Polis Indonesia berjaya menangkap Abu Tholut, pengganas yang paling dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam beberapa siri jenayah keganasan di republik itu.
Abu Tholut (gambar) yang disebut-sebut terlibat dalam pengeboman Mall Atrium Senen di Jakarta, perancang utama rompakan Bank CIMB-Niaga di Medan, Sumatera Utara, serta terlibat dalam aktiviti kem latihan ketenteraan di Aceh, ditangkap di rumahnya di Kudus, Jawa Tengah, pada Jumaat pagi.
“(Abu Tholut) ditangkap sendiri dan tidak ada perlawanan darinya kerana memang selama sebulan ini dia sudah dipantau,” kata Ketua Bidang Penerangan Umum, Komisioner Besar Boy Rafli Amar di Jakarta.
Bersama Abu Tholut ditemui senjata api jenis FN dan sejumlah peluru kaliber 9mm.
Boy Rafli bagaimanapun tidak bersedia memberi keterangan lanjut mengenai penangkapan itu kerana pasukan khas anti pengganas, Densus 88, masih mengumpul maklumat di lapangan.
Beliau berkata pada masa ini, pasukan berkenaan terus memburu suspek lain selain melakukan pemantauan terhadap Abu Tholut.
Katanya peranan Abu Tholut dalam latihan tentera selama ini “cukup mendalam” dan penangkapannya sememangnya telah diduga.
Abu Tholut dikatakan pernah melakukan pertemuan dengan Abu Bakar Ba'asyir dan Dulmatin, dua orang penting dalam kegiatan keganasan di Asia Tenggara, untuk membincangkan latihan ketenteraan di Aceh.
Namun Boy Rafli enggan menjelaskan mengenai hubungan ini dan sama ada Abu Tholut akan menjadi saksi untuk Abu Bakar Ba'asyir, yang masih ditahan Markas Besar Polis Indinesia.
“Kes Abu Bakar Ba'asyir pada masa ini sedang dalam penyempurnaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment