Friday, December 10, 2010

PKR sudah jadi parti 3F - Puad Zarkashi

Jika sebelum ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilabelkan sebagai parti bateri 3A kerana hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim; isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali sahaja yang berkuasa, tetapi hari ini, parti itu diberi gelaran baru iaitu parti 3F.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, parti tersebut kini bukan sahaja sebuah parti anak-beranak (family) tetapi merupakan sebuah organisasi politik yang mengamalkan penipuan (fraud) serta pemalsuan (forgery).
Menurutnya, sindrom 3F jauh lebih parah berbanding 3A kerana terbukti, Anwar mengamalkan pemerintah kuku besi dalam parti itu selain pelbagai bentuk penipuan dan pemalsuan yang 'dilondehkan' sendiri oleh ahli parti sehingga menyaksikan mereka meninggalkan PKR secara beramai-ramai.
"Tiada sebuah parti pun dalam negara ini yang mengamalkan nepotisme kronik seperti PKR sehingga parti ini digelar parti anak-beranak (family), tidak cukup dengan Anwar selaku Ketua Umum dan Dr. Wan Azizah sebagai Presiden, anaknya pula dipastikan menang jawatan Naib Presiden.
"Pemilihan PKR juga diselubungi dengan segala macam penipuan (fraud) yang meloyakan, semata-mata untuk memastikan Azmin menang Timbalan Presiden. Penipuan ini berlaku di mana-mana terutamanya di Tawau dan Sandakan sehingga Datuk Zaid Ibrahim sendiri meninggalkan parti.
"Tidak cukup dengan itu, PKR juga sanggup memalsukan (forgery) tandatangan bekas setiausaha agungnya sendiri, Datuk Salehuddin Hashim bagi menghalalkan pemecatan bekas Timbalan Setiausaha Agung, S. Jenapala kerana bimbang beliau akan mencabar Azmin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, adalah malang jika rakyat mahu meletakkan harapan kepada sebuah parti yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membelakangkan undang-undang demi memastikan matlamat serta cita-cita politik mereka tercapai.
Jelasnya, jika dalam parti sendiri pun Anwar, ahli keluarga serta anak emas beliau, Azmin, sanggup menipu dalam pemilihan serta memalsukan tandatangan, negara ini akan hancur jika PKR menerajui pentadbiran Kerajaan Pusat pada masa hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Puad berkata, tindakan pembangkang yang diketuai PKR mengadakan demonstrasi kononnya bagi membantah tarif air serta mempersoalkan hukuman terhadap Anwar ekoran pembohongan dalam isu APCO adalah usaha terdesak parti itu untuk memulihkan kembali sokongan rakyat.
Kata Mohd. Puad, hal yang sama juga dilakukan terhadap kes pendakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dengan menuduh kononnya pendakwaan itu hanya sekadar gimik kerajaan.
"Mereka cuba nak tunjuk kepada rakyat bahawa PKR masih lagi parti yang mendapat sokongan tetapi hakikatnya tidak. Ini terbukti melalui kajian ilmiah yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) yang didedahkan baru-baru ini bahawa sokongan terhadap Anwar dan PKR jatuh merudum.
"Semuanya kerana segala tembelang Anwar sudah terdedah. Rakyat sudah sedar bahawa pemimpin seperti ini tidak boleh dipercayai, maka sebab itu mereka mengadakan demonstrasi dan mempersoalkan hukuman ke atas Anwar sedangkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen belum membuat keputusan," katanya.

No comments:

Post a Comment