi, 25, ditemui rentung dalam sebuah bilik dipercayai terperangkap berikutan pintu rumah dikunci daripada luar.

Dalam situasi itu, kata Faizal kejadian OKU dikurung sama ada katagori mental atau lain-lain katagori bukanlah perkara baru.

Selain OKU itu, ujarnya dikatakan sukar untuk dikawal kerana keluarga keluar bekerja, ada juga OKU yang berada dalam kediaman terkunci atas pelbagai faktor yang jarang diambil cakna.

“Sebagai pihak yang mewakili OKU, kami cukup faham dengan pelbagai situasi yang menyelebungi OKU dan keluarga hingga menyebabkan OKU diletakkan dalam keadaan kediaman yang dikunci.

“Dalam situasi ini, telah tiba masanya untuk pihak berwajib memikirkan suatu perkhidmatan berasaskan kediaman “home-base services” kepada keluarga-keluarga yang mempunyai ahli keluarga OKU yang selama ini perlu berada dalam rumah yang dikunci,” ujarnya.

Katanya, kealpaan kita dalam menanangani situasi sebegini pada masa-masa hadapan hanya mendedahkan individu-individu OKU dalam bahaya sebagaimana kejadian yang dilaporkan.

“Tentunya, tanggungjawab berat ini tidak boleh hanya diletakkan atas bahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepertimana tanggapan kebanyakan pihak,” katanya lagi.

Jerebu: Syarikat Malaysia terlibat mesti dihukum


KUALA LUMPUR: Dakwaan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Balthasar Kambuaya bahawa lapan syarikat milik rakyat Malaysia menyumbang kepada pencemaran jerebu menggunakan cara murah tetapi salah dengan menebang dan membakar hutan untuk mencerahkan kawasan baru bagi ladang mereka  mesti disiasat sepenuhnya.

“Jika benar, bukan sahaja Indonesia, Malaysia juga mesti mendakwa dan menghukum mana-mana syarikat perladangan Malaysia yang telah dibuktikan terlibat dalam jenayah tebang dan bakar untuk mencerahkan hutan untuk ladang-ladang mereka di Sumatera,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Balthasar yang memberitahu bahawa dakwaan tersebut akan disiasat oleh pihak polis Riau.

Salah satu daripada pesalah yang didakwa ialah syarikat PT Tunggal Mitra Plantation, sebahagian daripada Minamas Plantation, anak syarikat Sime Darby Plantation yang berpusat di Malaysia, sebuah syarikat ladang kelapa sawit terbesar di dunia. Sebuah syarikat lagi ialah PT Adei Plantation, dimiliki oleh Kepong Berhad. Yang lainnya ialah PT Langgam Inti Hibrida, PT Bumi Reksa Nusa Sejati, PT Udaya Loh Denawi, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industri, dan PT Mustika Agro Lestari.

Blathasar mendakwa bahawa “syarikat perladangan Malaysia sering menyuruh orang tempatan untuk membakar hutan atau kawasan tanah gambut berhampiran kawasan konsesi mereka, dengan harapan api tersebut akan merebak masuk ke kawasan mereka. Apabila api telah membakar kawasan mereka, syarikat-syarikat ini menyalahkan penduduk tempatan seolah-olah api tersebut secara tidak sengaja merebak ke tanah mereka”.

Menurut Guan Eng, DAP maklum bahawa Sime Darby Plantations Bhd telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan daripada kerajaan Indonesia itu.

Justeru, katanya DAP berharap agar pihak kerajaan Indonesia tidak mencuba untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka untuk mencegah pembakaran terbuka sedemikian oleh syarikat perladangan Indonesia dan pengusaha kecil dengan menyalahkan syarikat Malaysia yang tidak bersalah semata-mata.

Namun begitu, tegas beliau dakwaan serius terhadap Sime Darby mesti disiasat secara terperinci memandangkan Sime Darby adalah sebuah syarikat GLC yang dimiliki kerajaan Malaysia.

“Tuduhan serius ini boleh merosakkan reputasi antarabangsa Sime Darby dan juga Malaysia,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berkata, jika syarikat perladangan Malaysia memang telah melakukan pembakaran terbuka dan mengakibatkan krisis jerebu sekarang, ia adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia dengan tindakan merosakkan alam sekitar dan hutan sambil mengancam keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Malaysia mesti menghantar pasukan penyiasatnya sendiri untuk memeriksa dakwaan terbabit dan menghukum mana-mana syarikat Malaysia jika benar mereka terlibat.

Beza 3 kerusi, sidang Dun Perak dijangka panas


IPOH: Dengan tiga kerusi yang membezakan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, sidang DUN Perak bermula 28 Jun ini dijangka panas.

Namun PAS berazam untuk memberikan yang terbaik demi kepentingan bersama, rakyat dan juga kerajaan melalui sidang Dun.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien menyifatkan, kekuatan pembangkang di Perak akan membantu menjaga kerajaan daripada melakukan penyelewengan dan salah urus tadbir dalam kerajaan.

Menurut Adun Titi Serong itu, suasana persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan lebih bermanfaat apabila kedua-dua belah pihak mempunyai suara dan kekuatan yang seimbang dan sudah pasti akan menghasilkan suatu keputusan serta perbahasan yang baik untuk rakyat.

Beliau berkata, persaingan polisi dan cadangan kedua-dua belah pihak akan dapat dilihat dalam persidangan Dun Perak sesi ini.

Sidang Dun Perak akan berjalan mulai 28 Jun ini.

Pakatan Rakyat di Perak mempunyai kekuatan 28 ahli iaitu 18 Adun daripada DAP manakala PAS dan PKR masing-masing 5 Adun.

BN pula mempunyai 31 kerusi iaitu tiga kerusi membezakan dengan Pakatan Rakyat sekali gus membuktikan kerajaan yang ditubuhkan oleh BN kali ini tidak kukuh.

“Kekuatan pembangkang sangat penting dalam sesebuah persidangan Dun bagi membantu menjaga serta ‘menegur’ kerajaan dan segali gus mewujudkan persaingan idea serta polisi yang sihat daripada kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau menjelaskan, Pakatan Rakyat  akan membawa suara rakyat dalam memastikan rakyat di negeri itu dapat mengecapi kebahagiaan sebagai rakyat yang bebas daripada segala kezaliman dan penipuan.

Jelas Ustaz Abu Bakar, Pakatan Rakyat komited untuk menggunakan kekuataan suara yang ada di Dun bagi memastikan prospek masa depan rakyat menjadi salah satu perkara yang akan diperjuangkan.

“BN tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan apa-apa polisi dan sebagainya yang hanya memberi keuntungan kepada mereka dan kroni-kroni mereka.

“Pakatan Rakyat akan memastikan aspek kebajikan rakyat serta pembangunan negeri yang telus dan berwibawa adalah keutamaan dalam perbahasan di sidang Dun,” jelas beliau lagi.

Disamping itu, beliau menegaskan, Pakatan Rakyat akan menggunakan platform tersebut untuk mendedahkan penyelewengan dan salah laku BN dalam urus tadbir negeri supaya rakyat mengetahui akan apa yang dilakukan oleh BN dalam pemerintahannya.

Dalam pada itu, beliau percaya, Adun khususnya daripada PAS akan dapat membawa suara rakyat di negeri ini dalam sidang Dun.

Ianya kata beliau, tidak berkisarkan kepada isu-isu dalam Dun masing-masing sahaja tetapi di seluruh Perak bagi membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar berkemampuan untuk mentadbir negeri.

P Pinang lancar Briged Wanita untuk dekati wanita


GEOGRETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 10,000 orang menyertai Briged Wanita untuk membantu pelaksanaan beberapa objektif berhubung kepentingan wanita kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Jelasnya, segala permohonan untuk menyertai briged ini dibuat di Pusat Perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Penyelaras KADUN.

Wanita berumur 18 tahun serta bermestautin di negeri ini digalakkan menyertai briged ini.

"Sekarang ini kita baru ada 314 orang yang berdaftar sebagai Briged Wanita di hari perasmiannya.  Saya yakin ianya akan bertambah secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai sasaran kita iaitu 10,000 orang, " tegasnya dalam sidang media selepas merasmikan Briged Wanita di Auditorium A, KOMTAR semalam.

Kata beliau, selain dari membantu secara turun ke kampung- kampung mencari warga emas, ibu tunggal, anak emas dan seumpamanya mereka juga dapat bertanya khabar golongan wanita yang masih belum didekati.

Briged Wanita juga akan memfokuskan kepada satu lagi tugasan baru iaitu mendaftar wanita yang berumur 35 tahun ke atas untuk tujuan 'Ibu Emas' yang menjadi surirumaah sepenuh masa berumur 60 tahun ke bawah.

Perkhidmatan percuma itu adalah sebagai satu langkah penghargaan dan mengiktiraf sumbangan wanita  yanag bekerja dalam rumah secara tidak formal, kepada kesejahteraan dan kemakmuran  sosio ekonomi Pulau Pinang.

Menurut Lim lagi, ia adalah program sulung bagi pengiktirafan golongan terlibat dengan menumpukan pendaftaran kepada mereka yang menjalankan perniagaan kecil kecilan untuk menerima mikrokredit kerajaan  negeri dibawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSP) PDC.

"Melalui kaedah ini Briged Wanita lebih berpeluang menerangkan kepada golongan terbabit tentang dasar dan program kerajaan negeri yang telah dan akan dilakukan.

"Tidak dinafikan golongan sasaran tidak terdedah  dengan perkembangan semasa tambahan lagi wanita lebih tahu apa yang diperlukan oleh wanita, " kata beliau.

Briged Wanita juga jelas Lim, akan didedahkan dengan corak kepimpinan serta menggalakan wanita tampil ke depan berurusan sebagai pendedahan untuk membina kekuatan 'network' wanita lain dalam komuniti bagi melahirkan lebih ramai kepimpinan wanita yang lebih berkalibar.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah , Timbalan Ketua Menteri 1, Haji Abdul Rashid Hasnun, Exco Belia dan Sukan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti Negeri, Chong Eng dan Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama, Datuk Haji Abdul Malik Kasim.

PAS tuntut dedah nama dalam masa 48 jam


KUALA LUMPUR: PAS menuntut agar Menteri Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel mendedahkan nama Syarikat Malaysia di Indonesia yang dikatakan terlibat dengan krisis jerebu dalam masa 48 jam.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia Haji Zulkefly Mohamad Omar (gambar) berkata, jika menteri yang berkenaan gagal untuk mendedahkan nama Syarikat itu dalam tempoh masa yang berkenaan, PAS akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ia bertujuan untuk mendesak tindakan drastik semua pihak yang terlibat agar krisis ini dapat dihentikan seberapa segera demi kepentingan kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat di Negara ini.

Beliau melahirkan kekecewaan kerana kegagalan Kerajaan UMNO/BN untuk mencegah insiden ini kerana masalah jerebu bukanlah satu isu yang baru.

“Kita pernah beberapa kali menghadapi masalah yang sama tetapi sampai bilakah isu ini dapat diselesaikan?

"Saya mahu tindakan drastik yang lebih awal dari pihak Kerajaan UMNO/BN khususnya menteri yang berkenaan untuk menangani isu ini bukannya sibuk dengan masalah Beruang Panda dari Negara China.
"Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang seharusnya lebih diutamakan dari binatang," ujar beliau dengan nada kecewa.

Ketua Menteri Pulau Pinang juga melahirkan kekecewaan beliau dengan sikap Menteri Alam Sekitar itu ketika majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di Ampang semalam.

Zulkefly juga menyeru agar seluruh rakyat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi diri dari ancaman Jerebu khususnya kepada anak-anak yang menghidap lelah atau asthma.

“Banyakkan minum air dan kurangkan aktiviti luar buat masa ini," ujar beliau dengan harapan agar krisis jerebu ini dapat diatasi secepat mungkin demi Kesihatan dan Keselamatan Rakyat.

Hormati pandangan berbeza - pensyarah


KOTA BHARU: Semua pihak perlu menghormati pandangan berbeza dan memberikan ruang lebih luas untuk berbicara.

Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr Abu Hassan Hasbullah (gambar) berkata, setiap ahli masyarakat mempunyai hak-hak untuk memberi pandangan dan mengemukakan sikap mereka.

Justeru di dalam membentuk peradaban baru bagi negara ini, beliau  tidak mahu negara suatu masa nanti menerima nasib seperti  berlaku di kebanyakan negara Islam seperti Syria.

Tanpa menyebut tokoh dan insiden berlaku, Abu Hassan mendakwa bagi mengelak kejadian seperti itu, maka ‘ruang demokrasi’ itu perlu dihargai.

“Kita harus mengambil satu prinsip bahawa dalam apa pun,  masyarakat sudah ‘terbuka’, masyarakat sudah berfikiran sangat dinamik, mereka tidak mudah terpengaruh dengan apa yang berlaku dalam bentuk mereka tidak boleh terima secara dinamik," kata Abu Hassan.

Beliau dipercayai mengulas tangkap demi tangkapan yang dibuat oleh kerajaan terhadap tokoh-tokoh parti pembangkang.

Terbaru Datuk Husam Musa dan Khalid Samad ditangkap dan didakwa di bawah akta hasutan setelah memberikan pandangan mengenai himpunan Black 505.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan Abdul Aziz Abdul Kadir merakam simpati terhdap ‘insiden’ menimpa Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang ditahan reman dua hari mulai hari  di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Bagaimana pun mantan Ahli Parlimen Ketereh itu melahirkan kekecewaannya terhadap apa didakwanya  ‘tindakan berpilih’  dilakukan Kerajaan Umno-Barisan Nasional.

“Sedangkan ada tokoh hebat lain berucap berapi-rapi pada platform mereka, tidak pun diambil tindakan," katanya.

Namun hal demikian hanya terjadi pada tokoh Pakatan Rakyat, apabila ada tokoh daripada pihak PR berucap, diambil tindakan.

“Kalau ada tindakan (sama ada pendakwaan dan tahanan reman), biarlah bertindak ke atas semua.  Biarlah ada keadilan," ujarnya ketika dihubungi wakil Harakahdaily.

Speaker Dewan Rakyat: Pandikar 133 undi, Abdul Kadir 89


KUALA LUMPUR: Sebagaimana keputusan Pilihan raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi 133 kerusi parlimen, begitulah juga keputusan pengundian untuk memilih Yang Dipertua Dewan Rakyat, pagi ini.
Speaker sesi lalu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memperolehi 133 undi anggota dewan sementara bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mendapat 89 undi.

Bagi Timbalan Yang Dipertua, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dipilih sekali lagi di samping Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said.

Aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat bermula dengan proklamasi memanggil parlimen bermesyuarat, diikuti memilih Yang Dipertua dan seterusnya beliau mengangkat sumpah.

Selepas itu, ahli-ahli dewan mengangkat sumpah, diikuti memilih dua timbalan yang dipertua.

Satu usul dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan lalu lalang kepada ahli-ahli dewan seperti berikut: “Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu”.

Panduan menghadapi jerebu

Saya selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menyarankan orang ramai supaya menjaga kesihatan masing-masing semasa kita menghadapi situasi jerebu ini dan ikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Saya juga mohon jasa baik semua untuk sama-sama berkongsi ("share") maklumat yang dimuatkan di dalam Facebook ini dari semasa ke semasa sebagai tanda kita sebagai satu masyarakat mengambil berat terhadap satu sama lain.

