Friday, November 9, 2012

Perbahasan Twitter Dengan Fathul Bari


Beberapa hari sebelum ini saya telah terlibat dalam satu perbahasan melalui Twitter yang panjang lebar dengan Fathul Bari. Ia pada mulanya berkisar mengenai kenyataan Chua Soi Lek (CSL), Presiden parti MCA berhubung perlaksanaan hudud. Kemudiannya ia telah meleret sehingga melibatkan persoalan PAS dan perjuangannya.

Perbahasan ini bermula apabila seorang tukang twit menyebut nama Fathul Bari sebagai rujukan dan saya menjawab: “Saya kenal dia. Namanya baik tetapi dia bela CSL”. Oleh kerana Fathul Bari turut ‘ditag’ dalam twit tersebut, maka dia pun terus mencelah dan melibatkan dirinya dalam perbahasan tersebut. Akhirnya perbahasan yang bermula melalui komen ringkas saya terhadap pendiriannya telah berpanjangan selama lebih dari 3 hari 3 malam dengan menyentuh bermacam-macam tajuk.
Bagi saya, walaupun Fathul sering menyebut beliau bersikap adil dan tidak bias dalam menilai sesuatu, hakikatnya sikapnya teramat keUMNOan. Sikap yang adil dan tidak bias dapat dikesan dan dinilai tanpa disebut berulang kali. Begitu juga sebaliknya. Bacaan saya terhadap pendirian Fathul ialah beliau percaya pihak berkuasa perlu disokong selagimana ketuanya beragama islam. Atas dasar ini semua pendirian dihasilkan.

Jangka masa panjang sikap ini tidak akan menjadi masalah kerana selepas PRU akan datang, sekiranya PR menang, sudah pasti Fathul Bari akan menjadi penyokong tegar PR!

Tidak mungkin saya ingat kembali semua tajuk yang dibahas namun yang terpenting, mengikut ingatan saya, adalah seperti yang berikut:

1. Fathul bela CSL.
2. Kenyataan Karpal berbanding CSL.
3. Sejarah latar belakang kenyataan Karpal.
4. Parti Islam dan yang bukan parti Islam.
5. Bersatu atas dasar apa? Kenapa tidak dengan UMNO?
6. Kerjasama atas dasar apa? Kenapa tidak dengan UMNO.
7. Soal hudud dan perlaksanaannya.
8. Soal mendapatkan izin DAP.
9. Soal memilih di antara DAP dan UMNO.

Saya akan membuat posting satu atau dua tajuk setiap hari, menjelas dan mengupasnya dan bagi yang berminat bolehlah mereka memberi komen di Blog, Twitter atau pun Facebook. Yang mana yang sempat saya akan respond. Yang mana yang tidak, saya minta maaf terlebih dahulu.

1. FATHUL BELA CSL

Tuduhan saya bahawa Fathul bela CSL dibuat selepas saya menonton video yang dipos di Blog tertentu yang mana linknya diberi oleh tukang twit pertama. Saya melihat memang betul Fathul menyatakan kenyataan CSL dan Karpal Singh, kedua-duanya tidak patut dikeluarkan mereka kerana ianya menggangu sensitiviti ummat Islam. Namun bagi saya itu semua hanya ‘ayat bunga-bunga’ sahaja kerana apa yang dikatakan di hujung video tersebut adalah mesej sebenar yang hendak disampaikan.

Di penghujung video tersebut Fathul mengatakan kenyataan Karpal adalah lebih parah kerana Karpal sebut “langkah mayat saya” sedangkan CSL hanya menolak ‘hudud PAS’ bukan hudud Islam. Kenyataan Fathul jelas mengiakan kata-kata CSL dan membelanya, memberi gambaran apa yang dikatakan tidak ada kena mengena dengan Islam itu sendiri. Kalau dilihat, ianya bercanggah dengan ucapan bunga-bunga Fathul yang lebih awal yang mengatakan ucapan CSL juga menyentuh sensitiviti ummat Islam.

Ini persepsi saya terhadap video berkenaan. Ianya dibuat dengan tujuan membela CSL.

Hujjah ‘hudud PAS’ memberi lesen kepada sesiapa sahaja, khususnya CSL, untuk memperlekehkan apa yang telah diusahakan oleh PAS dalam menghasilkan sebuah enakmen supaya sistem perundangan Islam, khusus hudud, dapat dilaksanakan. Enakmen ini merupakan usaha mulia dari berbagai pihak untuk menghasilkan enakmen yang menepati tuntutan Allah yang terkandung di dalam Al-Quran. Termasuk di dalamnya adalah hukuman terhadap kesalahan zina, qazaf, mencuri dan lain-lain yang telah disebut secara khusus di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW).

Mungkin ada aspek-aspek yang tertentu ada perbezaan pendapat dan tidak dipersetujui oleh Fathul, itu perkara biasa. Namun untuk menolaknya secara mutlak dan keseluruhan adalah tindakan tidak bertanggung-jawab di mana sudah pasti akan ada bahagian-bahagian yang ditolak yang merupakan hukum Qat’i yang telah ditetapkan Allah. Kalau ada cacat celanya atau kekurangan dalam menghasilkannya, usaha manusia sememangnya begitu walaupun dalam menghasilkan undang-undang dari Al-Quran dan Sunnah. Apa yang patut diusahakan oleh Fathul ialah untuk menjelaskan apa dia yang tidak dipersetujui dan meminta ianya dikaji semula berdasarkan hujjah dan dalil. Bukan memberi lesen pada CSL atau mana-mana pihak menolaknya dan memperlekehkannya secara total.

Saya yakin Fathul sendiri memahami persoalan ini. Sudah pasti beliau juga sedar bahawa usaha sebegini langsung tidak dilakukan oleh UMNO yang memegang teraju kekuasaan dewasa ini. Demi menutup kekurangan UMNO dan kegagalannya, maka hujjah yang paling mudah dan paling lekeh ialah untuk menolak enakmen hudud berkenaan atas alasan ianya ‘hudud PAS’ tanpa membentangkan enakmen hudud yang kononnya menepati kehendak Islam. Dan atas alasan itu kebiadapan CSL dihalalkan ulama UMNO muda ini.

Itulah sebabnya saya menyatakan Fathul bela CSL.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment