Thursday, November 28, 2013

Kelantan buka tender lebuh raya Machang-Kuala Krai

Sebahagian projek lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dibiayai kerajaan pusat dan separuh lagi kerajaan negeri terpaksa memikul tanggungjawabnya.

Kerajaan persekutuan melaksanakan projek bermula dari Pasir Hor ke Kadok sejauh 7 km membabitkan kos RM200 juta, difahamkan sudah dikeluarkan tendernya.

Manakala laluan Machang-Kuala Krai sepanjang kira-kira 30 kilometer akan dilaksanakan kerajaan negeri. Anggaran membabitkan kos RM550 juta.

Mungkinkah ini dinamakan sebagai wajah politik baru yang menyerap nilai-nilai kemanusiaan. Sedangkan sebelum ini demokrasi di Malaysia dipenuhi politik dendam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad berkata, projek lebuh raya rakyat Machang-Kuala Krai akan dibina pertengahan tahun hadapan.

Katanya, tender akan dibuka Januari 2014 dan syarikat yang berminat boleh menghantar permohonan dengan syarat ditetapkan dan mempunyai sumber kewangan kukuh.

“Tempoh pembinaan selama tiga tahun, manakala tahun keempat pihak kerajaan akan membayar tunai kos pembinaan kepada pemaju terlibat,” ujarnya selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Lebuh raya Rakyat Kuala Krai-Kota Bharu sepanjang 68 km dirancang kerajaan negeri ekoran projek berkenaan dipinggirkan kerajaan pusat sejak 1986.

Sebelum ini sebuah syarikat dari Korea Selatan berminat melaksanakan projek berkenaan, bagaimanapun menarik diri kemudiannya.

Selepas itu sebuah konsultan tempatan, Ecobound Sdn Bhd dengan kerjasama Emirates House Group juga berminat untuk melaksanakan projek tersebut dengan cadangan pembiayaan daripada Bank Pembangunan Asia.

Hanifa juga berkata, hasil perlombongan dan pembalakan akan digunakan bagi menampung kos pembinaan lebuh raya rakyat.

No comments:

Post a Comment