GOLONGAN ORANG YANG BERISIKO TINGGI SEMASA JEREBU

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung , pesakit jantung dan respiratori juga mereka yang sensitive kepada habuk, orang yg merokok termasuk mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah

NASIHAT KESIHATAN SECARA UMUM UNTUK MENCEGAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU

i. Orang ramai dinasihatkan supaya, sejauh mana yang boleh, berada di dalam bangunan.

ii. Kurangkan aktiviti lasak di luar rumah.

iii. Orang ramai dinasihatkan supaya kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

iv. Orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air.

v. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa
dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin (mod: kitaran dalam) dan menutup semua tingkap

vi. Penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh mereka yang melakukan aktiviti di luar terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

vii. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.

viii. Perokok dinasihatkan supaya berhenti merokok.

ix. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa.


* Penulis adalah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Selangor arah edarkan topeng muka

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan negeri, Dr Daroyah Alwi supaya mengedarkan topeng muka kepada orang ramai sebagai kesedaran perlunya menjaga kesihatan dalam keadaan berjerebu ini.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

Khalid juga menasihatkan rakyat Selangor supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan tidak terjejas berikutan jerebu yang melanda Lembah Klang.

"Hadkan aktiviti luar rumah dan lebihkan minum air bagi mengelak  kesan akibat pendedahan secara berterusan kepada jerebu seperti sukar bernafas, mata pedih dan berair, kegatalan pada kulit dan tekak serta sesak nafas dan sentiasa memakai topeng muka  ketika berada di luar atau tempat terbuka," nasihat beliau.

Sehingga lewat petang ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada paras tidak sihat.

Kementerian Kesihatan hari ini telah mengumumkan semua sekolah di Selangor ditutup esok (Isnin) dan kerajaan negeri akan mencadangkan agar sekolah hanya dibuka sehingga IPU bertambah baik dan selamat kepada pelajar.

Ungkapan 'Ini Kali Lah' Pandikar cuit perhatian

KUALA LUMPUR: 'Ini kalilah' yang diungkapkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam ucapan selepas pemasyhuran dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas menarik perhatian petugas media hari ini.

Para petugas media dengan spontan ketawa dan bercakap sesama sendiri apabila mendengar Pandikar mengungkapkan 'Ini kalilah'.

"Ini kalilah... Kita julang memartabatkan Parlimen Malaysia ke tahap yang tinggi, dengan menunjukkan sikap yang disebut oleh Erkine May dalam bukunya Parliamentary Practise Edisi ke 23 muka surat 440 "good temper and moderatin are the characteristics of parliamentary language, Parliamentary language is never more desirable than when a Member is canvassing the opinions and conduct of his opponents in debate".

"Kesabaran dan kesederhanaan adalah ciri-ciri berbahasa di Parlimen. Bahasa Parlimen adalah lebih menggamit apabila seseorang Ahli sewaktu berbahas dapat mempengaruhi pendapat dan pendirian pihak lawan"," katanya menterjemahkan maksud buku tersebut.

Pandikar sebelum itu menyeru Ahli-ahli Parlimen membudayakan seruan-seruan yang dilaungkan sewaktu bertugas di Dewan Rakyat.

Beliau berpandangan seruan-seruan yang 'dipopularkan' iaitu 'Ubah', 'Transformasi', 'Reformasi', Ini Kali Lah', 'Kalau Bukan Kita Siapa Lagi?', 'Kalau Bukan Sekarang Bila Lagi?' merupakan mesej menyeru iaitu "Mengubah sikap untuk membuat kebaikan".

"Bagi mereka yang mempopularkan seruan ini, mungkin mereka mempunyai pengertiannya yang tersendiri.

"Akan tetapi, bagi saya, seruan-seruan ini, bermesej iaitu menyeru - "Mengubah sikap untuk membuat kebaikan.

"Maka bertolak dari roh maksud tafsiran ini, saya menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk membudayakannya sewaktu bertugas di Dewan Rakyat.

"Ayuh! Kita ubah, kita bereformasi, kita bertransformasi, kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi? Ini Kali Lah!" katanya.

Tambah Pandikar, beliau bertekad untuk berubah.

"Seperti yang Ahli-ahli Yang Berhormat nampak dan lihat, pada hari pertama persidangan hari ini, jubah yang saya pakai telah ditransformasi, reka bentuk atau designnya canggih, menggamit dan selesa dari yang dulu.

"Sementara itu, dalam hal-hal lain berhubung dengan pengendalian majlis mesyuarat pasti stailnya juga akan berbeza dari Parlimen Ke-12," katanya.

25 ditahan dalam protes di hadapan parlimen



KUALA LUMPUR: 25 aktivis ditahan sehingga jam 12.00 tengah hari ini sewaktu mengadakan protes di hadapan pintu masuk Parlimen termasuk Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

Mereka kini dibawa ke IPD Dang Wangi.

Mereka adalah antara lebih 50 anak muda yang mengadakan protes di hadapan parlimen hari ini bagi mendesak pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakan jawatan.

Ada di antara mereka berbaring di tepi jalan menuju ke pintu masuk bangunan parlimen sementara menunggu rakan-rakan mereka yang lain menyerahkan memrandum kepada ahli-ahli parlimen.

Mereka mula mengadakan protes ini kira kira jam 9 pagi.

Kumpulan ini terdiri dari gabungan NGO anak muda yang sejak kelmarin berkampung dalam khemah di Padang Merbok sejurus tamatnya Himpunan Aman Black 505.

Antara kumpulan itu termasuklah GM13, NGO Royalti, Asalkan Bukan Umno (ABU), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) antara yang terlibat dalam protes ini.

Antara tuntutan yang diminta oleh anak muda ini termasuk mendesak SPR diletakkan di bawah parlimen, menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat peranan SPR dan jabatan pendaftaran negara atas isu yang berbangkit pada PRU lalu.

Selain itu mereka turut menunut parlimen membincangkan tentang penipuan dakwat kekal dan perletakan jawatan dan permohon maaf secara terbuka oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Sementara itu, kumpulan mereka yang berkumpul dihadapan pintu masuk bangunan parlimen dihalang oleh pihak polis apabila cuba untuk memasuki kawasan parlimen.

Sebelum ini, berlaku sedikit pergelutan antara beberapa anggota kumpulan itu dengan pihak polis.

Polis turut menahan tiga daripada mereka termasuk aktivis pelajar Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

PAS gesa segera tangani isu penempatan guru


KUALA LUMPUR: Ramai guru di Malaysia meluahkan rasa kebimbangan dan rungutan mereka apabila terdapat beberapa isu lama yang masih belum diselesaikan secara sistematik dan efektif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Terkini, terdapat dua rungutan yang disuarakan oleh mereka iaitu mengenai pelantikan guru ke jawatan tetap dan penempatan guru.

“Kedua-dua isu ini memerlukan penjelasan telus dan tuntas daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali (gambar).

Katanya, guru-guru di sekolah mempersoalkan mengenai proses penyerapan atau pelantikan guru ke jawatan tetap yang masih dalam keadaan perlahan.

Malah, ujarnya terdapat juga maklumat yang mendakwa berlaku proses pelantikan secara selektif dan mengutamakan skim-skim perkhidmatan tertentu sehingga mengabaikan guru-guru kontrak yang telah lama menjalankan khidmat.

Selain isu tersebut, kata beliau guru-guru yang memohon pertukaran penempatan sekolah bagi sesi Jun 2013 masih lagi belum mendapat apa-apa keputusan daripada pihak kementerian sama ada pertukaran dibekukan atau dilewatkan.

Ini, menurut beliau akan menyukarkan urusan antara guru dan pihak sekolah.

“Jawapan dan penentuan pertukaran sekolah ini juga mencetuskan tanda tanya dikalangan para guru kerana pihak kementerian tidak memaklumkan secara telus dan terbuka justifikasi penempatan tersebut,” ujarnya yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Maka, katanya ramai di kalangan mereka yang telah lama memohon masih tidak mendapat kebenaran untuk bertukar walaupun terdapat keperluan mendesak di antara para guru dan pihak sekolah.

