24 Zulhijjah 1433H,
KUALA LUMPUR 9 November: Juara
program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Ridzuan berkata, ada
pihak sengaja memperbesarkan isu murtad dan kebebasan beragama supaya nampak
teruk dan dijadikan topik hangat, sedangkan ia perkara biasa yang sering
dibincang dalam majlis ilmu.
“Isu ini jadi menarik dan sensitif
kerana ia telah dimanipulasi, dibesar-besarkan sehingga kita rasa perkara ini
sangat teruk dan perlu untuk dibincangkan,” katanya merujuk kenyataan Naib
Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama yang diputar
belit oleh Utusan dan media pro-BN.
Beliau berkata demikian dalam forum
‘Kebebasan beragama atau murtad?’ di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor
malam tadi.
Dalam Islam, Asyraf berkata, tiada
tuntutan untuk memaksa orang lain percaya dengan keyakinan dan pendapat
seseorang.
“Setiap individu bebas untuk memberi
pendapat, melahir dan bertukar pandangan, bebas untuk masuk agama Islam tanpa
paksaan. Namun, apabila berada dalam Islam, ikutlah syariah sebetulnya,”
katanya.
Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin pula
berkata, dalam agama tidak perlu ada unsur memaksa untuk melahirkan penganut
yang berkualiti.
“Dalam bercintapun kita kena telus
apatah lagi dalam beragama, kita tidak perlu menghukum murtad, tapi
berdakwahlah,” katanya yang dikenali sebagai Ustaz Wan Ji.
“Ubat kepada penyakit murtad adalah
keyakinan, dan keyakinan diperoleh melalui kebebasan,” jelas beliau.
Wan Ji turut mempersoal tindakan
pihak yang cuba mengkritik isu murtad dan agama walhal tidak mendalami isu
tersebut.
“Ini yang (saya) nak komen Saifuddin
Abdullah, Khairy Jamaluddin, Perkasa, jangan jadikan pemikiran rakyat itu
semakin sempit,” tegasnya.
Panelis lain dalam forum itu adalah
penulis lirik, Hasmi Hashim dan bekas Setiausaha Akhbar Ketua Pembangkang,
Eekmal Ahmad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Batu Caves, Amirudin Shari pula sebagai moderator.
Umno
guna agama untuk takutkan Melayu
Mengulas sama serangan terhadap
Izzah, Hasmi berkata, Umno BN gunakan isu agama sejak 50 tahun lalu sebagai
ancaman untuk takutkan orang Melayu.
“(Kerajaan) menggunakan elemen
politik ketakutan sebagai senjata politik mereka untuk menakut-nakutkan orang
Melayu. Dan ketakutan itu boleh dinamakan atas nama agama, bangsa ataupun
raja-raja,” katanya.
Ketua Cabang KEADILAN Parit Sulong
itu mempersoal sikap kerajaan yang hanya berminat menjadikan isu agama sebagai
polemik dan bukan mencari jalan penyelesaian.
“Kenapa tidak diadakan debat atau
forum seperti ini di media arus perdana? Hanya membesarkan isu tanpa yang
dituduh diberi sedikit peluang pun untuk membela diri,” tegasnya.
Justeru kata Hasmi, perbincangan
seperti itu perlu diadakan di media massa dan semua pihak wajar diberi ruang.
Beliau menyeru generasi muda
memikirkan semula sama ada strategi itu masih relevan untuk diaplikasi pada
masa kini.
No comments:
Post a Comment