Sunday, January 9, 2011

Izzah ulangi gesaan bentang Akta Pemulihan Demokrasi

Umno-Barisan Nasional  sekali lagi dicabar supaya mengadakan sidang parlimen tergempar bersama Pakatan Rakyat bagi membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi, kata Naib Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar.
“Kita akan bermula dengan menyerahkan cadangan Akta tersebut kepada Menteri Besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat, bahkan  juga di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional.
“Dasar bagi Akta itu telah diwujudkan, bahkan kaedah pelaksanaannya juga telah dirangka,” katanya ketika ditemui Keadilandaily selepas majlis jamuan makan malam bagi mengutip derma untuk tabung Parlimen Lembah Pantai semalam.
Menurut Izzah, rang undang-undang itu bertujuan membatalkan semua pengisytiharan darurat, memansuhkan semua undang-undang anti-demokratik, menunaikan perjanjian kemasukan Sabah dan Sarawak kedalam Persekutuan Malaysia, menjamin ketelusan Pilihanraya Umum, mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan dan mewujudkan kebebasan media.
Usul yang julung kali dikemukakannya pada Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di Pulau Pinang tahun lalu, kini dilanjutkan melalui kempen bagi mengumpul sejuta tandatangan sokongan rakyat, yang kemudian akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.
“Ini merupakan kempen berterusan, kerana kita (rakyat Malaysia) berhadapan dengan sebuah kerajaan yang tidak mahu kehilangan kuasa. Rakyat perlu dan wajib memberikan sokongan kepada akta ini, kerana salah satu cara untuk mengelakkan gangguan, kacau bilau dan penentangan dari kerajaan Pusat, adalah melalui akta tersebut,” kata Izzah.
Merujuk kepada isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Izzah berkata, tindakan kerajaan Pusat yang bertentangan dengan amalan persekutuan, adalah salah satu sebab utama akta tersebut perlu diwujudkan.
“Apa yang saya mahu katakan adalah, hanya satu sebab kenapa perkara ini berlaku, iaitu ada pihak tertentu yang mahu terus mempertahankan kuasa di tangannya. Justeru, kita mahu meluaskan makna demokrasi, kerana akhirnya rakyat sendiri yang akan menilai, ke mana arah tuju demokrasi di negara kita,” jelasnya.
Terdahulu sebelum ini, dalam satu kenyataan Izzah berkata, cadangan Akta yang mengandungi 131 perkara tindakan itu, merupakan dasar yang disepakati oleh parti-parti Pakatan Rakyat.

Menurut Izzah,  pembentangan rang undang-undang dwi-partisan itu boleh dilakukan melalui sidang parlimen tergempar yang boleh dipanggil oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja.

No comments:

Post a Comment