“Maka, saya memohon pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dapat menyelesaikan dan menjelaskan secara telus perkara-perkara yang berbangkit di kalangan para guru meskipun isu ini adalah isu yang lama dan masih belum dapat diselesaikan secara efektif,” ujarnya.

Undi bersurat bukti Najib tidak percaya MP BN



KUALA LUMPUR: Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mempertikaikan proses pengundian Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat yang menggunakan kaedah ‘undi bersurat’ yang didakwa tidak memberi kebebasan kepada anggota dewan untuk membuat pilihan.

Ia berikutan, setiap anggota Dewan Rakyat perlu menulis nama calon Speaker dan nama mereka sendiri serta menandatangani kertas undi sebelum diserahkan kepada Setiausaha Parlimen, Rosmee Hamzah.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar antara yang terawal mempertikaikan kaedah pengundian itu sebelum ia disokong oleh pimpinan PR lain antaranya, Tian Chuan (PKR-Batu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

“Kenapa perlu tandatangan? Perdana Menteri tidak percaya dengan ahli Parlimen BN sendiri ke?” sindir Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS itu.

Terdahulu, Setiausaha Parlimen mengumumkan dua calon yang masing-masing dikemukakan oleh PR dan Barisan Nasonal (BN).

PR melalui Ahli Parlimen Bandar Tun RAzak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, sementara BN menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Speaker.

Khalid terima memo anak muda Black 505



Khalid bercakap kepada media selepas menerima memo daripada anak muda Black 505.

KUALA LUMPUR: Kehadiran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akhirnya meredakan suasana tegang antara pihak polis dengan anak muda Black 505 yang mengadakan protes di hadapan parlimen seawal jam 9 pagi tadi.

Khalid Samad yang mucul kira-kira jam 11.50 pagi selepas mengangkat sumpah ahli Dewan Rakyat untuk menenangkan peserta himpunan dengan menerima memorandum daripada kumpulan terbabit.

Sewaktu menerima memorandum itu, Khalid berjanji akan menyerahkan memorandum tersebut kepada pihak berkenaan dan akan membangkitkan perkara itu di dalam persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok.

"Ini merupakan tuntutan bahawa rakyat yang sepatutnya memilih, dan saya berterima kasih kepada aktivis yang hadir menyatakan bantahan agar pimpinan SPR letak jawatan," katanya kepada lebih 150 anak muda yang berkumpul di hadapan bangunan Parlimen.

Beliau turut memaklumkan kepada barisan peguam Pakatan Rakyat berhubung penangkapan anak-anak muda yang masing-masing di bawa ke balai polis di Jinjang dan Dang Wangi.

Malah beliau yang juga AJK PAS Pusat turut meminta pihak polis jangan mengapa-apakan aktivis terbabit ketika dalam jagaan mereka itu nanti.

"Matlamat himpunan hari ini telah selesai dengan penerimaan memorandum daripada Gabungan NGO yang membantah SPR," katanya yang meminta para aktivis untuk bersurai.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan mengadakan protes dengan berbaring di atas jalan utama masuk ke Parlimen sejak jam 10 pagi, keadaan bertukar menjadi tegang sejam kemudian apabila kumpulan tersebut cuba melepasi benteng polis seramai 300 orang di jalan utama masuk ke Parlimen.

Bagaimanapun kumpulan anak muda tidak berjaya melepasi sekatan polis, keadaan menjadi tidak terkawal apabila polis menahan tiga aktivis mereka iaitu Mohd Safwan Anang, Akram Ahmar dan Ehsan Bukhari kira-kira jam 11.10 pagi.

Keadaan bertambah kecoh lagi apabila pihak polis yang terus mengejar dan menangkap beberapa lagi aktivis anak muda menyebabkan ada yang lari bertempiaran.

Susulan itu, sebilangan lagi peserta perhimpunan bertindak menyerah diri kepada polis sebagai tanda solidariti, termasuk pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin dan aktivis siswa Adam Adli.